Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Farah Farook capai impian kemudi program kembara, bebas paralayar di udara

Aug 24, 2025 | 5:30 AM
Farah Farook teruja berkunjung ke Sepanyol yang dianggap eksotik, dengan impiannya mengacara program kembara realiti, ‘Zoom Sepanyol’, menjadi nyata. Foto ini dirakam di Sagrada Familia, Barcelona.
Farah Farook teruja berkunjung ke Sepanyol yang dianggap eksotik, dengan impiannya mengacara program kembara realiti, ‘Zoom Sepanyol’, menjadi nyata. Foto ini dirakam di Sagrada Familia, Barcelona. - Foto POETRY IN MOTION

Bagai pucuk dicita, ulam mendatang.

Begitulah yang dirasakan pengacara dan pelakon Singapura, Farah Farook, 27 tahun, apabila mendapat berita beliau dipilih bagi program kembara realiti syarikat Poetry In Motion, Zoom Sepanyol.

Sebelum ini, beberapa selebriti Suria telah mengembara ke Hong Kong, New Zealand, Thailand, Korea dan Jepun bagi program realiti yang memasangkan dua individu dengan personaliti berbeza.

Ikuti wawancara BM bersama Farah yang bakatnya dicungkil daripada program pencarian bakat Suria, Elit Suria.

Farah pernah mengacarakan rancangan infopendidikan kanak-kanak, Projek L.I.T (Musim Pertama dan Kedua), Singapura LIVE 3.0 dan Juara Mic Junior (Musim Kedua).

Soalan: Apakah perasaan Farah apabila ditawarkan projek Zoom Sepanyol?

Farah: Saya dewasa menonton program kembara realiti Zoom. Seronok tengok Nurul Aini dan Dalina Jaapar dalam Zoom Thailand. Terfikir seronoknya kalau dua wanita boleh mengembara bersama. Tiba-tiba, saya dipanggil bagi uji bakat siri Zoom selanjutnya.

Bagaikan mimpi rasanya sebab saya memang suka mengembara dan saya memang idamkan peluang dapat melancong sambil merakam pengalaman saya. Ia merupakan pencapaian terbesar saya dalam kerja seni sejauh ini.

Dahlah tu...ada kejutan. Sepatutnya ke Turkey tetapi rupanya ke Sepanyol. Di lapangan terbang, saya dan rakan pengacara, Qis Maraj, dah terloncat-loncat sebab Sepanyol memang negara eksotik.

S: Apakah pandangan peribadi anda tentang rakan pengacara, Qis Maraj?

Farah: Ingatkan dia garang dan akan langsung bersemuka dengan saya kalau ada masalah apa-apa. Saya pula bukan jenis yang akan terus jumpa dengan orang yang menggores jiwa saya. Rupa-rupanya, apabila saya mengenalinya lebih dekat, Qis memahami saya. Terkejut saya. Dalam kami berbeza cara hidup dan gaya kembara, kami banyak persamaan rupanya.

Kita boleh duduk di set, saling berpandangan dan dapat membaca apa dalam fikiran masing-masing. Saya anggap Qis paling kelakar. Daya humor kami sama. Qis buat lawak, saya akan terbahak-bahak ketawa.

Samalah...kalau saya buat lawak, Qis juga akan tercuit hatinya. Di kala saya agak dibelenggu kesedihan, Qis bangkitkan semangat positif saya. Kalau Qis ‘down’ pun, saya akan tampil menceriakannya.

Qis dah jadi macam adik perempuan yang saya tak pernah ada. Saya perlu lindunginya apabila kami berjauhan dari keluarga.

S: Apa perbezaan anda?

Farah: Cara kembara kami berbeza. Saya akan buat persiapan terperinci, Qis jenis ‘go’ sahaja. Saya sukakan keselesaan dan kebersihan apabila melancong. Qis pula ‘okay’ sahaja ke mana-mana.

S: Apakah yang mencabar buat anda ketika mengembara ke Sepanyol?

Farah: Saya ingatkan zaman pergi berkhemah dengan kawan sekolah dah lama berlalu. Tahu-tahu di Ronda, saya perlu berkhemah di luar. Saya nak relaks, ada tandas untuk mandi dan boleh duduk santai-santai.

Dahlah pada masa itu, kami hampir tamat mengembara. Badan dah penat. Kena pula tinggal dalam khemah! Banyak cabaran perlu diatasi.

S: Bagaimana pula dengan pengalaman menyeronokkan yang tidak dapat dilupakan?

Farah: Saya paling seronok cuba aktiviti paralayar. Itulah kali pertama saya dapat tinjau gunung-ganang dan lautan biru dari udara macam seekor burung terbang. Selama 12 minit melakukan kegiatan ini, saya rasa kenikmatan dan keseronokan terlepas bebas di udara. Terasa juga segala suka duka mengembara ke Sepanyol selama sebulan hampir tamat. Bagai mimpi apabila di awang-awangan.

S: Kongsi pengalaman apabila bekalan elektrik terputus.

Farah: Kami di Valencia. Sedang jalani rawatan spa. Alih-alih gelap. Terpaksa guna cahaya lilin. Tak ada teksi untuk membawa kami ke mana-mana sebab meter teksi tak dapat digunakan. Lampu trafik tak jalan. Kami sepatutnya mengunjungi rumah seorang wanita yang menetap di Sepanyol. Terpaksalah beliau datang berulang-alik memandu dari rumahnya ke lokasi kami untuk bawa kami ke rumahnya dalam kumpulan berasingan, secara bergilir-gilir, dalam 20 hingga 30 minit. Wanita itu kata dekat sahaja. Padahal, kami rasa macam jauh.

S: Kalau anda boleh pilih destinasi impian dan mengacara bagi program Zoom selanjutnya, ke mana agaknya?

Farah: Switzerland. Sebab destinasi ini serba-serbi mahal. Kalau ada yang nak menaja kami, mengapa tidak? - HARYANI ISMAIL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg