Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar inap hotel mewah S’pura pulih susulan lumba F1, acara Mice

Oct 13, 2025 | 7:08 PM
ekonomi, hotel mewah S’pura, F1, acara Mice tarik pengunjung
Hotel seperti Pan Pacific Orchard dijangka menikmati peningkatan penginapan dan kadar harga pada separuh kedua 2025. - Foto PAN PACIFIC ORCHARD

Selepas prestasi lembap pada separuh pertama 2025, kebanyakan hotel mewah di Singapura dijangka kembali rancak menjelang akhir tahun.

Dorongan utama datang daripada acara berskala besar seperti perlumbaan malam Formula Satu (F1), Sidang Kemuncak Asia anjuran Milken Institute, simposium mata wang kripto Token2049, dan pameran pelancongan ITB Asia – sebahagian daripada jadual padat acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice) pada suku terakhir 2025.

Menurut data Lembaga Pelancongan Singapura (STB), kadar penginapan hotel mewah meningkat kepada sekitar 88 peratus sejak Julai, menandakan pemulihan dalam permintaan selepas tempoh perlahan antara Mac dengan Jun, apabila purata kadar penginapan hanya 76.4 peratus.

Penurunan awal tahun 2025 pula berpunca daripada perbelanjaan pelancong yang berkurangan, ekonomi sejagat yang tidak menentu serta kos operasi yang meningkat, lapor The Business Times (BT).

Beberapa kumpulan hotel utama seperti UOL Group, OUE Real Estate Investment Trust (REIT) dan CDL Hospitality Trusts (CDLHT) turut terjejas.

Bagi UOL, hasil keseluruhan bilik hotel, hasil setiap bilik tersedia (RevPAR) menurun sedikit kepada $291, berbanding $298 pada 2024.

Walaupun begitu, kadar penginapan meningkat kepada 77 peratus, menunjukkan tanda pemulihan.

Hotel Hilton Singapore Orchard, di bawah kumpulan UOL, mencatat penurunan 21 peratus dalam RevPAR kepada $230, disebabkan pertambahan bekalan bilik di kawasan Orchard.

Sejak 2023, beberapa hotel mewah baru dibuka di kawasan beli-belah utama itu, termasuk Pan Pacific Orchard, Artyzen Singapore, The Singapore Edition dan The Standard, Singapore.

CDLHT pula mencatat penurunan 14.2 peratus dalam RevPAR kepada $165, dengan pengurusannya menjelaskan permintaan korporat yang lemah serta ketidaktentuan sejagat memberi kesan kepada prestasi.

Menurut Encik Sashi Rajan dari JLL Hotels & Hospitality, kekuatan dolar Singapura turut menyebabkan pelancong dan syarikat lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.

Walaupun kadar penginapan stabil, harga bilik kini berdepan tekanan.

Tambahan 1,325 bilik hotel baru yang dijangka siap menjelang akhir 2025 dijangka meningkatkan persaingan, kata Ketua Penyelidikan (Singapura dan Asia Tenggara) daripada Cushman & Wakefield, Encik Wong Xian Yang.

Hotel mungkin perlu menawarkan harga lebih menarik untuk mengekalkan kadar penginapan.

Namun, Marina Bay Sands (MBS) terus mendahului pesaingnya dengan pertumbuhan hasil hotel sebanyak 8 peratus pada suku kedua kepada AS$134 juta.

Pengubahsuaian besar-besaran menjadikan hampir separuh biliknya ruang suite, dengan pasukan butler yang kini tiga kali ganda lebih besar.

Kasino MBS turut mencatat peningkatan hasil 51 peratus kepada AS$1.1 bilion, menjadikannya antara penyumbang utama pada hasil pertumbuhan hotel tersebut.

Menurut Ketua Penyelidikan di Colliers Singapore, Cik Catherine He, kekuatan jenama dan reputasi MBS sebagai destinasi mewah menjadikannya “dalam kelas tersendiri”.

Sektor pelancongan Singapura pula dijangka semakin kukuh.

Ketibaan pelawat meningkat daripada 1.25 juta pada Jun kepada 1.68 juta pada Julai, dan 1.61 juta pada Ogos.

Bagi hotel mewah, kadar purata bilik bagi Julai dan Ogos ialah $642, naik 1.8 peratus berbanding pada 2024.

Jurucakap Pan Pacific Hotels Group berkata prestas 2025 “lebih baik berbanding 2024”, dengan kadar penginapan dan harga bilik yang meningkat di seluruh rangkaian.

Pengarah Urusan Fairmont Singapore dan Swissotel The Stamford, Encik William Haandrikman, menarik perhatian bahawa bilik yang menghadap litar F1 mendapat sambutan tinggi, didorong oleh kadar lebih tinggi dan tempoh penginapan lebih panjang.

Beliau menjangkakan rentak itu berterusan menjelang konsert Blackpink, Jacky Cheung, dan musim perayaan hujung tahun – walaupun permintaan korporat dijangka kekal perlahan.

Menambah kepada optimisme industri, beberapa hotel mewah baru sedang dibangunkan termasuk Aman Singapore di The Skywaters, 8 Shenton Way, yang dijangka siap pada 2028.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg