Sebaik sahaja penjaga gawang Singapura, Zaiful Nizam, melihat pasukan Myanmar lalai dalam salah satu perlawanan kumpulan Piala AFF 2022, beliau segera menyuruh penyerang, Shawal Anuar, melakukan larian.
Zaiful kemudian melambungkan bola ke hadapan, dan Shawal menyempurnakan hantaran itu dengan satu rembatan voli untuk gol kemenangan 3-2 kepada pasukan Singapura.
Beliau sekali gus mencipta sejarah sebagai satu-satunya penjaga gawang yang pernah melakukan assist (hantaran yang membuka peluang jaringan) dalam kejohanan tersebut.
Namun, apabila mengimbau pengalaman itu bersama Berita Harian (BH), kekecewaan jelas dilihat di wajah Zaiful kerana tidak pernah tampil dalam skuad negara secara tetap.
Zaiful, 38 tahun, masih menyimpan hasrat untuk mewakili pasukan Singa di peringkat tertinggi dan tidak berputus asa.
“Selagi saya tidak berhenti, saya akan terus bermain dengan penuh semangat, dan matlamat saya sentiasa untuk kembali ke skuad negara serta membantu pasukan, jika berpeluang.
“Walaupun pada usia saya sekarang ini, jika saya masih dapat menyumbang dan memberikan segalanya, saya akan berikan sepenuhnya – baik untuk kelab mahupun skuad negara,” ujarnya.
Kini, selepas menerima panggilan daripada Ketua Jurulatih Tanjong Pagar United, Noh Alam Shah, untuk menyertai pasukan tersebut bagi musim Liga Perdana Singapura 2025/26, Zaiful umpama dilahirkan semula dan bertekad membawa pasukan itu ke tahap lebih baik.
“Suasananya sangat berbeza, bilik persalinan dan rakan sepasukan, ia ibarat saya baru dilahirkan dalam kelab baru, jadi saya cuba menyesuaikan diri dan berusaha mencapai sesuatu bersama pasukan,” tegasnya.
Namun, Zaiful kini berdepan cabaran sebesar gawangnya sendiri.
Beliau menggalas tanggungjawab mengukuhkan benteng Tanjong Pagar yang dibolosi paling banyak – 103 kali – dalam SPL 2024/25.
Ia sekalipun tidak menggentarkan Zaiful walaupun beliau juga akan bersaing dengan tiga penjaga gol lain dalam pasukan – pemain dari Canada, Matt Silva; serta pemain baru, Kenji Rusydi dan Sunny Tia – untuk masa permainan.
Beliau melihat persaingan posisi tersebut sebagai cabaran positif untuk memperkuat diri dan membina keyakinan pasukan.
“Tanpa cabaran, anda akan statik dan terhenti… dan ini merupakan cabaran yang baik untuk bermula dan membina keyakinan kita dalam liga,” tambahnya.
Zaiful menambah, kesemua pemain tersebut mampu beraksi dengan baik, dan apabila direkrut oleh Alam Shah, itu bermakna bekas penyerang negara itu mengambil serius peningkatan di bahagian pertahanan.
Menurutnya lagi, apa yang menariknya ke Tanjong Pagar ialah bagaimana Alam Shah, yang lebih mesra dengan panggilan ‘Along’, membentangkan visi dan apa yang ingin dicapai pasukan tersebut.
Pasukan itu bertekad mencapai kedudukan di pertengahan liga SPL, dan lebih baik lagi mencapai kedudukan tiga teratas.
Menjadi antara pemain senior di pasukan itu, Zaiful berhasrat mencurahkan pengalamannya selama hampir 20 tahun kepada rakan sepasukannya.
Bermula bermain sebagai pemain sayap di gelanggang bola sepak jalanan berdekatan rumahnya di Kallang, beliau mula menarik perhatian apabila diminta menjadi penjaga gawang dalam pertandingan antara sekolah menengah.
Beraksi dengan cemerlang dalam posisi itu, Zaiful kemudian menyertai Liga Pusat Kecemerlangan (COE) dan mendaki tangga kejayaan dalam pasukan remaja sebelum menyertai pasukan utama Gombak United pada 2006.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah beraksi bersama beberapa pasukan SPL, antaranya Balestier Khalsa, Geylang International dan Hougang United.
Beliau mendapat panggilan pertamanya ke pasukan bola sepak negara pada 2015 dan sehingga kini mempunyai lima penampilan.
“Semua itu banyak membantu saya untuk memberi sokongan kepada pasukan, terutama dari segi motivasi dan semangat.
“Apabila kami berada dalam keadaan sukar, pasukan memerlukan seorang pemimpin yang boleh menggalakkan semua pemain untuk terus maju dan kekal positif dalam permainan,” kongsinya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg