Sekilas pandang, hidangan nasi yang disajikan restoran Thunder Tea Rice kelihatan seperti semangkuk salad.
Namun, setelah mencuba sajian tradisional dan warisan masyarakat Hakka yang dipanggil Lei Cha Fan ini, bagaikan ingin menikmatinya berulang kali.
Kaki Makan berpeluang mencuba hidangan ini buat kali pertama.
Rasa herbanya yang kuat, tekstur rangup daripada pelbagai sayur-sayuran, kacang tanah panggang dan ikan bilis, ditambah dengan sup teh hijau yang pekat dan beraroma menjadikan hidangan ini unik dan mengenyangkan.
‘Thunder Tea Rice’ merupakan hidangan nasi putih atau beras perang, yang ditabur dengan sayur-sayuran yang dicencang halus seperti kacang panjang, lobak merah, kubis, dan sawi, bersama tauhu, lobak masin (chai poh), kacang tanah dan ikan bilis.
Kesemua bahan kering itu disajikan bersama nasi, dan disertakan dengan sup berwarna hijau yang diperbuat daripada campuran daun basil, pudina, bijan panggang, kacang tanah, daun teh hijau dan air, dikisar dan dihidang panas.
Namun, bukan semua orang mampu menerima rasanya jika mencuba buat kali pertama.
Pengasas, Thunder Tea Rice, Cik Callie Lim, berkata pengalaman pertamanya dengan Lei Cha Fan sewaktu mengandung amat mencabar.
“Tapi bila cuba kali kedua, barulah saya benar-benar menghargai rasanya. Masa itu, saya rasa seperti disambar petir!” kata Cik Lim.
Pengalaman itulah yang mengilhamkan nama jenama mereka, Thunder Tea Rice.
Sejak itu, beliau dan anak perempuannya, Cik June Tan, mengembangkan perniagaan kecil ini kepada beberapa cawangan, termasuk di lokasi ikonik seperti Lau Pa Sat.
Kini, selepas lebih dua dekad menjual hidangan tersebut kepada masyarakat umum, mereka mengorak langkah besar dengan mendapatkan sijil halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sekitar Jun 2024 bagi membuka peluang kepada pelanggan Muslim menikmatinya.
“Dulu ramai pelanggan Muslim yang tanya, boleh tak kami mohon sijil halal? Mereka nak bawa ibu bapa makan sekali.
“Malah ada yang e-mel kami, minta percepatkan proses tersebut. Jadi kami tahu, sudah tiba masanya,” jelas Cik Tan, yang kini menguruskan operasi harian perniagaan itu.
Pensijilan halal bukan sahaja membuka pintu kepada segmen pasaran baru, malah turut melonjakkan jualan.
“Selepas dapat sijil halal, kami nampak lebih ramai pelanggan baru cuba Thunder Tea Rice. Mereka datang dengan keluarga, dan mereka makan dengan lebih tenang apabila ia halal,” tambah Cik Tan.
Walaupun kini tampil lebih moden dan kemas, Thunder Tea Rice, masih mengekalkan prinsip tradisionalnya.
“Dulu, orang akan buat sendiri hidangan ini di rumah dengan mencampurkan semua sayur-sayuran. Jadi, rupanya kelihatan kurang menarik.
“Tapi kami asingkan setiap bahan, macam mangkuk salad. Sebab itu sekarang ramai orang suka, nampak bersih dan cantik,” kata Cik Lim.
Menariknya, ikan bilis sebenarnya bukan sebahagian daripada resipi asal kaum Hakka.
“Kami yang tambah ikan bilis sebab nak beri rasa lemak, masin dan rangup. Apabila kacau semua sekali, ada tekstur dan rasa yang lebih sedap,” ujar beliau.
Menyediakan hidangan ini juga bukan mudah. Sayur-sayurannya perlu dipilih satu per satu untuk memastikan hanya yang segar digunakan. Sup teh hijau pula memerlukan beberapa hari untuk disediakan.
“Kami kisar bahan untuk sup sendiri tanpa bahan pengawet. Sebab itu, ia rasa segar dan sihat,” jelasnya.
Kini, menu mereka bukan sahaja menampilkan Thunder Tea Rice dalam versi asli dan untuk golongan yang hanya makan sayur-sayuran atau vegetarian, berharga $6.90.
Malah terdapat pilihan tambahan seperti, Thunder Tea Combo bersama ayam basil ($11.50), serta sajian sampingan seperti tauhu Hakka atau Hakka Beancurd ($1.80) dan popia berisi ayam, udang dan daging cencang atau Chicken Prawn Meat Roll ($3.80).
Bukan sekadar enak, hidangan ini juga sarat dengan khasiat. Ia rendah lemak dan kolesterol, tinggi serat, dan dipercayai membantu penghadaman, menyingkirkan angin, meredakan selesema dan batuk, serta meningkatkan tenaga dan kesihatan kulit.
“Sekarang, ramai pelanggan yang baru selesai pergi gim pun datang makan di sini. Mereka suka sebab ia sihat, banyak sayur, dan ada juga protein seperti ayam,” kata Cik Tan.
10 pagi hingga 9 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg