Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jadikan SCIS institusi pengajian Islam berwibawa, terbilang

Aug 24, 2025 | 5:30 AM
Foto fail
Foto fail - Foto fail

Pengumuman tentang penubuhan kampus khusus bagi Kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) di Rochor yang akan dibina bersebelahan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) adalah satu berita yang menggembirakan.

Dalam ucapannya sempena Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa bangunan berlainan buat SCIS dan SUSS akan membolehkan dua institusi tersebut mencerminkan matlamat serta identiti unik masing-masing.

Namun pada masa yang sama, kedua-dua institusi tersebut boleh berkongsi kemudahan, dengan pelajar SCIS boleh juga mengambil kursus sains kemasyarakatan daripada SUSS sebagai sebahagian pengajian mereka.

Memberi reaksinya, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata interaksi antara pelajar SCIS dengan pelajar SUSS kelak adalah penting bagi melahirkan asatizah generasi baru yang mampu membimbing masyarakat Islam dalam persekitaran berbilang budaya di Singapura.

Malah, dengan kedua-dua institusi dibina berhampiran satu sama lain, dua golongan pelajar itu juga dapat berkongsi kemudahan dan ruang, sekali gus mewujudkan peluang bagi pelajar berinteraksi dan memperkaya kehidupan kampus mereka.

Beliau juga menyambut baik pengumuman pembangunan SCIS di Rochor itu selain berbesar hati bagi SCIS dibina bersebelahan kampus SUSS kelak.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), kohort pelajar pertama SCIS, yang bakal memulakan pengajian pada 2028, akan ditempatkan di kampus sementara di 51 Bencoolen Street sehingga kampus Rochor itu siap dibina.

Kampus SCIS, ujar Muis, akan menampilkan elemen seni bina Islam dan menerapkan prasarana khusus untuk memenuhi keperluan pelajar.

Muis menambah, kerjasama strategik dengan SUSS, terutama dalam menyediakan modul pembelajaran sains kemasyarakatan, akan mempersiapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran amali untuk berkhidmat lebih baik kepada masyarakat.

Selain kerjasama dengan SUSS, SCIS juga bekerjasama dengan institusi antarabangsa seperti Dar al-Ifta dari Mesir, Universiti Jordan dan Universiti Al-Qarawiyyin dari Maghribi.

Sebelum ini pada 10 November 2024, Encik Wong pernah menyatakan bahawa SCIS akan menawarkan dua laluan dalam jurusan pengajian Islam dan sains kemasyarakatan.

Penuntut kolej itu boleh meraih ijazah sarjana muda yang dianugerahkan SCIS pada akhir pengajian mereka dalam bidang pengajian Islam atau sains kemasyarakatan.

Yang penting, pembangunan SCIS berdekatan kampus SUSS mencerminkan langkah murah hati pemerintah Singapura dalam memastikan piawaian pengajian Islam SCIS yang bermutu, selain dapat mempertingkat imej dan status SCIS di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Langkah itu sememangnya harus disambut baik dan merupakan satu pengiktirafan terhadap SCIS dalam membangunkan ilmu pengajian Islam ke tahap lebih tinggi selain membangun dan mewujudkan golongan asatizah yang bermutu dan berwibawa.

Malah tidak mustahil, penubuhan SCIS boleh menarik minat dan penyertaan pelajar daripada luar negara, memandangkan imej Singapura sebagai penyedia mutu pendidikan yang tinggi.

Kini, tugas masyarakat Melayu/Islam Singapura dan kepimpinannya pula untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan wawasan dan matlamat SCIS dapat direalisasikan melalui usaha dan kerjasama erat antara mereka dan juga pemerintah.

Ini demi melahirkan golongan guru dan ulama yang boleh memimpin masyarakat Muslim dengan jayanya, dalam konteks berbilang agama dan budaya di Singapura, sedang negara ini terus mencapai kemajuan dan kemakmuran secara bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg