Topik diikuti
Pergi ke BHkuTempoh 12 bulan luar biasa Glasner bersama Crystal Palace
Tempoh 12 bulan luar biasa Glasner bersama Crystal Palace
Dalam tempoh 375 hari, pengurus ‘The Eagles’ itu menangi Piala FA, Perisai Masyarakat dan Liga Persidangan Eropah
Tempoh 12 bulan luar biasa Glasner bersama Crystal Palace
LONDON: Apabila Pengerusi Crystal Palace, Steve Parish, kali pertama bertemu Oliver Glasner, pada penghujung 2023, beliau tidak menyangka pertemuan itu akan mengubah sejarah kelab.
Pengarah Sukan, Dougie Freedman, telah menjejaki kerjaya Glasner bersama kelab bola sepak Eropah, Wolfsburg dan Eintracht Frankfurt sebelum mengatur pertemuan tersebut di selatan London.
Ketika itu, Roy Hodgson masih mengendalikan kelab yang bertapak di Selhurst Park itu, namun tekanan untuk perubahan semakin meningkat.
Walaupun Parish biasanya memilih pengurus berpengalaman Liga Perdana England (EPL), Glasner berjaya menarik perhatiannya.
Dua tahun setengah kemudian, Glasner membawa Palace menjuarai Liga Persidangan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) selepas menewaskan Rayo Vallecano 1-0 di Leipzig.
Ia menjadi perlawanan terakhirnya sebagai pengurus selepas tempoh 12 bulan penuh kejayaan luar biasa.
“Beliau salah seorang pengurus terbaik yang pernah dimiliki Crystal Palace,” kata pemain tengah, Adam Wharton.
“Beliau telah membawa perubahan besar terhadap cara kelab melihat pertandingan. Kini kami bukan sekadar mahu kekal dalam liga, bahkan mahu menang.”
Dalam tempoh 375 hari, Glasner membawa Palace memenangi Piala FA, Perisai Masyarakat dan Liga Persidangan Eropah – sesuatu yang hampir mustahil dibayangkan sebelum ini.
Selepas kemenangan Piala FA ke atas Manchester City di Wembley, Palace menerima tamparan besar apabila Uefa menurunkan mereka daripada Liga Europa ke Liga Persidangan Eropah kerana isu pemilikan pelbagai kelab melibatkan John Textor dan Lyon.
Namun selepas Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) memutuskan bahawa Palace melanggar peraturan pemilikan pelbagai kelab kerana John Textor memiliki pegangan dalam Palace dan Lyon, yang turut layak ke Liga Europa, pasukan Glasner diturunkan ke Liga Persidangan.
Keputusan mengejut itu hampir memadamkan kegembiraan Palace sebelum musim bermula, dengan Parish menyifatkannya sebagai “mungkin salah satu ketidakadilan terbesar dalam bola sepak Eropah” sebelum rayuan mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan gagal.
Namun, selepas penantian 120 tahun untuk trofi utama pertama, Palace enggan terus kecewa.
Mereka memulakan musim dengan menewaskan juara Liga Perdana England (EPL), Liverpool, dalam Perisai Masyarakat di Wembley.
Namun, kekacauan kembali tercetus apabila pemain tonggak, Eberechi Eze, menyertai Arsenal dengan bayaran rekod selepas lima tahun, sementara kapten, Marc Guehi, hampir meninggalkan kelab sebelum Glasner campur tangan.
Pemain antarabangsa England itu hampir menyertai Liverpool sebelum Palace membatalkan pemindahan itu pada saat akhir selepas gagal mendapatkan pengganti yang dirancang, Igor Julio dari Brighton & Hove Albion.
Selepas pemindahan Guehi gagal dimuktamadkan, yang sepatutnya membawa Palace lebih £35 juta ($60 juta) bagi pemain yang hanya berbaki setahun kontrak, hubungan antara Glasner dengan Parish kelihatan semakin tegang.
Dilaporkan Glasner mengancam meletak jawatan jika Parish meluluskan pemindahan Guehi ke Merseyside.
Beliau kecewa kerana kelab kelihatan lebih rela melepaskan pemain ketika mereka sedang bersedia menghadapi kempen Eropah pertama dalam sejarah moden kelab daripada mengekalkan dan memperkukuh skuad sedia ada.
Ketegangan di Selhurst Park semakin memuncak. Menjelang pertengahan musim, Palace berada dalam krisis.
Mereka melalui 12 perlawanan tanpa kemenangan, tercicir daripada kelompok lima teratas liga, dan hampir tersingkir daripada Liga Persidangan Eropah.
Kemuncak kekecewaan berlaku apabila mereka disingkirkan oleh kelab bukan liga, Maccesfield, dalam kejutan terbesar sejarah Piala FA.
Kurang dua minggu kemudian, Glasner mengumumkan beliau akan meninggalkan kelab pada penghujung musim selepas Palace bersetuju menjual Guehi kepada Manchester City.
Beliau secara terbuka mengkritik pihak pengurusan kerana meninggalkan pasukannya.
Namun, Parish terus mempertahankan Glasner walaupun emosinya kadangkala menguasai keadaan, tetapi beliau juga pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab itu.
Difahamkan idea untuk memecat bekas pengurus, Wolfsburg dan Frankfurt itu jarang terlintas dalam fikiran Parish.
Keputusan itu akhirnya mengubah sejarah Palace.
Ketika mengucapkan selamat tinggal di Selhurst Park selepas perlawanan terakhir EPL musim itu, Glasner sempat berseloroh tentang perselisihannya dengan Parish.
“Sekarang saya akan pergi, saya tidak perlu lagi bersetuju dengan pengerusi,” katanya sambil tersenyum.
“Beliau kata hari terhebat ialah final Piala FA, tetapi saya rasa hari terhebat masih menanti di Leipzig.”
Kemenangan Liga Persidangan Eropah memastikan Palace layak ke Liga Europa musim berikutnya dan menjadi penutup sempurna buat Glasner.
“Sekarang pun saya masih sukar percaya ini perlawanan terakhir,” kata Glasner selepas wisel penamat pada Rabu.
“Ia satu bab yang indah dalam buku Crystal Palace, tetapi bab-bab indah lain akan menyusul.” – Agensi berita.
