Awalnya, hubungan antara penyanyi, Amira Othman, 32 tahun, dengan pelakon, Fattah Amin, 35 tahun, dianggap hanya satu gimik pemasaran kerana mereka gigih menyatakan hubungan itu sebatas rakan sekerja.
Bagaimanapun, pada 8 September, Fattah sendiri tampil di Hotel Imperial Lexis, Kuala Lumpur pada majlis perasmian klip video lagu terbaru, Amira dan adiknya, Irfan Haris, Rasa & Takdir, bagi mengumumkan hari bahagia pernikahan mereka yang jatuh pada hari lahirnya pada 14 September.
Amira, bagaimanapun, berasa kekok untuk bercerita lebih mendalam mengenai alam perkahwinan kerana belum melaluinya.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar, Nadia Amira Othman, itu meletakkan keyakinan penuh terhadap Fattah dan percaya komunikasi yang baik adalah kunci kepada sebuah hubungan sihat dan harmoni.
“Iyalah, saya pun belum ke fasa perkahwinan ini. Nak cakap lebih-lebih pun nanti orang kata kau belum kahwinlah, apalah ‘kan.
“Tapi saya yakin kalau dia orang yang baik, semuanya boleh dibincangkan.
“Maksudnya kalau kita berbincang pun tak ada jadi marah-marah, kita bincang pun tak ada jadi macam memudaratkan,” katanya kepada akhbar Harian Metro.
Amira, pemenang ketiga Akademi Fantasia Musim ke-10 (AF10), turut menyimpulkan bahawa apa yang diperlukannya dalam sebuah hubungan adalah toleransi dan kebaikan, sambil menyerahkan segalanya kepada takdir dan doa.
“Itu saja yang saya rasa saya perlukanlah. Saya perlukan orang yang baik-baik supaya semuanya ada toleransi.
“Saya hanya mampu berdoa dan insya-Allah saya harap yang terbaiklah untuk saya dan semua,” tambahnya.
Penyanyi lagu, Jaga Jaga dan Hati Hati itu turut lega dapat menunaikan janjinya berkongsi kepada umum mengenai berita gembira status hubungannya dengan Fattah.
Beliau turut menjemput orang ramai dan peminat supaya menyaksikan detik bersejarah mereka yang bakal ditayangkan secara langsung dan percuma di aplikasi Unifi TV 2.0.
“Itulah saya sebenarnya ingin kongsikan. Setiap kali kita diwawancara, bila ditanya soalan ini, kami pun sudah berjanji, jika ada, pasti kami kongsi. Jadi kami melunaskan janji itu.
“Kita nak ajak anda semua untuk sama-sama menyaksikan, insya-Allah, pernikahan di antara saya dengan Fattah.
“Ia menggunakan tanda pagar atau ‘hashtag’ #SetulusTakdirFattahAmira,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keperibadian Fattah, pelakon drama, Suri Hati Mr Pilot, Amira menyifatkan bakal suaminya itu sebagai lelaki yang memiliki sifat terpuji.
“Bagi saya, memang orang kata seorang lelaki yang baik, anak yang baik ‘kan,” katanya ringkas namun padat dengan makna.
Fattah pula tertarik pada kelembutan budi bahasa Amira dan sikapnya yang berhemah.
Fattah, sebelum ini, pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan usahawan jelita, Nur Fazura Sharifuddin, pada 27 November 2017.
Perkahwinan mereka yang dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, lima tahun, bagaimanapun, berakhir selepas tujuh tahun bersama pada 2024.
Rakan baik Amira, penyanyi dan komposer, Sissy Iman, pula tumpang gembira tetapi gementar kerana bakal menjadi pengacara majlis perkahwinan Amira dan Fattah, yang disifatkan sebagai wedding of the year atau perkahwinan paling gah selebriti Malaysia pada 2025.
Sissy turut berkongsi di Instagram Story, tangkap layar perbualan dengan Amira yang menjemputnya datang ke hari bahagianya.
Pesanan antaranya dengan Amira agak melucukan kerana rakannya itu baru mengetahui Sissy akan menggalas tugas sebagai pengacara majlis.
Walau apa pun, kita mengharapkan jodoh antara Fattah dengan Amira, yang sama tinggi sama padan ini berkekalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg