Tottenham pecat Frank selepas 8 bulan
LONDON: Tottenham Hotspur telah memecat pengurus, Thomas Frank, selepas lapan bulan memegang jawatan, umum kelab Liga Perdana England (EPL) itu pada 11 Februari.
Keputusan itu dibuat selepas prestasi buruk yang meninggalkan kelab utara London itu hanya lima mata di atas zon penyingkiran, satu kedudukan yang membimbangkan bagi kelab yang merupakan antara enam pasukan yang sentiasa beraksi dalam EPL sejak pembentukannya.
Tekanan terhadap Frank semakin meningkat dan kekalahan 1-2 di tempat sendiri kepada Newcastle United pada 10 Februari meninggalkan pasukannya di tangga ke-16 dengan 29 mata daripada 26 perlawanan.
“Thomas dilantik pada Jun 2025, dan kami bertekad untuk memberinya masa serta sokongan yang diperlukan untuk membina masa depan bersama,” kata Spurs dalam satu kenyataan.
“Namun, keputusan dan prestasi telah membuatkan pihak lembaga membuat kesimpulan bahawa perubahan perlu dibuat pada saat ini.”
Frank, yang menyertai Brentford pada 2018 dan menjadikan mereka kelab utama dalam EPL selepas meraih kenaikan daripada liga bawah, menghadapi kesukaran untuk meniru kejayaan itu di Tottenham, pemenang Liga Europa 2024/25.
Tanda-tanda perpisahan bagi pengurus berusia 52 tahun itu semakin jelas dilihat selepas kekalahan kepada Newcastle – kekalahan ke-11 mereka dalam kempen liga.
Penyokong tidak menyembunyikan perasaan mereka apabila sorakan mengejek kedengaran di stadium kelab dan laungan “anda akan dipecat pada pagi nanti” ditujukan kepada Frank.
Ini merupakan kekalahan liga ketujuh Tottenham di padang sendiri dalam EPL musim ini dan mereka hanya memenangi dua daripada 13 perlawanan liga di hadapan penyokong sendiri.
Penyokong Tottenham juga menyebut nama bekas jurulatih Spurs, Mauricio Pochettino, yang membawa mereka ke final Liga Juara-Juara 2019, pada 10 Februari.
Jurulatih dari Argentina itu kini mengurus pasukan nasional Amerika Syarikat.
Sebelum ini, selepas kekalahan menentang Newcastle, Frank berkata beliau telah diberi jaminan oleh pihak pemilik kelab bahawa kedudukannya masih selamat
Pihak pengurusan turut percaya bahawa Frank berdepan musim sukar akibat kecederaan beberapa pemain utama, yang menyebabkan kehilangan sumber jaringan penting, tekanan kini berada pada tahap maksimum.
Menurutnya, itu adalah sebahagian daripada tugasnya, dengan janji untuk bekerja siang dan malam bagi memperbaiki keadaan.
Namun, Frank menegaskan masalah tersebut bukan berpunca daripada seorang individu semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama seluruh pasukan.
Bercakap kepada BBC Radio 5 Live, Frank berkata sorakan ejekan penyokong selepas wisel penamat mencerminkan kekecewaan yang telah lama memuncak, sama seperti musim lalu ketika pasukan itu mengharungi aksi Eropah dan liga.
Selepas mengutip 10 daripada 15 mata maksimum dalam lima perlawanan pertama EPL di bawah kendaliannya, Spurs hanya memperoleh 19 mata daripada 21 perlawanan berikutnya.
Rentetan lapan perlawanan tanpa kemenangan itu merupakan yang terpanjang sejak 2008, apabila kelab melalui sembilan perlawanan tanpa menang sebelum Juande Ramos dipecat.
Legenda Tottenham, Glenn Hoddle, berkata Spurs kini hadapi perjuangan untuk mengelak penyingkiran dan menegaskan pemain perlu menerima hakikat itu dan berjuang bagi setiap mata, dengan sokongan penyokong.
Tempat duduk kosong kelihatan seawal sepak mula di Stadium Tottenham Hotspur, sebelum sorakan ejekan bergema selepas wisel penamat.
Bekas penyerang Spurs, Les Ferdinand, berkata ramai penyokong hilang keyakinan terhadap apa yang sedang dilakukan Frank di kelab itu, sambil menyifatkan saat tersebut sebagai “detik terdesak yang menuntut langkah terdesak”. – Agensi berita.

