Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia sambut baik tawaran S’pura, M’sia bantu tangani jerebu
Indonesia sambut baik tawaran S’pura, M’sia bantu tangani jerebu
JAKARTA: Indonesia menyambut baik tawaran bantuan Singapura dan Malaysia untuk menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu serantau, dengan seorang pegawai berkata anggota bomba lebih diperlukan berbanding helikopter.
Pemangku jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Encik Berton Panjaitan, berkata pada 10 Oktober bahawa bantuan anggota di darat lebih sesuai berbanding pesawat.
“Masalahnya, jarak penglihatan amat terhad walaupun helikopter disediakan. Jadi, bantuan anggota di darat lebih baik,” katanya.
Beliau menjelaskan itu penilaian peribadinya, bukan permintaan rasmi. BNPB juga tidak terlibat dalam rundingan bantuan asing yang diuruskan kementerian lain, tambahnya, bercakap dengan The Straits Times (ST).
Jurucakap Kementerian Perhutanan Indonesia, Encik Ristianto Pribadi, menghargai kesediaan kedua-dua negara membantu, yang mencerminkan persahabatan dan kerjasama serantau melindungi masyarakat daripada kebakaran serta jerebu.
Kedua-dua pegawai tidak dapat mengesahkan sama ada Indonesia menerima tawaran Singapura secara rasmi.
Encik Ristianto berkata kerjasama antarabangsa diselaraskan oleh Kementerian Luar Indonesia.
Kementerian Perhutanan pula bersedia membantu penyelarasan teknikal mengikut keperluan operasi.
Timbalan Menteri Perhutanan, Encik Rohmat Marzuki, berkata pada 9 Oktober, Presiden Prabowo Subianto telah menghubungi pemimpin negara rakan.
Beliau berkata perbincangan dengan Malaysia dan Singapura bertujuan memperkukuh kerjasama menangani kebakaran.
“Presiden telah menghubungi pemimpin negara rakan, khususnya Malaysia dan Singapura, bagi memperkukuh kerjasama menangani kebakaran hutan dan tanah,” katanya kepada wartawan di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta, tanpa mengulas lanjut.
Indonesia mengalami musim kebakaran yang amat dahsyat akibat cuaca panas dan kering berpanjangan serta fenomena El Nino yang luar biasa, menjejaskan Sumatera, Kalimantan dan negara jiran termasuk Filipina.
Singapura dan Malaysia menawarkan bantuan ketika mutu udara kededua negara merosot.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura, Cik Grace Fu, berkata pada 10 Oktober bahawa beliau telah menghubungi Menteri Alam Sekitar Indonesia, Encik Jumhur Hidayat, bagi menawarkan bantuan dan menyatakan penghargaan atas usaha membendung kebakaran.
“Kami maklum usaha sedang dijalankan dan bersedia membantu sedaya mungkin,” katanya.
Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencecah 192 di kawasan tengah Singapura pada 9 Oktober, tahap tertinggi pada 2026, menghampiri paras sangat tidak sihat.
Mengenai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Singapura Singapore Airlines pada 9 hingga 11 Oktober di Marina Bay, Encik Ristianto memahami kebimbangan terhadap mutu udara dan kelancaran acara.
Beliau menegaskan keselamatan serta kesihatan masyarakat serantau menjadi keutamaan.
Operasi memadamkan kebakaran mengambil kira keadaan, penyebaran asap dan risiko kebakaran berulang.
Menurut agensi berita Bernama, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pada 8 Oktober bahawa beliau telah berbincang melalui telefon dengan Presiden Prabowo mengenai jerebu dan mendapat persetujuannya untuk mengambil langkah mengatasinya.
Malaysia telah menawarkan bantuan selama beberapa minggu dan menghubungi kementerian berkaitan.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tawaran diterima, namun penempatan anggota masih dibincangkan, menurut Bernama.
Pada 2015, Singapura menghantar enam anggota penyelamat Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), sebuah helikopter Chinook dan 34 anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) membantu operasi di Sumatera.
Singapura dan Indonesia menandatangani Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) pada Jun 2026.
Kedua-duanya turut membincangkan perkongsian maklumat amaran awal dan sokongan kepada Pusat Penyelarasan Asean untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Indonesia.
Pada 9 Julai, pegawai Asean menghargai kemajuan penubuhan pusat itu dan menggesa pengesahan perjanjian disegerakan.
Namun, perjanjian tersebut belum berkuat kuasa.
Indonesia masih memerangi kebakaran tanah gambut di Sumatera dan Kalimantan.
Tanah gambut terbentuk daripada tumbuhan reput, mudah terbakar apabila kering dan sukar dipadamkan kerana api membara di bawah permukaan tanah.
Sebanyak 61 pesawat bersedia untuk memadam api, dengan mutu udara kekal tidak sihat hingga berbahaya di beberapa kawasan.
Encik Berton berharap hujan lebat yang turun beberapa kali pada akhir Oktober atau awal November dapat memadamkan kebakaran tanah gambut sepenuhnya.