Ketua sindiket jenayah dari Kemboja yang didakwa, Encik Chen Zhi, bersama rakan-rakannya, menubuhkan sebuah pejabat keluarga di Singapura.
Pejabat itu didakwa menikmati potongan cukai, di samping menjalin hubungan dengan firma disokong pelabur negara, Temasek, serta membelanjakan jutaan dolar hartanah di republik ini.
Encik Chen dan beberapa rakan, termasuk tiga rakyat Singapura, dikenakan sekatan oleh pemerintah Amerika Syarikat pada 14 Oktober, lapor The Straits Times (ST).
Mereka disyaki terlibat dalam sindiket mata wang kripto yang mengubah wang haram bernilai berbilion dolar hasil penipuan pelaburan dalam talian.
Sindiket itu dikatakan memaksa pekerja di Kemboja memperdaya mangsa di seluruh dunia dalam skim penipuan ‘pig butchering’, iaitu apabila mangsa dipujuk menambah pelaburan sebelum akaun mereka dikosongkan.
Kes itu kini mendorong pihak berkuasa dan syarikat di Singapura meneliti semula hubungan kewangan kumpulan itu dengan hab kewangan.
Encik Chen dan rakan utamanya, Cik Chen Xiuling, menubuhkan DW Capital Holdings di Singapura pada 2018, yang mendakwa menerima insentif cukai 13X daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Encik Chen dilaporkan sebagai pengasas dan pengerusi syarikat itu, manakala Cik Chen berkhidmat sebagai ketua pegawai kewangan sejak 2021.
MAS sedang menyiasat sama ada terdapat pelanggaran keperluan undang-undang dalam kes tersebut.
Syarikat itu tidak memberi maklum balas ketika dihubungi, lapor ST.
Kes tersebut menimbulkan persoalan tentang peranan Singapura sebagai hab kewangan yang turut digunakan bagi memudahkan kegiatan jenayah rentas sempadan.
Beberapa individu dalam kes pengubahan wang haram terbesar negara itu juga pernah mengendalikan pejabat keluarga yang menerima pengecualian cukai.
Di peringkat antarabangsa, tindakan terhadap Prince Group merupakan sebahagian langkah sekatan Amerika yang menyasarkan institusi berpusat di Kemboja.
Agensi FinCEN, di bawah Jabatan Perbendaharaan Amerika, menyingkirkan Huione Group daripada sistem kewangan Kemboja, memetik laporan Bloomberg tentang cabaran mengekang pasaran haram tertutup dalam usaha membanteras pengubahan wang haram.
Cik Chen pernah menjadi pengarah bebas di 17Live Group, wadah penstriman langsung yang disokong oleh Temasek, sebelum meletak jawatan pada 16 Oktober.
Pelantikan beliau dibuat ketika 17Live disenaraikan di Bursa Singapura (SGX) pada Disember 2023 selepas bergabung dengan Vertex Technology Acquisition Corp. – syarikat pemerolehan khas yang mendapat sokongan Temasek dan Vertex Ventures.
Temasek mengekalkan kepentingan tidak langsung hampir 26 peratus dalam 17Live setakat Mac.
17Live, yang disenaraikan di SGX pada Disember 2023 selepas bergabung dengan Vertex Technology Acquisition Corp., menegaskan tidak pernah menjalankan urusan dengan DW Capital atau individu terbabit.
Prince Group turut mempunyai hubungan perniagaan dengan firma Singapura dalam projek Ream City bernilai AS$16 bilion ($20.7 bilion) di Sihanoukville, Kemboja.
Canopy Sands Development, anak syarikat Prince, melantik Surbana Jurong untuk perancangan induk projek tersebut, namun Surbana Jurong menegaskan projek itu tamat pada 2022 tanpa sebarang peranan operasi.
Selain itu, unit penginapan CapitaLand Investment, The Ascott, dilantik mengurus dua hotel di Kemboja dan menyatakan ia tidak memiliki pegangan dalam hartanah tersebut.
Chen Zhi dilaporkan membeli ‘penthouse’ mewah bernilai $17 juta di Gramercy Park, manakala rakannya, Encik Li Thet, membeli unit berharga $18.2 juta di Boulevard Vue.
Prince Group sebelum ini menafikan dakwaan terbabit dalam pengubahan wang haram di laman webnya, namun kenyataan itu kini tidak lagi dapat dilihat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg