Topik diikuti
Pergi ke BHkuZarina Zainuddin nafi kilang pulut kuning kotor, pertahan reputasi jenama
Zarina Zainuddin nafi kilang pulut kuning kotor, pertahan reputasi jenama
Zarina Zainuddin nafi kilang pulut kuning kotor, pertahan reputasi jenama
Pelakon Malaysia, Zarina Zainuddin, 55 tahun, menafikan dakwaan tular di media sosial yang mempersoalkan tahap kebersihan kilang pengeluaran pulut kuning miliknya.
Beliau menegaskan operasi perniagaan berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Zarina berkata dakwaan yang mengaitkan kilang miliknya sebagai tidak bersih adalah tidak tepat dan tidak memberi kesan kepada perniagaan, malah tempahan yang diterima dilihat semakin meningkat sejak isu berkenaan tular.
Menurutnya, pelanggan yang pernah berkunjung ke premis berkenaan lebih memahami keadaan sebenar berbanding dakwaan yang tersebar di media sosial, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Isu itu tidak memberi kesan kepada perniagaan saya kerana pelanggan yang sudah datang dan melihat sendiri. Mereka tahu keadaan sebenar.
“Malah, saya menerima lebih banyak tempahan sejak isu ini tular.
“Kilang saya bersih dan mempunyai sijil halal serta pengiktirafan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
“Kami bukan seperti yang digambarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Next Level anjuran portal mStar dan radio Suria FM di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, pada 22 April.
Mengulas lanjut, Zarina menyifatkan dakwaan yang tersebar di wadah Threads itu sebagai tidak berasas dan dipercayai dibuat tanpa semakan fakta yang tepat.
Katanya, tindakan menyebarkan dakwaan sedemikian hanya mencetuskan persepsi negatif terhadap perniagaan tanpa mengambil kira kesahihan maklumat.
“Saya rasa kenyataan itu dibuat secara emosi tanpa saluran yang betul.
“Saya tidak mahu ambil terlalu serius kerana saya ada banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian.
“Terserah kepada orang ramai untuk menilai, tetapi perkara seperti ini boleh menjejaskan persepsi jika tidak disahkan,” katanya yang pernah membintangi drama Isteri Tuan Ihsan, Tak Ada Cinta Sepertimu dan Kids Nowadays.
Dalam pada itu, Zarina berkata, beliau tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap individu terbabit kerana tidak mahu isu berkenaan berpanjangan walaupun mengakui tindakan itu seolah-olah cuba mensabotaj perniagaannya.
Katanya, beliau memilih untuk tidak memperbesarkan keadaan dan menganggap ia berlaku akibat emosi sesetengah pihak.
“Nak bawa ke mahkamah pun saya rasa tidak perlu. Dia pun tiada duit, kalau nak lawan pun dia nak bayar guna apa? Saya pun tidak mahu panjangkan isu ini.
“Saya maafkan individu terbabit dan anggap mungkin dia bertindak dalam keadaan emosi,” tambahnya yang mula berkecimpung dalam bidang seni sejak lewat 1980-an.
Terdahulu, tular di wadah Threads dakwaan yang mempersoalkan tahap kebersihan kilang pengeluaran pulut kuning milik Zarina Zainuddin.
Hantaran berkenaan dipercayai berpunca daripada dakwaan seorang individu yang mengaitkan maklumat daripada bekas pekerja, sebelum mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk menggesa siasatan dilakukan terhadap perniagaan berkenaan.
