Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiti Saleha nikmati detik bergelar ibu
Pelakon terkenal Malaysia, Siti Saleha, belum bersedia kembali aktif di lokasi penggambaran kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan setiap detik perkembangan anak sulungnya, Indra Mateen Fitton, yang kini berusia enam bulan.
Saleha, atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum, 36 tahun, berkata sebagai ibu buat kali pertama, tumpuan utamanya kini adalah memberikan sepenuh perhatian kepada anak, terutama sepanjang tempoh pemberian susu ibu dan fasa awal pembesaran.
“Saya pertama kali jadi ibu. Kalau nak mula penggambaran semula, saya kena fikir dua kali, sebab saya memang nak berhenti menyusu sepenuhnya dulu.
“Tawaran berlakon memang sudah ada, tetapi saya tidak mahu terlepas menyaksikan perkembangan anak.
“Setiap hari berbeza dan saya nak ada di sisi dia,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut pelakon drama bersiri, 7 Hari Mencintaiku, itu, beliau begitu menikmati pengalaman bergelar ibu walaupun mengakui tanggungjawab itu hadir dengan cabaran yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
“Saya suka jadi ibu. Memang perasaan yang sangat berbeza.
“Ada masa susah dan senang. Kalau saya tidak ada, nanti anak hanya dengan pengasuh dan suami.
“Kalau boleh, saya tidak mahu terlepas detik seperti itu.
“Nanti perkataan pertama dia ‘daddy’ pula,” ujarnya, yang bersuamikan pereka fesyen, Joshua Fitton, 39 tahun, sambil berseloroh.
Saleha turut berkongsi putera sulungnya itu juga sangat mudah dijaga dan tidak banyak meragam, sekali gus memudahkan urusan hariannya.
“Alhamdulillah, anak saya sangat tenang.
“Kini, dia dah mula makan, minum menggunakan penyedut minuman, banyak membebel dan saya rasa dia mungkin akan berjalan sebelum merangkak.
“Kalau saya keluar bekerja pun, dia tak menangis,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Saleha mengakui kehidupannya banyak berubah apabila masa rehat semakin berkurangan selain perlu lebih menjaga kesihatan kerana masih menyusukan anak.
“Tak cukup rehat memang betul, terutama pada tahun pertama bergelar ibu.
“Penat memang penat, tetapi saya tidak mahu mengeluh.
“Saya juga tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil ubat kerana masih menyusukan anak.
“Banyak perkara yang perlu difikirkan,” kongsi Saleha.
