Apabila Jerome Aw beralih daripada badminton kepada skuasy 10 tahun lalu kerana sekolah menengahnya hanya menawarkan sukan skuasy, beliau dengan cepat menyesuaikan diri hasil penyelarasan mata dan tangan yang baik.
Namun, pergerakan pantas di kawasan gelanggang tertutup menjadi cabaran awalnya.
Untuk meningkatkan kecergasan, pelajar Sekolah Menengah Methodist Fairfield itu menambah latihan dengan berlari 30 hingga 45 minit dua kali seminggu sebelum perhimpunan pagi sekolah dan sesi pecut enam hingga lapan pusingan, dengan setiap pusingan sejauh 300 meter pada hari lain.
Usaha itu membuahkan hasil.
Kini, pemain berusia 22 tahun itu dikenali kerana kecergasannya yang unggul, lapor The Straits Times (ST).
Ketekunan Aw menarik perhatian Persatuan Raket Skuasy Singapura (SSRA) sejak 2016 dan beliau menyertai pasukan negara pada 2019.
Setelah memiliki asas kecergasan kukuh, beliau menumpukan pada teknik, taktik dan kekuatan mental.
Pada 9 November, pemain di kedudukan ke-151 dunia mencatat kejayaan terbesar apabila muncul naib juara acara individu lelaki anjuran Marigold dan kelab riadah Serangoon Gardens (SGCC).
Beliau menewaskan beberapa pemain berpengalaman sebelum tewas 0-3 kepada pemain Hong Kong, Tang Ming Hong, yang berada di kedudukan ke-144 dunia, pada final di SGCC.
“Saya gembira dengan ketekalan saya minggu ini. Ia membuktikan latihan saya berhasil,” kata Aw.
“Saya kini mengimbangi latihan sepenuh masa dan pengajian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam bidang sains sukan dan pengurusan.
“Saya ingin melihat sejauh mana saya boleh berkembang di Asia.
“Jika dapat menembusi tempat 100 terbaik dunia sebelum tamat universiti, saya mahu cuba menjadi pemain profesional sepenuhnya.”
Beliau menyasarkan satu lagi final pada penampilan sulung di Sukan SEA Thailand pada 9 hingga 20 Disember bersama rakan sepasukan Aaron Liang, yang turut menunjukkan peningkatan prestasi.
Liang, 25 tahun, meraih pingat gangsa selepas tewas kepada Aw di separuh akhir kejohanan sama dan sebelumnya menjuarai Kejohanan Terbuka Skuasy Singapura Marigold Lelaki 2024 selepas dua kali menjadi naib juara.
Beliau juga menewaskan Aw untuk menjuarai SGSquash PSA Satelit 3 Marigold 2025 pada 1 November.
Kini bertugas sebagai pakar strategi pelaburan, Liang menyifatkan peningkatan prestasinya hasil latihan di bawah mantan pemain pertama dunia David Palmer semasa menuntut di Universiti Cornell, Amerika Syarikat.
Pemain di kedudukan ke-279 dunia itu, yang pernah meraih perak dalam pasukan campuran dan gangsa berpasukan lelaki di Sukan SEA 2019, berkata:
“Setiap kali membawa bendera Singapura, saya teringat keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan yang menyokong saya.
“Persiapan kali ini sangat mencabar sambil bekerja sepenuh masa tetapi ia mengajar saya disiplin dan keseimbangan.
“Saya hanya ingin kekal konsisten, pulih dengan baik dan mengekalkan ketenangan minda.”
Pengurus Besar SSRA, Alex Wan, berkata tujuh atlet termasuk lima pendatang baru akan mewakili Singapura dalam acara individu dan beregu bawah 21 tahun di Sukan SEA.
Sasaran mereka ialah satu emas, satu perak dan dua gangsa, dengan latihan bersama rakan latihan dari Malaysia dan Australia.
Jurulatih kebangsaan Encik Gurshan Singh menambah:
“Pasukan kami berlatih sangat gigih. Kami berpindah ke lokasi latihan baru selepas Tahun Baru Cina yang membolehkan kami memberi tumpuan penuh.
“Prestasi Jerome dan Aaron baru-baru ini amat memberangsangkan.
“Pemain beregu kami menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Kategori bawah 21 tahun sedikit mencabar, tetapi kami gembira dengan perkembangan mereka setakat ini.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg