Tekad, tumpuan dan kesungguhan jelas terukir di wajah setiap pemain skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, sedang mereka membuat persiapan menghadapi Timor Leste dalam perlawanan sulung di Sukan SEA pada 6 Disember di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Sesi latihan tersebut diadakan pada 5 Disember di Kelab Bola Sepak Romsai di Bangkok.
Dengan Thailand turut membentuk Kumpulan A, anak didik Firdaus Kassim tidak mampu tercicir mata apabila membuka kempen Sukan SEA, apatah lagi selepas kemenangan besar 6-1 pasukan tuan rumah ke atas Timor Leste pada 3 Disember.
Meskipun Timor Leste tewas dalam perlawanan pembukaannya itu, Firdaus mengingatkan anak didiknya supaya tidak meremehkan kemampuan pasukan lawan, yang menurutnya telah menunjukkan permainan yang baik semasa menentang Thailand terutama dalam aksi separuh masa pertama.
Kemenangan dalam perlawanan pembukaan itu penting bagi menyuntik rentak positif menjelang pertembungan mencabar menentang Thailand pada 11 Disember nanti.
Hanya juara kumpulan berpeluang mara ke separuh akhir, manakala hanya sebuah pasukan terbaik di tangga kedua dalam kalangan tiga kumpulan akan turut serta.
Perlawanan menentang Timor Leste djadual bermula pada 8 malam waktu Singapura dan akan disiarkan secara langsung di saluran meWATCH.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg