Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon M’sia, Wan Sharmila persiap diri jadi mutawifah

Jan 7, 2026 | 2:56 PM
Wan Sharmila, mutawifah, tanah suci
Pelakon dan aktivis kemanusiaan Malaysia, Wan Sharmila bersyukur dengan peluang kerjaya baru sebagai mutawifah yang membawa jemaah ke Tanah Suci. - Foto INSTAGRAM WAN SHARMILA

Pelakon dan aktivis kemanusiaan Malaysia, Wan Sharmila yang mesra disapa Lala, 45 tahun, mengakui beliau kini dalam proses pembelajaran dalam mempersiapkan diri sebagai seorang mutawifah.

Wan Sharmila atau nama sebenarnya Wan Sharmila Wan Muhamed berkata dirinya sudah memiliki sijil-sijil diperlukan selepas mengikuti kursus pengurusan haji dan umrah pada 2024, namun baru sekarang mempunyai peluang.

“Takut juga sebenarnya nak jadi mutawifah. Tapi saya dah pergi belajar pengurusan haji dan umrah yang disertai dua tahun lalu untuk dapatkan sijil, persiapan kini dianggap praktikal,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Wan Sharmila, walaupun beliau mendapat tawaran menjadi mutawifah daripada pelbagai syarikat agensi pelancongan untuk membawa jemaah ke Tanah Suci, namun dirinya masih belum ada keberanian.

“Pada tahap sekarang untuk saya sebagai mutawifah pergi berseorangan bawa jemaah ke Tanah Suci, itu belum lagi. Buat masa ini, saya ikut mutawif dan berada di belakangnya untuk belajar.

“Jadi, saya masih dalam perjalanan membuat latihan praktikal untuk mempersiapkan diri sebagai mutawifah kira-kira setahun atau lebih sebab masih banyak yang saya perlu pelajari lagi,” katanya.

Pelakon drama bersiri 7 Hari Mencintaiku itu berkata, tugas sebagai mutawifah bukan sekadar membawa jemaah ke Tanah Suci, sebaliknya perlu tahu persoalan agama jika ditanya.

“Sebagai mutawifah, kita bukan sekadar bawa jemaah. Kalau bawa jemaah sahaja itu mungkin namanya ketua pasukan.

“Tapi saya kena menyantuni jemaah serta tahu juga hukum hakam, sirah Nabi dan merangkumi semua.

“Apapun, kiranya saya ini sekarang adalah intern (pelatih),” katanya yang berasa sangat bersyukur mendapat rezeki baru.

Sudah dua tahun tidak berlakon, Wan Sharmila memaklumkan bukan tiada tawaran yang datang tetapi kebanyakannya kurang sesuai dan membuatnya perlu melepaskan.

“Tetapi, cabang rezeki daripada Allah swt sangat banyak dan saya bersyukur kini diberi peluang untuk menjadi mutawifah.

“Walaupun cabarannya besar dan tidak mudah, namun saya perlu mencuba,” kongsinya.

Terdahulu, Wan Sharmila memuat naik hantaran video di Instagram memaparkan dirinya berada di lapangan terbang serta buat pertama kali perlu menguruskan jemaah umrah untuk ke Jeddah.

Difahamkan, Wan Sharmila yang bersama agensi Hayya Travel Tours di Malaysia membawa seramai 30 anggota jemaah umrah dan akan berada di tanah suci selama 12 hari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg