Syarikat e-dagang serantau, Lazada, telah memberhentikan 5 peratus tenaga kerjanya di Asia Tenggara, termasuk sejumlah kakitangan yang tidak didedahkan di Singapura, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Jurucakap Lazada berkata pada 23 Jun, syarikat itu sedang “menilai semula beberapa peranan terpilih di seluruh Asia Tenggara”.

“Bagi peranan terjejas, pekerja akan dihubungi secara langsung dan dilayan dengan penuh keprihatinan, hormat serta bermaruah.

“Kami bertekad menyokong pekerja yang terjejas sepanjang tempoh peralihan ini dengan panduan dan bantuan yang sewajarnya,” jelasnya.

Perkembangan ini berlaku selepas satu lagi syarikat e-dagang, Shopee, memotong ratusan jawatan pembangun perisian di peringkat sejagat pada awal Jun.

Pada Mei pula, Amazon mengumumkan pemberhentian pekerja di Singapura menyusuli perubahan fokus operasinya daripada pemenuhan pesanan barangan runcit tempatan kepada penghantaran produk antarabangsa.

Khabar angin mengenai pemberhentian pekerja Lazada mula tersebar dua minggu lalu selepas seorang pengguna laman Reddit membangkitkannya dalam forum berkaitan budaya kerja dan pemberhentian pekerjaan di Singapura.

Difahamkan, para pekerja yang terjejas itu telah dimaklumkan pada 23 Jun oleh pasukan sumber manusia Lazada.

Kakitangan syarikat itu di Singapura berpangkalan di pejabat Lazada One di Bras Basah Road.

Lazada berkata ia bekerjasama rapat dengan Kesatuan Gabungan Pekerja-Pekerja Minuman dan Makanan (FDAWU) bagi memastikan sokongan diberikan kepada pekerja yang terjejas dan proses itu dikendalikan secara bertanggungjawab.

Petugas Khas bagi Pemberhentian Bertanggungjawab dan Pemudahan Pekerjaan berkata Lazada telah memaklumkannya mengenai penyusunan semula itu, yang merupakan sebahagian daripada penyelarasan pertubuhan yang lebih besar.

“Lazada bertekad menyediakan pakej pemberhentian kerja yang selaras dengan Nasihat Tiga Pihak mengenai Menguruskan Lebihan Tenaga Manusia dan Pemberhentian Bertanggungjawab,” kata jurucakap pasukan petugas itu, yang terdiri daripada Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM), Tenaga Kerja Singapura (WSG), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) milik NTUC.

Lazada sebelum ini telah memberhentikan pekerja pada Januari 2024 tanpa berunding dengan FDAWU, yang menyuarakan kekecewaan dan membawa perkara tersebut kepada MOM.

FDAWU berjaya merundingkan faedah pemberhentian kerja yang lebih baik selepas pekerja yang diberhentikan itu pada awalnya ditawarkan gaji dua minggu bagi setiap tahun perkhidmatan, di bawah kebiasaan industri.

Dengan bantuan MOM dalam perbincangan antara kesatuan dengan Lazada, sebahagian pekerja itu kemudian menerima tambahan dua minggu gaji bagi setiap tahun perkhidmatan, manakala yang lain menerima sokongan latihan bernilai S$1,200.

Satu lagi pusingan pemberhentian pekerja turut berlaku pada Oktober 2023.

Pemberhentian pekerja pada 2024 meningkatkan perhatian terhadap Lazada dan mencetuskan jangkaan kemungkinan Tawaran Awam Awal (IPO) unit perniagaan induknya, ketika persaingan e-dagang Asia Tenggara semakin sengit.

Perkongsian di LinkedIn menunjukkan Lazada mempunyai kira-kira 760 pekerja di Singapura.

Semakan pada 23 Jun mendapati sekurang-kurangnya 10 kekosongan jawatan di Bangkok dan Manila, manakala satu jawatan di Singapura diiklankan sebulan lalu, namun tiada kekosongan jawatan dipaparkan di laman web Lazada.

Ditubuhkan pada 2012 dan menjadi anak syarikat Alibaba Group Holding pada 2016, Lazada beroperasi di Singapura, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Lazada baru-baru ini menyambut ulang tahunnya yang ke-14 dengan kempen jualan serantau utama pertamanya bagi 2026. Penggunaan ciri kecerdasan buatan (AI) pada platform itu juga semakin ketara apabila ciri itu diterapkan pada halaman produk.