Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ketika latihan ketenteraan dan pasukan simpanan dikerahkan, saya menyedari sesuatu yang kekal dalam ingatan saya.

Semakin ramai Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) yang melapor diri untuk bertugas merupakan golongan karyawan yang berkelayakan tinggi. Jurutera, kakitangan penjagaan kesihatan, penganalisis data dan lain-lain.

Mereka adalah golongan yang membina sistem genting dan menyokong perkhidmatan penting dalam pekerjaan harian mereka, kemudian berseragam untuk latihan dalam kem (ICT).

Ramai berkhidmat melebihi tanggungjawab mereka - bukan kerana terpaksa, tetapi kerana ingin menyumbang.

Saya tersentak, kita sebenarnya memiliki satu sumber nasional luar biasa yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Mengapa ini penting

Sebelum berkhidmat dalam pemerintah, saya menghabiskan beberapa tahun dalam sektor swasta, kebanyakannya dalam bidang teknologi dan perundingan.

Saya melihat sendiri betapa sukarnya mencari dan mengekalkan bakat. Syarikat bersaing hebat merebut golongan pakar yang terhad, dan permintaan sering melebihi bakat yang boleh ditawarkan.

Di pihak pertahanan, saya melihat cabaran yang sama dari sudut berbeza.

Ancaman kini tidak lagi terbatas kepada lingkungan kebiasaan. Serangan siber terhadap prasarana utama Singapura telah meningkat, dan awal tahun ini (2026), keempat-empat syarikat telekomunikasi utama kita menjadi sasaran serangan siber canggih.

Lebih 100 pakar digerakkan dalam operasi keselamatan siber terbesar setakat ini untuk mengawalnya.

Cabaran ini tidak terhad kepada sektor siber sahaja.

Sistem yang memastikan Singapura terus berfungsi, iaitu merangkumi sektor kesihatan, pengangkutan, operasi maritim dan perkhidmatan penting, semakin rumit dan saling terkait.

Melindungi sistem ini memerlukan beraneka kemahiran khusus.

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang membina keupayaan melalui program latihan, Skim Bekerja Sambil Belajar (WLS) dan biasiswa. Namun, pembangunan bakat dalaman sahaja tidak mencukupi.

Tahap dan cabaran yang berbeza menuntut kita melampaui pendekatan lazim.

Kelebihan struktur S’pura

Kebanyakan negara menganggap tentera dan bakat awam sebagai dua dunia berasingan. Sistem NS menyediakan satu kelebihan tersendiri: jambatan langsung antara kedua-duanya.

Setiap warga Singapura lelaki yang layak dan bekerja sebagai karyawan ialah anggota NS yang sedia berkhidmat.

Bakat ini sememangnya ada. Tugas kita adalah memanfaatkannya sebaiknya.

Sekian lama, kita belum melaksanakannya sewajarnya. Peranan anda sebagai Anggota NS Sepenuh Masa (NSF) banyak menentukan peranan dalam pasukan simpanan, tanpa mengira sejauh mana kerjaya anda.

Seorang jurutera perisian mungkin terus berkhidmat sebagai pemandu. Seorang pakar keselamatan siber mungkin tidak pernah menyentuh papan kekunci semasa ICT.

Kita sedang mengubah keadaan ini secara berperingkat.

Melalui Skim Pengerahan Kepakaran Dipertingkat (EEDS), kita telah mengerahkan semula kira-kira 850 anggota NSmen ke dalam peranan yang sejajar dengan kemahiran mereka meliputi lebih 20 bidang.

Ini termasuk bidang seperti pertahanan siber, sokongan perubatan dan peranan khusus yang lain.

Bakat dwiguna, bukan sekadar teknologi dwiguna

Apa yang sedang kita bina bukan sekadar keupayaan, tetapi satu perubahan cara berfikir.

Dalam pertahanan, kita sering membincangkan  tentang teknologi “dwiguna”. Namun yang kini kita serlahkan ialah bakat “dwiguna”.

Karyawan yang melindungi rangkaian bank pada hari Isnin boleh mempertahankan prasarana telekomunikasi negara semasa menjalani tugas pasukan simpanannya.

Karyawan perubatan yang menyokong masyarakat dalam pekerjaan harian boleh menyumbang kepada pengukuhan daya tahan ketika diperlukan.

Kepakaran mereka tidak berubah apabila mereka berseragam. Yang berubah hanyalah ke mana kepakaran itu disalurkan.

Ini mengukuhkan hubungan antara sektor awam dan pertahanan negara. Ia juga meyakinkan rakyat Singapura mereka yang melindungi sistem genting kita benar-benar arif tentangnya kerana mereka mengendalikannya setiap hari.

Kumpulan bakat ini lebih luas daripada anggota NSmen sahaja.

Melalui Rangkaian Sukarelawan Pertahanan SG (SGDVN) yang bakal dilancarkan tahun ini, kita memperluas laluan untuk wanita, Penduduk Tetap (PR) dan warganegara baharu untuk menyumbang kemahiran karyawan mereka kepada pertahanan.

Kor Sukarelawan SAF (SAFVC) juga sedang dipertingkatkan dengan lebih banyak peranan operasi, melibatkan sukarelawan secara lebih rapat ke dalam unit SAF.

Kita melihat ini dalam Latihan Wallaby tahun lalu (2025), di mana sukarelawan SAFVC dikerahkan bersama anggota SAF.

Pertahanan tidak boleh menjadi tanggungjawab NSmen dan NSF sahaja.

Sesiapa yang menganggap Singapura sebagai tanah air harus berpeluang memainkan peranan.

Apa maknanya di luar pertahanan

Perkhidmatan Negara (NS) sering dibincangkan dari sudut tanggungjawab. Itu penting. Namun ada sudut pandang lain.

NS memberi Singapura laluan langsung kepada keseluruhan bakat karyawan rakyatnya.

Setiap kemahiran yang dibangunkan dalam kerjaya awam adalah satu sumber keupayaan pertahanan.

Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana sektor awam dan swasta boleh bekerjasama.

Kerjasama ini bukan sekadar dalam perolehan teknologi, tetapi dalam bakat. Sementara itu, dunia sering membincangkan tentang teknologi dwiguna.

Singapura kini sedang mengerahkan bakat dwigunanya untuk menyokong Pertahanan Mutlak.

Saya ingin mendengar pandangan pemimpin sektor swasta: bagaimana kita boleh menjalin kerjasama yang lebih berkesan?

Jika pekerja anda, sama ada NSmen atau sukarelawan, mempunyai kemahiran untuk mengukuhkan pertahanan negara, bagaimana kita boleh mewujudkan rangka kerja yang memanfaatkan kededua pihak?

Dalam dunia di mana cabaran mengatasi sempadan sedia ada, garis antara kepakaran awam dan keupayaan pertahanan semakin kabur.

Bakatnya sama. Misinya sama.

Kita baru bermula.

Rencana ini ditulis oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Encik Zaqy Mohamad untuk Berita Harian.