WASHINGTON: Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan berhampiran Rumah Putih pada 23 Mei, dengan ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat menembak mati penyerang tersebut dalam kejadian berbalas tembakan.

Seorang orang awam turut cedera dalam kejadian itu, menurut pihak berkuasa.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berada di Rumah Putih ketika kejadian, pada hari beliau sedang berusaha merundingkan satu perjanjian dengan Iran, namun tidak terjejas oleh kejadian tersebut, kata Ketua Perhubungan Perkhidmatan Rahsia, Encik Anthony Guglielmi, dalam satu kenyataan.

Pertembungan itu berlaku sejurus selepas 6 petang (6 pagi 24 Mei waktu tempatan) apabila seorang lelaki berhampiran kawasan keselamatan Rumah Putih “mengeluarkan senjata daripada begnya dan mula melepaskan tembakan”.

“Polis Perkhidmatan Rahsia membalas tembakan dan mengenai suspek, yang kemudian disahkan meninggal dunia di hospital berdekatan.

“Seorang orang awam turut terkena tembakan dalam kejadian itu,” kata Encik Guglielmi tanpa mendedahkan keadaan mangsa tersebut.

Beberapa media Amerika mengenal pasti suspek sebagai Nasire Best, 21 tahun, dari Maryland, yang dilaporkan mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan beberapa kali pernah berurusan dengan anggota Perkhidmatan Rahsia sebelum ini.

Tiada pegawai Perkhidmatan Rahsia yang cedera.

Polis dan pasukan keselamatan membanjiri tempat kejadian, menutup laluan ke kawasan itu sementara anggota Pengawal Nasional menghalang wartawan AFP daripada memasuki pusat bandar Washington.

“Kami mendengar sekitar 20 hingga 25 bunyi seperti bunga api, tetapi rupanya bunyi tembakan, sebelum semua orang mula berlari,” kata pelancong Canada, Encik Reid Adrian, kepada AFP.

Wartawan di North Lawn Rumah Putih ketika kejadian berkata mereka diarahkan berlari dan berlindung di bilik taklimat media.

Koresponden ABC News, Cik Selina Wang, sedang merakam video media sosial apabila tembakan dilepaskan, dengan bunyi tembakan turut dirakam ketika beliau menjatuhkan diri ke tanah.

“Ia kedengaran seperti puluhan das tembakan,” katanya di platform media sosial X.

Encik Trump, 79 tahun, telah menjadi sasaran tiga percubaan pembunuhan, dengan yang terbaru berlaku pada 25 April apabila seorang lelaki bersenjata menyerbu pusat pemeriksaan keselamatan berhampiran dewan ‘ballroom’, di mana beliau sedang menghadiri majlis gala media.

Lelaki tersebut tidak berjaya mendekati Encik Trump atau tetamu lain pada acara itu.

Pada Julai 2024, Encik Trump menjadi sasaran semasa perhimpunan kempen di Butler, Pennsylvania, apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan beberapa das tembakan, membunuh seorang hadirin dan mencederakan ringan telinga calon presiden ketika itu.

Beberapa bulan kemudian, seorang lagi lelaki bersenjata ditahan di padang golf di West Palm Beach ketika Encik Trump sedang bermain golf.

“Syukur kepada Tuhan Encik Trump selamat,” kata Dewan Perwakilan Republikan di X selepas kejadian tembakan pada 23 Mei itu.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Perkhidmatan Rahsia atas maklum balas segera dan berani mereka. Keganasan politik mesti dihentikan.”

Encik Trump menyatakan kebimbangan keselamatan sebagai antara sebab beliau membina dewan ballroom di Rumah Putih, termasuk merobohkan East Wing selepas kembali memegang jawatan pada 2025.

Menurut hartawan hartanah New York itu, projek bernilai AS$400 juta ($512 juta) itu akan mempunyai enam tingkat di bawah dewan ‘ballroom’ “kalis dron” berkawalan ketat, termasuk sebuah hospital tentera bawah tanah. – Agensi berita.