Topik diikuti
Pergi ke BHkuDi sebalik fahaman toksik yang bentuk anak lelaki hari ini
Budaya sempit tentang kelelakian dalam talian sering diikuti remaja tanpa disedari ibu bapa
Berdasarkan pengalaman saya, membesarkan anak lelaki dalam dunia digital hari ini membawa cabaran yang berbeza daripada membesarkan anak perempuan.
Ini bukan kerana mereka lebih sukar dibesarkan, tetapi kerana fahaman tentang kelelakian semakin dipengaruhi budaya manosphere yang sering diikuti remaja tanpa disedari ibu bapa.
Budaya manosphere menyebarkan fahaman sempit tentang sifat kelelakian dan hubungan lelaki-wanita dalam talian.
Ini bukan bermakna anak perempuan lebih mudah dibesarkan.
Cabaran mereka lebih ketara dan lebih banyak dibincangkan, daripada penampilan diri dan keresahan hingga keselamatan dalam talian, harga diri serta tekanan untuk berjaya.
Walaupun ibu bapa tidak sentiasa mempunyai jawapannya, sekurang-kurangnya kita tahu di mana hendak bermula.
Kebimbangan terhadap anak lelaki lebih sukar dihuraikan.
Fahaman tentang kelelakian penuh dengan percanggahan: jika terlalu keras dianggap “toksik” atau melampau, jika mudah menangis pula dianggap “lemah”.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh budaya buli serta fahaman sempit dan sikap antisosial yang mengaitkan kelelakian dengan penguasaan dan kekuatan.
Ramai ibu bapa yang mempunyai anak lelaki, berkongsi keresahan yang sama.
Anak remaja mereka semakin asyik dengan permainan video, YouTube dan dunia dalam talian yang sukar dipantau ibu bapa. Di situlah pelbagai ancaman menanti.
Dunia dalam talian anak lelaki kita
Yang membimbangkan bukan sekadar bahasa yang memperlekehkan wanita di alam maya, tetapi betapa mudahnya anak lelaki membiasakan diri dengannya.
Walaupun tidak menyetujuinya, mereka tidak tahu atau tidak berani menentangnya.
Lama-kelamaan, mereka diajar secara halus bahawa menjadi “lelaki sejati” bererti tidak mencabar status quo atau keadaan semasa walaupun terasa ada yang tidak kena.
Fenomena ini tidak terhad kepada permainan video.
Siri Netflix Adolescence (2025) menunjukkan bagaimana budaya manosphere memikat anak lelaki dengan tanggapan sifat kelelakian yang berbahaya.
Budaya ini mengagungkan penguasaan, hak seksual dan kawalan, sambil merendahkan keprihatinan, rasa saling menghormati dan tanggungjawab.
Wanita dipandang rendah atau sekadar alat pemuas nafsu, manakala lelaki yang menolak fahaman ini dicemuh sebagai lemah, terlalu lurus atau ‘blue-pilled’.
Istilah ‘blue-pilled’ atau ‘termakan pil biru’ berasal daripada filem The Matrix (1999) yang merujuk kepada individu yang selesa menerima hakikat seadanya tanpa mempersoalkannya.
Ini berbanding konsep ‘red pill’ atau ‘pil merah’, yang melambangkan penerimaan terhadap kebenaran yang pahit.
Dunia digambarkan secara hitam putih: pemenang atau kalah, alfa atau beta, diterima atau diejek.
Ada yang terpengaruh, manakala yang lain memendam perasaan, meragui diri atau mengasingkan diri kerana berasa tidak diterima.
Kedua-duanya melemahkan keyakinan diri dan, pada tahap melampau, boleh membawa kepada anggapan bahawa permusuhan serta keganasan terhadap orang lain adalah perkara biasa.
Apa yang dipaparkan Adolescence kini disokong penyelidikan.
Laporan Common Sense Media pada 2025, ‘Boys in the Digital Wild’ (Anak Lelaki di Belantara Digital), yang melibatkan lebih 1,000 remaja lelaki, mendapati tiga daripada empat remaja lelaki berusia 11 hingga 17 tahun kerap terdedah kepada kandungan berkaitan kelelakian seperti membina otot, menjana pendapatan, pergaduhan, hubungan romantik dan senjata.
Yang lebih penting, dua daripada tiga remaja lelaki menemuinya tanpa mencarinya.
Kajian itu turut mendapati mereka lebih kesunyian dan kurang meluahkan perasaan.
Perasaan itu akhirnya terserlah secara tidak diduga, sehingga mengejutkan mereka sendiri dan orang dewasa di sekeliling mereka.
Seorang guru pula berkata sejak pandemik Covid-19, setiap kohort pelajar lelaki baharu di sekolah menengah mempunyai beberapa orang yang menangis ketika perkhemahan orientasi, kerana semakin kurang mampu meluahkan perasaan dan kurang jelas tentang insan yang ingin dicontohi.
Bagaimana kita sampai ke sini?
Isi rumah yang kedua-dua ibu bapa bekerja kini menjadi kebiasaan di Singapura.
Perubahan ini membawa banyak manfaat, khususnya kepada wanita, tetapi turut menyebabkan keluarga menghadapi kekangan masa.
Jika dahulu bapa memainkan peranan besar dalam membentuk disiplin anak atau mengajar kemahiran harian, hari ini waktu kerja yang panjang, perjalanan dari atau ke tempat kerja, dan keruntuhan rumah tangga menyebabkan ramai bapa sukar untuk sentiasa hadir dalam kehidupan anak-anak.
Namun, jangan salah faham. Bapa hari ini lebih bersungguh-sungguh terlibat dalam kehidupan anak-anak.
Masalahnya bukan kurang keinginan, tetapi sistem sokongan kepada ibu bapa dan anak lelaki kian rapuh.
Kajian oleh National Bureau of Economic Research di Amerika Syarikat pula menunjukkan bahawa pengurangan masa bersama ibu bapa semasa zaman kanak-kanak memberi kesan yang lebih buruk kepada anak lelaki berbanding anak perempuan.
Hakikatnya, kehadiran bapa atau lelaki yang dipercayai amat penting.
Anak lelaki belajar mengurus kemarahan, kekecewaan dan perselisihan bukan sekadar melalui nasihat, tetapi dengan mencontohi lelaki dewasa dalam kehidupan mereka.
Di rumah, anak-anak lelaki kami menjadikan ayah mereka sebagai teladan.
Mereka cenderung mendapatkan bantuan ayah mereka apabila ingin meningkatkan kemahiran dalam permainan atau sukan.
Namun, dalam dunia digital hari ini, masa bersama ayah semakin disaingi masa di hadapan skrin.
Seperti kata Encik Kelvin Seah, ketua kumpulan masyarakat ‘The Ordinary Dad’ dan bapa kepada dua anak lelaki remaja: “Membesarkan anak remaja ibarat satu tarian. Kita perlu menyesuaikan diri dengan dunia mereka, bukan memaksa mereka menerima kita.”
Malangnya, dunia digital yang mempesona ini membawa risiko ketagihan kepada minda muda dan jarang membina hubungan yang mendalam.
Semakin banyak masa yang diluangkan di alam maya, semakin ramai lelaki muda yang berasa kesunyian sambil dibanjiri fahaman toksik yang sukar difahami.
Ada kalanya penderitaan mereka terpendam, dan ada kalanya terserlah dalam bentuk yang mudah disalah tafsir.
Anak lelaki juga dibesarkan dengan tanggapan bahawa hanya emosi tertentu dianggap wajar atau lebih “lelaki” untuk diluahkan, manakala selebihnya disembunyikan di sebalik sikap tabah atau lagak berani.
Mungkin inilah sebabnya penderitaan anak lelaki sering dizahirkan secara berbeza daripada anak perempuan.
Menurut seorang wartawan, Encik David Batty, berdasarkan kajian ahli psikologi Amerika Syarikat, Cik Lisa Damour, penderitaan anak lelaki sering terlihat melalui tingkah laku seperti cepat marah, hilang minat, suka mengambil risiko atau melanggar peraturan.
Namun, tingkah laku ini lebih mudah dibalas dengan hukuman daripada keprihatinan.
Cik Damour menjelaskan perkara ini dalam eseinya, Boys Are Suffering Too. Here’s How We Miss That (Anak Lelaki Juga Menderita. Inilah Sebabnya Kita Terlepas Pandang).
Beliau berpendapat orang dewasa mudah menganggap ketagihan permainan video atau pendedahan kepada kandungan lucah sebagai masalah disiplin.
Menurutnya, tingkah laku ini menjadi cara daya tindak untuk seseorang mengawal atau mematikan perasaan yang sukar ditanggung, atau mengembalikan rasa mampu mengawal keadaan dalam persekitaran yang mengelirukan atau mengancam.
Jika kita benar-benar ingin memahami cabaran yang dihadapi anak lelaki, kita perlu melihat di sebalik tingkah laku mereka dan memahami puncanya.
Yang menjadi masalahnya bukanlah kerana mereka tertarik kepada sisi gelap alam maya, tetapi terpaksa mencari makna kekuatan, identiti dan tempat mereka dalam masyarakat sendiri.
Remaja kini dibelenggu kandungan yang digerakkan algoritma, yang kadangkala tiada panduan moral mahupun tanggungjawab yang jelas.
Pada masa yang sama, ekoran ibu bapa yang kesuntukan masa dan semakin kurang peluang membimbing serta menjadi teladan di rumah, keadaan ini sedikit demi sedikit mengundang padah.
Apakah peranan ibu bapa?
Perkhidmatan Negara (NS), antara institusi terakhir di Singapura yang dikhususkan untuk lelaki, masih membawa gagasan membentuk “anak lelaki menjadi lelaki”.
Namun, apabila anak lelaki kita memasuki NS, tabiat, pegangan dan cara menangani cabaran lazimnya sudah terbentuk.
