Topic followed successfully
Go to BHkuSpurs terdesak elak disingkir, akan berjuang habis-habisan
Spurs terdesak elak disingkir, akan berjuang habis-habisan
Spurs hanya dua mata dari zon penyingkiran selepas seri dengan Leeds 1-1
Spurs terdesak elak disingkir, akan berjuang habis-habisan
LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Roberto de Zerbi, berikrar pasukannya akan “berjuang hingga ke penghujung” selepas seri 1-1 di padang sendiri menentang Leeds United dalam saingan Liga Perdana England (EPL) pada 11 Mei.
Penyerang, Mathys Tel, muncul wira tetapi kemudian menjadi ‘punca kekecewaan’ apabila Spurs sekadar seri di padang sendiri, lantas menjejaskan peluang mereka untuk kekal dalam EPL.
Pemain dari Perancis itu memecahkan kebuntuan pada awal babak kedua untuk meredakan tekanan di Stadium Tottenham Hotspur, namun kemudian menghadiahkan penalti selepas percubaan mengeluarkan bola daripada kotak penalti.
Dengan dua perlawanan lagi, Spurs kini hanya dua mata di depan West Ham, yang tewas 0-1 kepada Arsenal selepas semakan Video Pembantu Pengadil (VAR) menafikan gol penyamaan West Ham lewat permainan pada 10 Mei.
Keputusan itu memastikan Leeds dan Nottingham Forest selamat daripada penyingkiran, manakala Wolves dan Burnley telah pun tersingkir.
“Apabila kami kalah kepada Sunderland, mustahil untuk membayangkan kami berada dua mata di atas zon penyingkiran dengan dua perlawanan lagi,” kata de Zerbi.
“Sekarang kami perlu kekal positif dan terus berusaha. Kami mempunyai mutu untuk meraih mata dan kekal dalam liga. Kami akan berjuang hingga ke penghujung.
“Apabila anda berjuang mengelak penyingkiran, anda perlu lebih kuat dari segi fizikal berbanding mental. Kami perlu terus berusaha keras hingga tamat.”
Spurs tidak menguasai permainan sepenuhnya ketika menentang pasukan kendalian Daniel Farke itu di London, dan hanya memburu kemenangan ketiga di padang sendiri musim ini.
Namun mereka mendahului perlawanan itu lima minit selepas rehat apabila Tel mengawal bola hasil sepakan penjuru Pedro Porro, sebelum melengkungkan rembatan melepasi Karl Darlow, penjaga gol Leeds United.
Kira-kira 20 minit sebelum tamat permainan, Tel cuba melakukan sepakan akrobatik untuk mengeluarkan bola daripada kawasan penalti sendiri tetapi terkena kepala Ethan Ampadu, pemain tengah Leeds.
Selepas semakan VAR, pengadil, Jarred Gillett, menghadiahkan penalti dan penyerang Leeds, Dominic Calvert-Lewin, menyempurnakan jaringan gol.
Pemain tengah Tottenham Hotspur, James Maddison, menerima sorakan gemuruh ketika dimasukkan sebagai pemain gantian selepas pulih daripada kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Spurs kini mengumpul 38 mata, dua mata di depan West Ham di tangga ke-18.
De Zerbi, yang dilantik pada hujung Mac menggantikan Igor Tudor, ditugaskan menyelamatkan pasukan Spurs daripada penyingkiran pertama sejak 1977 selepas melalui musim yang penuh masalah kecederaan dan kekacauan.
Pengurus dari Italy itu merupakan pengurus ketiga Spurs dalam musim ini.
Perlawanan pertama kendaliannya bermula dengan kekalahan di Sunderland dan disusuli keputusan seri yang mengecewakan di padang sendiri ketika menentang Brighton.
Namun gol kemenangan lewat oleh pemain tengah Spurs, Joao Palhinha, ketika menentang Wolves menyuntik keyakinan kepada pasukan itu sebelum mereka menewaskan Aston Villa dalam aksi berikutnya.
Spurs bakal menghadapi Chelsea dan Everton, manakala West Ham akan menentang Newcastle dan Leeds. – Agensi berita.
