Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Perancis temu kesatuan sekerja bincang keselamatan
Turut ikrar kerah polis secara besar-besaran ketika tunjuk perasaan, sedang negara siap hadapi lebih banyak bantahan
PM Perancis temu kesatuan sekerja bincang keselamatan
PARIS: Perdana Menteri Perancis, Encik Sebastien Lecornu, akan bertemu wakil kesatuan sekerja pada 21 Oktober bagi membincangkan keselamatan.
Beliau turut berikrar mengerahkan polis secara besar-besaran ketika tunjuk perasaan, susulan rusuhan minggu lalu yang membawa kepada perintah berkurung dan penangkapan.
Ekonomi kedua terbesar zon euro itu dilanda antara rusuhan terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hanya enam bulan sebelum pengundi memilih pengganti Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron.
Encik Lecornu akan bertemu wakil lima kesatuan sekerja bagi membincangkan langkah menjamin kebebasan bantahan, menurut surat yang turut mengecam pihak yang cuba memesongkan tujuan tunjuk perasaan melalui tindakan yang tidak boleh diterima.
Bantahan kenaikan kos sara hidup dirancang pada 24 Oktober oleh gerakan ‘Ves Kuning’ dan pelajar sekolah menengah, diikuti tunjuk perasaan anjuran kesatuan sekerja pada 5 November.
Pelajar tidak diundang ke pertemuan pada 21 Oktober itu.
Gambar pertempuran, rompakan kedai dan pembakaran bangunan awam mendorong Amerika Syarikat, China dan Jerman mengeluarkan nasihat kembara kepada rakyat mereka.
Menghadapi kemarahan anggota Parlimen, Encik Lecornu mengakui kelemahan tindak balas keselamatan dan menjanjikan tindakan lebih tegas.
“Kerahan anggota keselamatan pada Sabtu depan akan dilakukan secara besar-besaran,” katanya.
Pihak berkuasa mengumumkan perintah berkurung separa di Paris dan bandar lain pada 19 Oktober, dengan sekatan tambahan dilaksanakan jika perlu.
Perintah berkurung di Paris bermula 9 malam GMT pada 20 Oktober (5 pagi waktu Singapura, 21 Oktober), meliputi dataran Republique dan kawasan beli-belah Les Halles.
Perhimpunan turut dilarang di Champs-Elysees dan stesen kereta api, manakala polis menyekat pembawaan bekas petrol atau gas.
Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan bersayap kiri radikal ditahan berhubung kebakaran dewan bandar raya bersejarah di Limoges.
Calon presiden bersayap kanan, Cik Marine Le Pen, menyifatkan pergolakan itu sebagai amaran mengenai krisis kewibawaan.
Tinjauan menunjukkan Cik Le Pen mendahului dalam sokongan pengundi di pusingan pertama, manakala calon berhaluan kiri Encik Jean-Luc Mélenchon muncul pencabar utama dalam pusingan penentuan.
Encik Lecornu menuduh kumpulan kiri radikal merancang pemberontakan.
Pada 20 Oktober, anggota Parlimen bersetuju menyiasat rusuhan itu, termasuk kemungkinan kegagalan risikan, taktik polis dan kesediaan pemerintah.
Pelabur menjual hutang pemerintah Perancis berikutan kebimbangan terhadap kawalan perbelanjaan.
Hampir 150 orang dipenjarakan dan lebih 800 dihadapkan ke mahkamah.
Menteri Dalam Negeri, Encik Laurent Nunez menawarkan peletakan jawatan pada 18 Oktober selepas mengakui polis hilang kawalan. Encik Macron menolaknya.
Encik Nunez turut dijadualkan menghadiri pertemuan kesatuan sekerja.
Pertempuran kecil turut berlaku di Milan, Italy, dan Belgium ketika bantahan kenaikan harga.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menggunakan pergolakan itu untuk memperhebat retorik antiimigresen dan anti-Islam menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
Dalam perhimpunan di Kansas, Amerika Syarikat, pada 19 Oktober, Encik Trump mendakwa Perancis sedang ditakluk, dirompak dan dibakar oleh pendatang asing, golongan jihad dan komunis.
Namun, penganalisis menegaskan imigresen bukan punca utama pergolakan tersebut. – Agensi berita.