Topik diikuti
Pergi ke BHkuAzar Azmi lebih selesa anak diasuh kakak sendiri
Azar Azmi lebih selesa anak diasuh kakak sendiri
Azar Azmi lebih selesa anak diasuh kakak sendiri
Lambakan laporan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang sering dilapor media membuatkan pelakon Malaysia, Azar Azmi, sukar mempercayai orang lain.
Ini turut menyebabkan beliau enggan menyerahkan dua anaknya berusia tiga dan empat tahun, kepada pengasuh.
Azar, atau nama sebenarnya, Azar Ameerah Azmi, 37 tahun, lebih yakin menyerahkan tanggungjawab menjaga dua cahaya matanya itu kepada kakaknya.
“Kakak yang jaga kedua-dua anak saya. Kakak saya tidak bekerja.
“Saya susah mempercayai orang kerana terlalu banyak kes membabitkan kanak-kanak yang kita baca (dalam talian). Bagi saya, kanak-kanak tidak bersalah dan mereka tidak tahu apa-apa.
“Kita sebagai orang dewasa yang sepatutnya mendidik dan melindungi mereka,” kata bekas peserta Dewi Remaja bagi edisi 2009/2010 itu, dalam laman Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui pada sidang media drama terbaharu, Bulan Henti Bicara, di dewan Bizmilla, sekitar Putrajaya, pada 21 Julai.
Ditanya sama ada beliau pernah berdepan pengalaman buruk dengan pengasuh, Azar, yang sebelum ini pernah bersuamikan ahli perniagaan Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, menafikan perkara itu.
Namun begitu, pelbagai laporan yang dibaca sedikit sebanyak memberi kesan terhadap fikirannya.
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri, Suri Hati Mr Pilot, itu juga belum merancang menghantar anak-anaknya ke sekolah buat masa ini, sebaliknya memilih kaedah pendidikan di rumah terlebih dahulu.
“Tidak pernah, cuma ini lebih kepada kesan daripada apa yang saya baca dan lihat.
“Kita tidak tahu apa yang berlaku di belakang kita. Apabila keluar bekerja, fikiran mula tertanya-tanya sama ada anak dijaga dengan baik atau tidak.
“Saya tahu tidak adil untuk menyamakan semua orang, tetapi perkara seperti itu sudah tersemat dalam fikiran saya sehingga membuatkan saya sentiasa memikirkan yang bukan-bukan,” ujar Azar.