Pusat Penjaja & Kedai Kopi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Kaki hi-tea’ tinggalkan kerjaya stabil demi cinta hasilkan mufin

Pengasas bersama AJ Delights merupakan bekas juruteknik SAF dan pernah bertugas di sektor korporat
Aug 22, 2025 | 5:03 PM
AJ Delights, Muffin, mufin, halal
Pengasas bersama AJ Delights, Encik Jerry Soon (kiri) dan Cik Amy Tham di gerai pertama AJ Delights yang dibuka pada 2012 dan terletak di Pusat Makanan Alexandra Village. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebelum ini, pasangan suami isteri, Encik Jerry Soon dan Cik Amy Tham, kerap meluangkan hujung minggu mereka dengan sesi minum petang di kafe atau hotel.

Mereka seronok menjamu selera, ditemani pilihan luas pastri atau pencuci mulut di depan mata.

Dari situlah lahir impian mereka untuk menyajikan mufin bermutu tinggi dengan harga berpatutan, yang sedap dinikmati dan pastinya diingati.

“Lebih 13 tahun lalu, kami terfikir untuk hasilkan sesuatu yang ringkas tetapi istimewa.

“Mufin boleh dimakan bila-bila masa sahaja, baik pagi, tengah hari, minum petang atau di majlis khas. Ia sesuai untuk semua,” kata pengasas AJ Delights, Cik Tham.

Demi memburu impian mereka, Encik Soon, 59 tahun, bekas juruteknik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Cik Tham, 56 tahun, yang bekerja di sektor korporat, sanggup menukar kerjaya mereka.

AJ Delights membuka gerai pertama pada 2012 di Pusat Makanan Alexandra Village demi merealisasikan impian mereka untuk membawa mufin mewah ke ruang pusat penjaja.

Tanpa sebarang latihan formal membuat kek dan pastri, Encik Soon dan Cik Tham menimba ilmu daripada kursus ringkas membakar kek, di samping video Google dan YouTube.

“Kami akan cuba gabungkan ilmu yang dipelajari dan uji perisa bersama, sampai jumpa formula terbaik,” dedah Encik Soon, selaku pengasas AJ Delights.

Resipi awal mereka termasuk pilihan klasik seperti gabungan dua jenis coklat, coklat pisang, coklat vanila, Oreo dan beri biru.

Namun, proses menyempurnakan setiap satu perisa mufin itu tidak mudah.

Mufin ‘Green Tea Monster’ (teh hijau), misalnya, memerlukan percubaan dengan pelbagai gred serbuk matcha.

Bagi mufin coklat pisang, Encik Soon bertegas menggunakan pisang segar sahaja kerana ia mampu memberikan rasa asli, bukan pes perisa pisang.

Mereka menggunakan mentega Perancis buat beberapa mufin, serbuk koko Verona dan buah-buahan segar, dengan keyakinan bahawa mutu bahan merupakan rahsia yang akan menambah rasa dan tekstur mufin berkenaan.

“Pelanggan boleh rasa mutu bahan yang digunakan. Teksturnya memang berbeza. Kami gunakan beri biru dan pisang segar, bukan jem atau puri.

“Jadi bila gunakan buah-buahan sebenar, walaupun jangka hayatnya lebih pendek, perbezaan rasanya dapat dikesan,” kata Cik Tham.

“Bagi saya, mufin yang baik mesti lembut dan tidak kering. Pelanggan boleh bezakan, kalau tidak sedap mereka tidak akan kembali lagi untuk membelinya,” tambah Encik Soon.

Namun, bahan bermutu tinggi juga lebih mahal.

“Pada mulanya sambutannya kurang baik. Sebab mufin kami dibuat dengan bahan premium berbanding di kedai lain, jadi harganya nampak lebih mahal.

“Tapi kami memang ingin kekalkan piawaian sebegitu. Hampir setahun dua kami terpaksa mendidik pelanggan, dan akhirnya bila mereka cuba di tempat lain, mereka tetap kembali kepada kami,” kongsi Cik Tham.

Kini AJ Delights menambah perisa mufin, daripada 12 perisa sahaja kepada 28 perisa, dengan setiap satunya diuji dengan teliti sehingga Encik Soon dan Cik Tham benar-benar berpuas hati dengan rasanya.

Antara yang paling laris ialah mufin coklat kacang walnat dengan taburan ‘crumble’ mentega Perancis yang kaya, dan ‘streusel’ beri biru yang dibuat dengan buah beri segar, bukan jem.

‘Streusel’ adalah bahan rangup yang dibakar atas mufin dan terdiri daripada gabungan tepung, mentega dan gula.

Mufin walnat pisang, $3.05, mempunyai rasa vanila dengan hirisan pisang segar yang menambah kelembapan semula jadi.

Taburan kacang walnat di atas memberi perbezaan tekstur, manakala cip coklat di dalamnya menambah rasa manis yang seimbang.

Mufin walnut ‘streusel’ coklat, $3.40, antara pilihan paling laris.

Mufin coklat itu menggunakan mentega Perancis untuk membangkitkan rasa lemak dalam adunan dan ia tidak terlalu manis.

Bahagian atasnya dilengkapi ‘streusel’ walnat serta bahan taburan rangup yang menambah lapisan teksturnya.

Mufin ‘streusel’ beri biru, $3.95 dibuat dengan beri biru segar. Mufin itu menawarkan rasa manis semula jadi yang diimbangi sedikit rasa masam daripada perahan ekstrak lemon.

Taburan beri biru di permukaan dan intinya menjadikannya antara kegemaran pelanggan AJ Delights.

Dalam pada itu, titik perubahan besar hadir apabila AJ Delights membuat keputusan mendapatkan pensijilan halal pada 2015.

Dorongan awal bagi mendapatkan sijil halal datang daripada permintaan pelanggan korporat.

“(Sebanganyak) 95 peratus bahan kami memang sudah halal. Selepas dapat bimbingan konsultan, hanya sedikit pelarasan diperlukan.

“Saya fikir langkah ini hanya akan membawa kami meraih lebih ramai pelanggan Islam, tetapi sebenarnya kami dapat peluang lebih besar, iaitu langganan dari sekolah, syarikat korporat, dan masyarakat lebih luas,” ujar Cik Tham.

Perniagaan mereka kini telah berkembang dan selain cawangan pertama di Pusat Makanan Alexandra Village, AJ Delights turut mempunyai beberapa cawangan lain.

Ini termasuk di pusat beli-belah Century Square di Tampines, gerai di Fusionopolis dan di dalam pusat beli-belah Compass One yang terletak di Sengkang.

Namun, bagi Encik Soon dan Cik Tham, kejayaan sebenar datang daripada senyuman pelanggan.

“Kami mudah rasa gembira apabila pelanggan kata mufin kami sedap. Ia semudah itu untuk buat hari kami lebih bermakna,” kata Cik Tham.

Tidak kiralah apa pilihan perisa mufin dari AJ Delights yang anda gemarkan.

Sebabnya, pencuci mulut yang manis itu sesuai dinikmati semua generasi pelanggan.

AJ Delights
Alamat: Pusat Makanan Alexandra Village, Blok 120, Bukit Merah Lane 1, #01-82, Singapura 150120
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Sabtu, 11 pagi hingga 6 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg