Ganda amalan, elak pembaziran semasa Ramadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ganda amalan, elak pembaziran semasa Ramadan

Ramadan malah beri peluang jimat belanja harian
Feb 1, 2026 | 3:00 PM

Ganda amalan, elak pembaziran semasa Ramadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pada Ramadan ini, kita boleh menggandakan amalan menderma termasuk sumbangan derma ke masjid/madrasah tempatan dan membantu golongan fakir/miskin Muslim di dalam dan luar negara.
Pada Ramadan ini, kita boleh menggandakan amalan menderma termasuk sumbangan derma ke masjid/madrasah tempatan dan membantu golongan fakir/miskin Muslim di dalam dan luar negara. - Foto fail

Kita bakal memasuki pertengahan Syaaban, dan ini bermakna bulan mulia Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi.

Pelbagai perkembangan berkaitan Ramadan telah mula digembar-gembur, termasuk persiapan masjid setempat dalam persediaan menyambut bulan suci itu dengan pelbagai kegiatan.

Begitu juga dengan berita pembukaan bazar yang menjadi tumpuan masyarakat Melayu/Islam sempena Ramadan.

Bertemakan Gemilang Kampong Gelam 2026, Bazar Kampong Gelam akan diadakan selama 33 hari dari 11 Februari hingga 15 Mac.

Bagi Bazar Ramadan Geylang Serai pula, ia akan bermula pada 14 Februari hingga 6 pagi 21 Mac, keseluruhan selama 35 hari.

Kita doakan kejayaan kepada mereka yang berniaga sempena Ramadan, termasuk yang menyediakan makanan berbuka puasa.

Bagi yang berpuasa pula, kita berharap dapat melakukan yang sebaiknya.

Usah berbelanja berlebihan

Antara matlamat Ramadan adalah untuk mengukuhkan iman, melatih disiplin diri, menyemai sifat pemurah, membersihkan jiwa daripada hawa nafsu, serta mengukuhkan hubungan dengan Allah swt.

Muslim berpuasa dari sebelum subuh hingga waktu maghrib, berlapar dahaga sepanjang hari.

Namun, apabila tiba berbuka puasa ada sebilangan yang menyajikan begitu banyak makanan, sehingga kadangkala makanan tidak dapat dihabiskan.

Ada juga yang makan terlalu banyak sehingga perut terlalu kenyang.

Ada juga makanan yang disediakan dengan kos agak tinggi.

Perbelanjaan besar itu bertentangan dengan tujuan berpuasa iaitu bagi kita berhemat dalam perbelanjaan selain berasa lapar dan dahaga agar dapat merasakan kesukaran hidup golongan fakir/miskin, yang sebilangan mereka dapat makan makanan asas sewaktu berbuka.

Ada memberi alasan bahawa pada Ramadan sahajalah mereka boleh menemui atau menjamu pelbagai macam hidangan menarik, justeru tertarik membeli pelbagai jenis makanan.

Ini menyebabkan kos perbelanjaan menjadi lebih tinggi berbanding hari biasa di luar Ramadan.

Ini sedangkan Ramadan memberi kita peluang bukan hanya untuk berpuasa dengan tenang dan tawaduk, bahkan membantu kita menjimatkan belanja harian.

Memang ada memberi alasan bahawa Ramadan berlangsung setahun sekali sahaja, bukan tiap bulan atau sepanjang tahun.

Cuma berbalik kepada tujuan berpuasa, kita bukan sahaja diwajibkan berpuasa berlapar dahaga, bahkan menahan nafsu mengeluarkan belanja besar untuk berbuka puasa.

Bersikap Dermawan

Satu lagi perkara bersempena Ramadan ini, ambillah peluang membuat lebih banyak amal menderma membantu golongan bernasib baik.

Menurut beberapa alim, tujuan Ramadan ini bukan untuk melakukan amal termasuk menderma, tetapi untuk menggandakan amal kita termasuk dalam perihal menderma.

Contohnya, jika kita biasanya menderma $30-$60 sebulan pada bulan-bulan biasa, semasa Ramadan kita boleh menggandakan derma kepada $60-$120 atau lebih lagi, dengan Islam turut menegaskan setiap amalan baik semasa Ramadan digandakan ganjarannya.

Pada Ramadan ini, kita boleh menggandakan amalan menderma ini termasuk sumbangan ke masjid/madrasah tempatan, bantuan kemanusiaan ke Gaza, serta membantu golongan fakir/miskin Muslim di dalam dan luar negara.

Rebutlah peluang menggandakan amalan baik kerana kita tidak pasti sama ada kita akan menemui Ramadan lagi pada masa depan.

Bayar Zakat

Berkaitan dengan menggandakan amalan baik sempena Ramadan, kita juga boleh mengambil kesempatan kemuliaan bulan itu untuk membayar zakat harta (selain zakat fitrah) yang merupakan rukun Islam yang keempat.

Pengiraan bayaran zakat harta ini tidaklah susah.

Cukup haul (setahun) dan cukup nisab (kurang lebih $15,750 pada Januari), seseorang itu wajib membayar zakat harta hanya sebanyak 2.5 peratus daripada harta/aset mereka.

Ini termasuk wang dalam akaun simpanan, pelaburan emas dan saham, serta aset lain yang dalam penguasaan penuh kita.

Ada memberi alasan bahawa zakat harta hanya bagi orang kaya sahaja, justeru mereka sekadar membayar zakat fitrah. Ini adalah kenyataan salah.

Selagi seseorang itu menepati syarat haul dan nisab seperti yang disebutkan, mereka sudah wajib membayar zakat harta.

Contohnya, seseorang yang mempunyai simpanan minimum $15,750 selama tempoh setahun, sudah wajib membayar zakat harta.

Yakinlah, pembayaran zakat harta ini bukan sahaja menyucikan hati kita, daripada nafsu kedekut dan tamak, bahkan menyucikan harta/aset kita.

Jika kurang pasti cara pengiraan dan pembayaran zakat, kunjungilah laman web Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) atau hubungilah mereka.

Rumusan

Bulan Ramadan merupakan bulan istimewa kerana mengandungi pelbagai kebaikan dan kemuliaan.

Ia merupakan bulan yang mana Al-Quran diturunkan, pahala dilipatgandakan, adanya malam amat istimewa iaitu malam lailatulqadar.

Bahkan Ramadan juga merupakan bulan penuh keampunan dengan pintu syurga dibuka sementara pintu neraka ditutup.

Bahkan, pada bulan ini, doa selalu dimakbulkan.

Oleh itu, rebutlah peluang setahun sekali ini untuk melakukan dan menggandakan amalan baik dan mengelakkan perbuatan kurang elok termasuk pembaziran dalam bulan mulia Ramadan.

Dengan melakukan amalan baik ini, kita berharap diri kita, negara ini dan penduduknya akan terus dilimpahi kebaikan dan kemakmuran yang berterusan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg