Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tenaga kerja kontrak, projek antara trend utama dijangka bentuk pasaran pekerja 2026

Pengambilan pekerja kekal suram meski ekon lebih baik daripada jangkaan
Dec 31, 2025 | 1:50 PM
Walaupun permintaan pengambilan pekerja kekal positif, majikan semakin berhati-hati dalam pemilihan, kata perunding sumber manusia.
Walaupun permintaan pengambilan pekerja kekal positif, majikan semakin berhati-hati dalam pemilihan, kata perunding sumber manusia. - Foto BT

Peningkatan peranan yang berasaskan kontrak atau projek merupakan antara beberapa trend utama yang dijangka membentuk pasaran pekerja pada 2026, ketika sentimen pengambilan pekerja semakin menyejuk dalam iklim ekonomi yang tidak menentu, kata para pemerhati.

Ahli ekonomi kanan DBS, Encik Chua Han Teng, berkata firma berkemungkinan mengambil pendekatan lebih berhati-hati pada 2026 berikutan ketidaktentuan ekonomi sedunia dan dasar perdagangan yang masih tinggi, walaupun ketegangan tarif menunjukkan sedikit pengurangan sejak pengumuman dasar tarif Amerika Syarikat.

Beliau menjangkakan kadar pengangguran Singapura meningkat sedikit pada 2026 kepada 2.2 peratus, peratusan yang dianggap masih di tahap kadar pengangguran yang rendah, berbanding 2 peratus pada 2025.

Ahli ekonomi kanan Maybank, Encik Chua Hak Bin, pula tidak menjangkakan pengangguran menjadi isu besar, namun pertumbuhan pekerjaan mungkin perlahan kepada sekitar 60,000, sedikit lebih rendah berbanding unjuran 65,000 bagi 2025.

Beliau berkata pertumbuhan pekerjaan dijangka lebih kukuh dalam sektor perkhidmatan, khususnya kewangan dan layanan tamu.

Pakar perolehan pekerja berkata walaupun permintaan majikan bagi mendapatkan pekerja masih positif, mereka semakin teliti dalam memilih pekerja, lapor The Business Times.

Kini, mereka memberi tumpuan kepada keupayaan yang menyokong perubahan digital, kemampanan dan pengembangan perniagaan, kata Encik Foo See Yang, pengarah urusan dan ketua kumpulan perniagaan strategik di agensi pengambilan pekerja, Persol.

Satu perkara yang ketara ialah trend pertubuhan mengambil pekerja kontrak, pekerja bebas atau pekerja berdasarkan projek, untuk menyokong pasukan teras pekerja tetap mereka.

Mengikut Cik Linda Teo, Pengurus Negara bagi ManpowerGroup Singapore, “model campuran” ini membantu syarikat mengekalkan keanjalan sambil mengawal kos, selain memberi akses kepada kemahiran khusus.

Pengurus Negara bagi Robert Walters Singapore, Cik Kirsty Poltock, berkata pendekatan tersebut juga membolehkan firma bertindak dengan lebih pantas terhadap turun naik pasaran.

Suasana pengambilan pekerja yang suram dijangka berterusan ke tahun baru 2026, walaupun ekonomi Singapura pada 2025 menutup dengan prestasi lebih baik daripada jangkaan.

Pada November, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menaikkan unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) 2025 kepada sekitar 4 peratus.

Namun, unjuran pertumbuhan bagi 2026 lebih rendah, iaitu antara 1 hingga 3 peratus, manakala ketidaktentuan politik sejagat, tekanan inflasi dan risiko rantaian bekalan terus menjejaskan keyakinan majikan, kata Cik Teo.

“Apabila perniagaan mengharungi persekitaran operasi lebih rumit, beberapa tahap pelarasan tenaga kerja mungkin berlaku,” katanya.

“Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya membawa kepada pemberhentian kerja besar-besaran.”

Sebaliknya, majikan semakin menumpukan perhatian kepada penempatan semula pekerja dan peningkatan kemahiran bakat sedia ada, tambah Cik Teo.

Sementara itu, siswazah baru dijangka terus berdepan persaingan sengit.

Pada 2024, siswazah mengalami tahun yang sukar untuk mencari pekerjaan, dengan 12.9 peratus masih menganggur enam bulan selepas tamat pengajian – jumlah yang telah meningkat selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022. Statistik untuk lulusan kelas 2025 akan dikeluarkan pada awal 2026.

Pada 2025, sentimen pengambilan pekerja umum menjadi lemah apabila persekitaran tarif yang tidak menentu membimbangkan perniagaan.

Terdapat juga sebab struktur, seperti ketidakpadanan dalam kemahiran dan jangkaan, serta gangguan daripada kecerdasan buatan (AI), kata pemerhati industri.

Pada Ogos, pemerintah mengumumkan 800 peranan di bawah program bersturuktur, Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (Grit) dan Grit@Gov, yang dilancarkan pada Oktober.

Namun, peluang masih wujud dalam sektor teknologi, penjagaan kesihatan dan kemampanan.

“Industri ini berkembang disebabkan gabungan beberapa faktor termasuk perubahan demografi, keutamaan kawal selia dan komitmen kemampanan – di samping transformasi digital dan inovasi,” kata Cik Teo.

Menurut Encik Foo daripada Parsol pula, majikan kini lebih menekankan kesediaan pekerja melakukan pekerjaan serta kemahiran praktikal mereka, dengan laluan “kontrak ke pekerjaan tetap” semakin digunakan bagi mengekalkan keanjalan tenaga kerja.

Bagi kos tenaga kerja asing, ia dijangka meningkat apabila gaji minimum layak bagi pembaharuan Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S dinaikkan mulai 1 Januari 2026.

Ini berpotensi menambah tekanan kos kepada majikan, terutama bagi peranan yang sukar diisi warga tempatan.

Sesetengah firma mungkin beralih kepada penglibatan kontrak atau projek, atau menilai semula strategi tenaga kerja mereka.

Dalam jangka masa pendek, kekurangan tenaga kerja mungkin berlaku, khususnya dalam bidang kejuruteraan, logistik dan perkilangan berteknologi tinggi, kata pemerhati.

Tahun baru mungkin memberi petunjuk awal kepada kemajuan kerjaya yang disokong dasar bagi bidang kemahiran teknikal seperti juruelektrik dan tukang paip, kata pemerhati.

Antara cadangan ialah kurikulum “boleh disusun” yang membolehkan kemahiran dikumpulkan ke arah kelayakan lebih tinggi, sekali gus menyokong peningkatan gaji yang selari dengan pemerolehan kemahiran.

Pendekatan ini berpotensi menyerupai Model Gaji Progresif (PWM) bagi sektor bergaji rendah, dengan pemerintah dijangka mengadakan perundingan atau melaksanakan program perintis pada 2026, meskipun kebimbangan terhadap kos dijangka timbul dalam kalangan pengguna dan perniagaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg