Apakah yang menjadikan kerjasama Singapura dan China kekal kukuh walaupun banyak berubah selama puluhan tahun?

Antara faktor utama ialah kesediaan kita untuk menjayakan inovasi bersama. Sedang ekonomi berkembang dan keperluan berubah, kedua-dua pemerintah terus mencari cara baharu untuk bekerjasama.

Tiga projek antara pemerintah kita menggambarkan ini.

Ketiga-tiganya memenuhi keperluan pada tahap pembangunan berbeza, daripada pembangunan perindustrian di Taman Perindustrian Suzhou (SIP) kepada pembangunan bandar mampan di Bandar Ekologi Tianjin dan kesalinghubungan menerusi Inisiatif Ketersambungan Chongqing.

Ketiga-tiganya terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan, membuka ruang kerjasama baharu.

Kini, kerjasama meliputi ekonomi digital dan hijau, penjagaan kesihatan, bioteknologi serta pasaran pihak ketiga.

Semangat inovasi yang sama harus diterapkan dalam meneroka peluang ini.

Saya akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-22 dengan Naib Perdana Menteri Majlis Negara Republik Rakyat China, Encik Ding Xuexiang, di Singapura pada 23 November.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sebagai wadah tertinggi kerjasama dua hala, JCBC membolehkan kita menilai kemajuan dan mengenal pasti bidang pertumbuhan baharu.

Mesyuarat tahun ini memberi peluang memperluas kerjasama inovasi.

Usaha bersama mencari penyelesaian baharu

Inovasi ialah keutamaan Singapura dan China.

Singapura telah melabur besar dalam teknologi sedang pesat membangun, termasuk kecerdasan buatan (AI).

Kami memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti perniagaan kecil serta memajukan penjagaan kesihatan dan industri berteknologi tinggi.

China turut melabur dalam sains dan teknologi demi pembangunan bermutu tinggi. ByteDance dan Moonshot AI mencerminkan kerancakan inovasi di China.

Keupayaan kita yang saling melengkapi membolehkan institusi penyelidikan dan perusahaan kita menggabungkan kepakaran untuk menangani cabaran bersama.

Sejak Enterprise Singapore (EnterpriseSG) melancarkan Program Inovasi Bersama (Co-Innovation Programmes) dengan daerah dan bandar terpilih di China pada 2020, lebih 40 projek AI, sains bioperubatan dan teknologi hijau menerima sokongan.

Kerjasama ini boleh diperluas dengan menyelaraskan penyelidikan dengan keperluan perniagaan dan masyarakat supaya teknologi yang menjanjikan manfaat dapat digunakan dalam amalan.

Di Punggol, pengendali pengangkutan tempatan Grab dan ComfortDelGro bekerjasama dengan syarikat teknologi China, WeRide dan Pony.ai, untuk memperkenalkan khidmat ulang-alik tanpa pemandu bagi memudahkan penduduk ke hab pengangkutan dan kemudahan kejiranan.

Pada mesyuarat JCBC pada 23 November, kami akan mengumumkan perjanjian kerjasama tambahan antara pusat penyelidikan kedua-dua negara.

Ini membuka lebih banyak peluang untuk penyelidik menggabungkan kepakaran, mencapai penemuan baharu dan menggunakan hasil kajian untuk menyelesaikan masalah.

Membawa inovasi ke pasaran

Ekonomi Singapura dan China berkait rapat. China merupakan rakan dagang barangan terbesar Singapura selama lebih sedekad, manakala Singapura kekal pelabur asing terbesar di China.

Hubungan ini dapat membantu perniagaan memasarkan hasil inovasi dan menembusi pasaran baharu.

Sejak ditubuhkan pada 2010, Bandar Pengetahuan Guangzhou China-Singapura (GKC) menjadi batu loncatan bagi perniagaan Singapura memasuki Kawasan Teluk Besar China.

Pusat Khidmat Inovasi Harta Intelek (IP) Antarabangsa GKC membantu syarikat Singapura melindungi dan memasarkan hasil inovasi di China, manakala perusahaan China dapat memanfaatkan khidmat IP Singapura untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara.

Wadah ini boleh membantu perusahaan mencari rakan kongsi, melindungi dan memasarkan hasil inovasi serta bersama-sama meneroka peluang di pasaran pihak ketiga.

Kerjasama kewangan turut memudahkan urus niaga rentas sempadan. Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Bank Rakyat China bekerjasama memperluas saluran kiriman wang agar jumlah kecil dapat dipindahkan serta-merta.

Hubungan rakyat dan pertukaran idea

Inovasi bermula dengan manusia. Rakyat kedua-dua negara telah lama menjalin hubungan erat, terutama dalam pendidikan dan penyelidikan.

Hubungan ini boleh menghimpunkan lebih ramai pelajar, penyelidik dan pakar untuk berkongsi pengetahuan dan mencari penyelesaian baharu.

Program Pertukaran Rakyat Singapura-China dalam Sains dan Teknologi dilancarkan pada JCBC ke-19 pada 2023.

Institusi pendidikan kita turut mempererat hubungan melalui program bersama baharu dan penyelidikan dalam bidang termaju.

Pertukaran berterusan membantu peserta memahami ekonomi dan masyarakat masing-masing.

Hubungan ini boleh berkembang menjadi kerjasama penyelidikan dan perniagaan yang menyokong inovasi untuk tahun-tahun mendatang.

Aturan antarabangsa berteraskan peraturan

Peluang ini muncul ketika keadaan antarabangsa semakin tidak menentu.

Kemajuan pesat teknologi mengubah masyarakat, manakala perubahan iklim dan ketegangan politik sejagat memberi tekanan kepada ekonomi sedunia.

Sedang kita menyesuaikan diri dan mempererat kerjasama inovasi, kita mesti terus menjunjung undang-undang antarabangsa dan sistem pelbagai hala berteraskan peraturan.

Kedua-duanya mendasari pembangunan kita selama puluhan tahun, memberi keyakinan kepada pelabur dan membolehkan pertukaran idea serta kerjasama rentas sempadan.

Keadaan di Selat Hormuz menunjukkan betapa mudahnya perdagangan sejagat terganggu, terutama bagi ekonomi perdagangan terbuka.

Hak laluan transit penting bagi semua negara, termasuk Singapura dan China.

Kita berkepentingan melindungi hak itu dan memastikan laluan dagang terbuka.

Kerjasama terus berkembang kerana kita berpandangan jauh dan pragmatik serta mencari cara baharu memenuhi keperluan rakyat.

Kita harus memanfaatkan kepercayaan kita bersama dan kekuatan masing-masing serta mempererat kerjasama demi kepentingan bersama.

Inovasi bersama dan sokongan terhadap aturan antarabangsa yang terbuka, inklusif dan berteraskan peraturan dapat membuka lebih banyak peluang bagi generasi akan datang mencapai cita-cita.

Masa depan ini wajar kita usahakan bersama.