Topik diikuti
Pergi ke BHkuMAS umum laluan pas baru, pengecualian cukai demi perkukuh S’pura sebagai hab urus aset dunia
Bank pusat Singapura pada 19 Ogos mengumumkan tiga langkah baharu bagi meningkatkan daya tarikannya sebagai hab pengurusan aset utama dunia
Singapura berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab pengurusan aset terkemuka menerusi tiga langkah baharu bagi menarik pengurus dana serta menggalakkan mereka menempatkan aktiviti perniagaan, modal dan tenaga kerja di sini.
Diumumkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 19 Ogos, langkah itu termasuk laluan pengurusan pelaburan baharu di bawah Pas Rangkaian dan Kepakaran Luar Negara (One Pass) Kementerian Tenaga Manusia (MOM), pengecualian cukai bagi pulangan berkaitan keuntungan daripada perkhidmatan pengurusan dana, serta program pelaburan dana lindung nilai (hedge fund) baharu.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 19 Ogos mengumumkan laluan pengurusan pelaburan baharu di bawah rangka kerja Pas Rangkaian dan Kepakaran Luar Negara (One Pass) Kementerian Tenaga Manusia (MOM), yang mungkin memperhalus penilaian gaji bagi menarik pemimpin dunia dan karyawan kanan pelaburan dalam sektor pengurusan aset.
Usaha lain termasuk pengecualian cukai bagi pulangan berkaitan keuntungan daripada perkhidmatan pengurusan dana kepada dana yang layak serta program pelaburan dana lindung nilai baharu.
MAS berkata langkah itu akan memperkukuh pertumbuhan yang dicapai industri, mengekalkan aktiviti pengurusan aset bernilai tinggi, mempertingkat keupayaan industri dan menarik bakat terbaik dalam pengurusan aset di tengah persaingan antarabangsa yang sengit.
Langkah itu dijangka berkuat kuasa pada 2027, dengan butiran lanjut diumumkan semasa Belanjawan 2027.
Industri pengurusan aset ialah pemacu utama sektor kewangan Singapura, menyumbang sekitar 15 peratus kepada keluarannya, kata MAS. Sepanjang lima tahun lalu, industri itu berkembang purata 7.5 peratus setahun kepada sekitar $7 trilion.
Pengumuman itu dibuat ketika persaingan Singapura dan Hong Kong untuk menjadi hab pengurusan aset dan kekayaan utama Asia semakin sengit.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, yang juga Timbalan Pengerusi MAS, berkata persaingan dengan Hong Kong tidak hanya menguntungkan satu pihak kerana rantau ini cukup besar untuk kedua-duanya berkembang sebagai pusat kewangan.
Namun, perubahan dunia memerlukan Singapura mengkaji semula dan menyesuaikan dasarnya.
“Kami tidak berpendapat daya saing bergantung pada satu faktor sahaja, tetapi ia sebahagian daripada pertimbangan keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata MAS mengumumkannya sebelum Belanjawan Februari 2027 supaya pemain industri dapat mempertimbangkan rancangan pemerintah ketika menentukan tapak perniagaan, dengan harapan menarik mereka untuk berpangkalan di Singapura.
Laluan pengurusan pelaburan ONE Pass
Industri pengurusan aset menyediakan pekerjaan bermutu kepada warga setempat, yang mengisi sekitar 80 peratus daripada 25,000 pekerjaan dalam pengurusan portfolio, penyelidikan pelaburan, khidmat pelanggan dan pengurusan risiko.
Bagi menarik bakat berpengalaman ke jawatan bermutu tinggi, MAS dan MOM akan melancarkan laluan pengurusan pelaburan ONE Pass baharu untuk pemimpin dunia dan karyawan kanan pelaburan yang boleh menyumbang kepada industri Singapura.
Rangka kerja itu ialah visa kerja lima tahun untuk menarik bakat terbaik dunia. Tidak seperti pas biasa yang terikat kepada satu majikan, ONE Pass membolehkan pemegangnya bekerja untuk beberapa syarikat atau memulakan perniagaan dengan bebas.
Syarat semasa termasuk gaji bulanan $30,000.
Di bawah laluan baharu, penilaian gaji boleh diperhalusi untuk mengiktiraf pulangan berkaitan prestasi pelaburan dan hasil dana sebagai sebahagian pampasan.
Di bawah laluan baharu, penilaian gaji boleh diperhalusi mengikut struktur pampasan industri, termasuk mengiktiraf pulangan berkaitan prestasi pelaburan dan hasil dana.
Ini mengiktiraf pulangan tersebut sebagai bahagian pampasan yang besar dan berulang bagi penyedia perkhidmatan pengurusan dana khusus, selain gaji bulanan tetap.
Encik Chee berkata laluan baharu itu menambah baik rangka kerja semasa dengan memberi lebih kelonggaran.
“Sebilangan kecil bakat bertaraf tinggi dari luar negara dapat memberi kesan lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan mencipta lebih banyak pekerjaan yang baik bagi rakyat kita. Inilah yang kami harap dapat dicapai bagi industri pengurusan aset.”
Pengecualian cukai
MAS dan Kementerian Kewangan (MOF) akan memberikan pengecualian cukai bagi pulangan berkaitan keuntungan daripada perkhidmatan pengurusan dana kepada dana yang layak dan berpangkalan di Singapura.
Dana itu perlu memenuhi syarat kegiatan ekonomi sebenar, termasuk menggajikan sekurang-kurangnya bilangan pekerja yang ditetapkan.
Pengecualian itu akan berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2027, mengambil kira pendapatan sepanjang 2026.
MAS berkata pengecualian khusus itu bertujuan meningkatkan daya saing Singapura sebagai hab pengurusan aset dunia.
Ia berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2027, mengambil kira pendapatan sepanjang 2026, dan meliputi pulangan berkaitan keuntungan yang layak daripada pengaturan dana komersial.
Pengecualian itu meliputi bahagian keuntungan dana yang layak dan diterima secara kontrak oleh entiti korporat, perkongsian atau individu, secara langsung atau tidak langsung, bagi perkhidmatan pengurusan dana.
Program pelaburan dana lindung nilai
MAS juga akan memperkenalkan program untuk melabur bersama pengurus dana lindung nilai yang bertekad memperluaskan kehadiran mereka di Singapura.
Program itu akan membantu menarik pengurus dan bakat pelaburan serta menyokong ekosistem dana lindung nilai, termasuk penyedia perkhidmatan sokongan dan broker utama.
Encik Chee berkata program itu bertujuan menyokong pulangan pelaburan dan pembangunan industri agar Singapura kekal sebagai pusat kewangan yang berdaya maju dan berdaya saing.