NS boleh mengukuhkan atau membetulkan perkara tertentu, tetapi tidak mampu menggantikan pembentukan sahsiah yang sepatutnya bermula lebih awal melalui bimbingan lelaki dewasa yang boleh dipercayai.
Sukan juga menjadi benteng perlindungan.
Saya bersyukur kerana sukan banyak membentuk anak-anak lelaki saya.
Melalui latihan, pertandingan, disiplin dan kekecewaan yang dialami bersama rakan-rakan, mereka belajar menerima teguran tanpa rasa dihina, dan bekerjasama ke arah matlamat bersama.
Sukan juga memberi mereka peluang membina keyakinan dan harga diri berasaskan pengalaman sebenar.
Pengalaman bersukan bukan hanya penting untuk anak lelaki. Namun, bagi mereka khususnya, peluang ini kini lebih penting berbanding dahulu.
Ketika gambaran tentang kelelakian semakin dibentuk oleh dunia digital, bersukan memupuk rasa kebersamaan, tanggungjawab dan matlamat bersama sebelum dunia dalam talian menentukan jati diri mereka.
Sebagai ibu bapa, kita sering menumpukan perhatian kepada perkara yang “tidak boleh” dilakukan.
Batasan memang penting, tetapi tidak mencukupi.
Anak-anak lelaki juga perlu dibimbing mengenal apa yang benar dan baik agar mereka berani mempertahankannya.
Mungkin masalah utamanya ialah kita semakin kabur tentang makna seorang lelaki yang baik.
Kelelakian kini lebih sering ditakrifkan melalui perkara yang tidak patut dilakukan, berbanding nilai seperti tanggungjawab, kawalan diri, sifat penyayang dan keberanian.
Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa dan pendidik amat penting.
Walaupun tidak menzahirkannya, anak remaja kita sebenarnya mendambakan kehadiran kita.
Seperti kata Encik Kelvin Seah: “Salurannya mungkin berubah, tetapi keperluan untuk berhubung tetap sama. Anak-anak lelaki kita perlu dilihat, dipercayai dan dihargai kebaikan mereka.”
Beliau turut mengingatkan, kebimbangan terhadap kandungan dalam talian memang berasas.
Namun, kebimbangan itu boleh menyebabkan ibu bapa bertindak terlalu keras atau menjauhkan diri.
Yang lebih penting ialah ibu bapa terus hadir, peka terhadap peluang untuk berhubung dan memanfaatkannya.
Suami saya dan saya sedar bahawa menjauhkan diri bukanlah pilihan yang baik.
Apabila muncul tanggapan bahawa wanita perlu tunduk kepada lelaki atau lelaki berhak memaksa orang lain, kami membincangkannya bersama anak-anak.
Apabila ayah mereka menunjukkan kelemahan atau meluahkan kesedihan atau kekecewaan, saya membiarkannya, bukan menghalangnya.
Kami tidak mempunyai semua jawapan, tetapi ingin anak-anak belajar menilai yang mana betul dan yang mana salah, dan berbincang secara terbuka.
Mereka juga bertuah membesar bersama seorang kakak yang mengajar mereka menghormati perasaan, pandangan dan batasan orang lain.
Walaupun tarikan skrin sentiasa ada, kita sebagai orang dewasa perlu menunjukkan, menjelaskan dan meneguhkan gambaran jati diri dan rasa kepunyaan yang sihat dalam masyarakat.
Dr. Jared Tan, Ketua Ahli Psikologi Klinikal di Focus on the Family Singapore menegaskan bahawa remaja memerlukan hubungan yang mesra, keprihatinan dan ruang selamat untuk rasa difahami.
Apabila remaja diterima seadanya, dengan segala kekuatan, kelemahan dan keperibadian mereka, mereka lebih terbuka membincangkan perkara yang memberi makna dan hala tuju dalam hidup mereka.
Sudah tentu, perbualan seperti ini dapat berlaku apabila kita bersedia memasuki dunia anak-anak remaja kita.
Seperti yang disarankan oleh Dr. Tsao I Ting, Ahli Psikologi Klinikal di Redwood Psychology, ibu bapa boleh menyelami dunia anak-anak dengan bermain permainan video, menonton siri popular atau meneroka gajet bersama agar dapat membentuk nilai dan jati diri mereka.
Selama beberapa dekad, perhatian banyak tertumpu kepada peluang untuk anak perempuan. Sudah tiba masanya kita turut memberi perhatian kepada kesukaran yang sering dipendam oleh anak lelaki.
Tugas membimbing mereka tidak boleh diserahkan kepada algoritma, tetapi mesti dibina melalui hubungan, kehadiran dan teladan.
Pertaruhannya terlalu tinggi untuk kita berdiam diri.
June Yong ialah ibu kepada tiga orang anak dan Ketua Program di Focus on the Family Singapore. Beliau kini mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang kaunseling. Artikel ini pertama kali diterbitkan The Straits Times (ST).

