Apakah persamaan antara lagu tular Taufik Batisah, #AwakKatMane, dengan lagu pop yeh yeh Sanisah Huri, Si Baju Hijau, dan lagu cinta balada penuh nostalgia, Black Dog Bone, Dulu dan Sekarang?
Meskipun diterbitkan pada era berbeza selepas kemerdekaan Singapura pada 1965, ketiga-tiga lagu ini dianggap memberi kesan besar pada persada seni Kota Singa yang kecil ini hingga boleh disifatkan sebagai mahakarya malar segar.
Tidak hairanlah jika tiga lagu ini disenaraikan pusat seni Esplanade dalam 60 lagu ikonik ciptaan, tulisan dan dendangan anak watan Singapura, sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-60 tahun (SG60) pada 2025.
Esplanade telah meminta sekitar 100 pengulas muzik, pemuzik, karyawan industri, golongan veteran seni dan penerbit untuk memberikan senarai lagu ikonik (dalam bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris) yang mereka anggap memberi kesan dari zaman ke zaman, lantas mempunyai makna istimewa dalam arena seni Singapura.
Ketua Penyunting Digital Berita Harian, Haryani Ismail, yang sudah lebih dua dekad menulis laporan hiburan dan perkembangan muzik tanah air serta Koresponden Muzik, The Straits Times, Eddino Abdul Hadi, adalah antara yang diundang bagi berkongsi pengamatan tentang lagu Singapura yang memberi pengertian dalam hidup mereka.
Kempen Esplanade itu bermula pada 30 Julai lalu (2025) disusuli dengan usaha mendekati orang awam bagi memberi senarai lagu Singapura pilihan mereka pula menerusi media sosial, antara 8 dengan 17 Ogos.
Sebanyak 690 lagu unik diusulkan karyawan dan orang awam, dengan 60 lagu yang disebut secara berulang oleh orang awam dan 30 lagi ‘orang dalam’ dunia seni Singapura disenarai pendekkan dalam 60 lagu SG60 itu.
Lagi 20 lagu lain yang juga terkenal dan hasil kurasi pasukan Esplanade pula ditampilkan dalam senarai ‘Sebutan Khas’.
Apakah keistimewaan beberapa lagu Melayu yang disenaraikan?
#AwakKatMane lagu penuh visi, fikirkan keperluan generasi TikTok
Setelah memukau ramai dengan irama balada dan R&B, Idola Singapura yang pertama, Taufik Batisah, tidak mudah duduk diam dengan kebiasaan dan kekuatan vokalnya.
Apabila menghasilkan album Fique pada 2014, yang turut memuatkan lagu #AwakKatMane, Taufik beralih daripada imej jejaka idola remaja dengan lagu mesra keluarga kepada sesuatu yang bersifat penuh visi dan terkini, dengan mengemukakan judul lagu dengan tanda pagar atau ‘hashtag’.
Lagu ini telah ditonton di YouTube sebanyak lapan juta kali sejauh ini dan bagi penulis, ia cukup sinonim dengan Taufik, yang walaupun tidak seaktif dahulu dalam dunia nyanyian, memiliki idea luar biasa untuk mencipta #AwakKatMane.
Lagu ini ‘meletup’ dua tahun sebelum era TikTok dilancarkan pada 2016, tetapi bagaikan tercipta khusus untuk ramai menyahut cabaran menari sambil bertanya #AwakKatMane.
Si Baju Hijau saji irama pop yeh yeh, cetus semangat berani
Bintang veteran yang kekal anggun, Sanisah Huri, pernah menceritakan kepada penulis betapa beliau rasa dihargai apabila anak muda yang boleh dipanggil cucu dan berada di Perkhidmatan Negara (NS) berkongsi dengannya bahawa lagu, Si Baju Hijau, menjadi satu inspirasi ketika memasuki alam tentera.
Lagu ciptaan Asnadi Markop, dengan tulisan lirik A. Romzi ini memperkenalkan Sanisah yang bermula sebagai penyanyi pada usia muda remaja 15 tahun, kepada dunia hiburan Singapura.
Lagu ini muncul dalam filem A-Go-Go ‘67 dan merupakan penggalak semangat bagi askar yang berjuang dengan seragam hijau lumut demi negara.
Ia kemudian menjadi antara lagu dalam filem 1969 arahan pelawak Mat Sentol, Mat Toyol.
Maklumlah, pada era 1960-an, banyak lagu semangat juang dihasilkan sebagai pembakar semangat.
Dulu Dan Sekarang, irama nostalgia sentuh kalbu
Lagu ciptaan Datuk S. Atan dan tulisan lirik Haron Abdulmajid, Dulu Dan Sekarang, yang mendayu-dayu ini dimuatkan dalam album keempat band terkenal, Black Dog Bone.
Ia disifatkan sebagai memperkukuh kedudukan band ini sebagai kumpulan bertaraf ‘superstar’.
Ada sentuhan dangdut pada lagu ini, merayu-rayu agar sang kekasih yang pergi meninggalkan diri sang penyanyi, kembali lagi dalam hidupnya, dengan belaian kasih seperti dahulu.
Daya tarikan lagu ini terletak pada gabungan permainan papan nada anggota Black Dog Bone, Michael Heng; tiupan seruling, James Chai yang syahdu; di samping petikan bes, Hamid Ahmad; yang kadangkala membangkitkan keinginan sang pendengar untuk menari.
Semua ini membantu dalam memperkukuh ‘mood’ untuk Jatt Ali sebagai vokalis melaungkan suara emasnya.
Beberapa lagu Melayu lain dalam senarai SG60 Esplanade termasuk Ren-Tak Oonik (Najip Ali), Gadis dan Bunga (Rahimah Rahim), Dhikir Fikir Fikir (Rausyanfikir), La O Be (The Swallows) dan Kamelia (Sweet Charity).
Semoga Bahagia (ciptaan Zubir Said), Oh Fatimah (dendangan A. Ramlie dan muzik serta lirik gubahan Salamah Basiron) dan Di Tanjong Katong (ciptaan Ahmad Patek dan nyanyian Kartina Dahari) pula dimuatkan dalam senarai 20 lagu ‘Sebutan Khas’.
Senarai 60 lagu ini boleh didengar menerusi saluran Esplanade di YouTube atau menerusi pautan https://bh.sg/esplanade60


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg