Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 artis Cina bak ‘lebih Melayu daripada Melayu’

Jul 14, 2025 | 5:30 AM
Elizabeth Tan, pelakon, penyanyi Cina
Artis Malaysia, Elizabeth Tan, berjaya menunjukkan bakatnya dalam kededua bidang nyanyian dan lakonan meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran kesihatan termasuk rasa resah dan masalah rambut gugur, alopesia. - Foto fail

Nama-nama seperti Datuk Andre Goh, Datuk Nancie Foo, Angeline Tan dan Louisa Chong tidak asing lagi dalam industri hiburan Melayu di Malaysia.

Goh, 78 tahun, telah menceburi bidang nyanyian sejak era 1970-an dan dikenali dengan lagu irama Melayu seperti Dikirim Jangan Dipesan Jangan manakala ketiga-tiga artis wanita itu mula aktif dalam industri lakonan pada era 1980-an.

Walaupun berbangsa Cina, kepetahan bertutur dalam bahasa Melayu membuat mereka berjaya menembusi industri hiburan Melayu dan mendapat tempat di hati peminat. 

Ada peminat yang malahan menggelar mereka “lebih Melayu daripada Melayu” kerana kefasihan dalam bahasa Melayu serta pemahaman terhadap adab orang Melayu, melebihi mereka yang dilahirkan sebagai anak Melayu.

Berita Harian (BH) menyenaraikan empat artis berbangsa Cina masa kini yang menghiasi kaca televisyen rancangan Melayu.

Elizabeth Tan

Umur: 31 tahun

Selepas mula popular dengan lagu, Knock Knock, pada 2014, Tan atau mesra dipanggil Lizzy oleh peminatnya, terus mekar dengan pelbagai lagu Melayu yang mendapat sambutan meluas.

Beliau memaparkan bakat lakonannya dalam filem seram, Misteri Dilaila (2019), dan drama bersiri, Gerak Khas Undercover (2021) dan Restu (2024). 

Lizzy memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 bagi lakonannya sebagai Jennifer Wong dalam filem pecah panggung, Sheriff: Narko Integriti. 

Walaupun melalui dua keguguran dan mengalami masalah rambut keguguran, alopesia, beliau kekal tabah mengharungi pelbagai dugaan dan terus ceria meneruskan kerjaya seni yang diminatinya.

Alvin Chong

Pelakon Malaysia, Alvin Chong, berjaya menembusi industri drama Melayu dengan lakonannya yang bersahaja sehingga pernah diberi peluang membawa watak berbangsa Melayu.
Pelakon Malaysia, Alvin Chong, berjaya menembusi industri drama Melayu dengan lakonannya yang bersahaja sehingga pernah diberi peluang membawa watak berbangsa Melayu. - Foto INSTAGRAM ITSALVN_

Umur: 34 tahun 

Walaupun bermula daripada pertandingan realiti nyanyian Cina, Astro Star Quest, dan mempunyai 10 lagu Mandarin, Alvin Chong, kini dikenali dengan bakat lakonannya dalam drama Melayu. 

Beliau mula menempa nama menerusi drama bersiri, Suri Hati Mr. Pilot (2016), apabila beliau bergandingan dengan pelakon terkenal, Fattah Amin.

Antara drama lakonannya termasuk, Takdir Yang Tertulis (2021), She Was Pretty (2022) dan Kidsnowdays (2022), yang menyaksikan beliau berlakon sebagai individu berbangsa Melayu. 

Sean Lee

Pelakon dan pengacara Malaysia, Sean Lee, fasih berbual dalam bahasa Melayu sehingga ramai netizen yang menyangka beliau mempunyai darah Melayu.
Pelakon dan pengacara Malaysia, Sean Lee, fasih berbual dalam bahasa Melayu sehingga ramai netizen yang menyangka beliau mempunyai darah Melayu. - Foto INSTAGRAM SEANLJE

Umur: 30 tahun

Pelakon dan pengacara, Sean Lee, dikenali dengan penguasaan bahasa Melayu yang baik.

Beliau kelihatan fasih berbual apabila mengendalikan wawancara bersama tetamu undangan dalam beberapa rancangan sehingga ramai yang menyangka dirinya ada darah Melayu.

Beliau pernah berlakon sebagai hero utama dalam beberapa drama popular termasuk, Romantika 4 Hari 3 Malam (2021), The Hotel (2021) dan Dulu Dollah Daebak (2024).

Beliau menamatkan zaman bujang pada 2024 dan berkahwin dengan peragawati, Bay Doucet.

Mekyun

Pencipta kandungan media sosial, Mekyun, sering memaparkan kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia sambil berbual dengan loghat Kelantan.
Pencipta kandungan media sosial, Mekyun, sering memaparkan kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia sambil berbual dengan loghat Kelantan. - Foto INSTAGRAM MEKYUNN

Umur: 28 tahun

Pencipta kandungan media sosial, Mekyun, atau nama sebenarnya, Wee Yu Nee, dikenali dengan keupayaan berbual dalam loghat Kelantan dengan fasih.

Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, beliau digelar ‘beauty with brains’ (si cantik yang bijak) kerana videonya sering menyebar semangat positif sambil menunjukkan kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia.

Menjengah ke Instagramnya, Mekyun telah dijemput hadir bersama beberapa selebriti lain ke majlis santapan petang di Istana Negara pada April 2025 kerana mempromosikan keharmonian kaum di negara itu.

Beliau turut muncul dalam drama, Perang Nasi Dagang: Kelate VS Ganu (2024) bersama Nora Danish dan Sabri Yunus, yang mengetengahkan kededua negeri Pantai Timur itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg