BAITULMAQDIS: Ratusan orang menghadiri upacara keagamaan (Misa) di gereja, Church of the Nativity di Bethlehem, pada 24 Disember, ketika bandar itu menyambut Krismas pertama dalam tempoh lebih dua tahun selepas perang di Gaza.
Sepanjang konflik bermula Oktober 2023, suasana Krismas di tempat kelahiran Nabi Isa itu diselubungi kesedihan.
Namun, sambutan kembali meriah dengan perarakan yang sesak dengan orang ramai serta muzik yang kedengaran rancak berkumandang di bandar Tebing Barat yang diduduki, selaras gencatan senjata yang rapuh di Gaza.
Bangku gereja dipenuhi orang ramai sebelum tengah malam, dan ramai berdiri atau duduk di lantai untuk upacara keagamaan.
Di Vatican, Paus Leo XIV mengadakan upacara keagamaan Krismas pertamanya dan menyeru 24 jam keamanan di seluruh dunia.
Di Bethlehem pula, bunyi dram dan ‘bagpipe’ (alat muzik tiup tradisional) mengalunkan lagu Krismas ketika penduduk Kristian, muda dan tua, menuju ke Dataran Manger.
Ratusan orang mengambil bahagian dalam perarakan di Star Street dan orang ramai berkumpul di dataran dengan lelaki berpakaian Santa Claus menjual mainan dan epal bersalut ‘toffee’.
Apabila malam menjelma, lampu berwarna-warni menerangi Dataran Manger dan pokok Krismas tinggi berkilauan berhampiran gereja berkenaan.
Di Syria, lampu Krismas menerangi Bandar Lama Damsyik walaupun masyarakat Kristian bimbang keselamatan mereka terancam selepas serangan maut pada Jun lalu.
Di Australia, Perdana Menteri, Encik Anthony Albanese, berkata Krismas tahun ini (2025) berbeza susulan serangan yang berlaku sewaktu sambutan kaum Yahudi, Hanukkah, yang menekankan erti perjuangan, di Pantai Bondi, Sydney, baru-baru ini.
Peristiwa itu menekankan rasa kesedihan yang dirasai seluruh Australia. - Agensi Berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg