Pusat Penjaja & Kedai Kopi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mufin ‘Ah Tas’ tawar pilihan premium di pusat penjaja

Pemilik gerai mufin di Serangoon Garden tidak fikir tentang peluasan cawangan, hanya ingin penuhi cita rasa pelanggan
Aug 22, 2025 | 12:15 PM
Singapura, Ah Tas Muffins, David Lim, mufin, Pusat Penjaja Serangoon Garden
Pengasas Ah Tas Muffins, Encik David Lim, 35 tahun di gerainya yang terletak di Pusat Penjaja Serangoon Garden. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sekilas pandang, mufin mungkin nampak biasa untuk dimakan bila-bila masa sahaja, khususnya ketika berhimpun bersama teman untuk sesi minum teh petang.

Namun, mufin dari Ah Tas Muffins jelas lain daripada lain.

Bahagian tepinya rangup keperang-perangan emas, manakala isi dalamannya pula lembut, lembap, rasa mentega dan gebu tetapi tidak terlalu padat.

Mufin ini juga harum membuka selera sesiapa sahaja yang ingin menjamahnya.

Pengasas Ah Tas Muffins, Encik David Lim, memilih menggunakan mentega dan bukannya minyak dalam setiap adunan.

“Saya perasan kebanyakan mufin di sini guna minyak. Bagi saya, mentega beri rasa, bau dan tekstur yang berbeza. Ia lebih mahal dan susah dihasilkan, tetapi saya suka kerana rasa dan baunya. Inilah mufin yang saya mahu makan,” kata usahawan berusia 35 tahun itu.

Minat Encik Lim menghasilkan mufin bermula sejak beliau berusia 14 tahun.

“Saya suka buat kek sejak kecil. Pada waktu itu, belum ada YouTube, jadi saya bergantung pada buku resipi.

“Banyak kali percubaan gagal, tapi saya belajar sendiri di rumah. Malah selepas buka gerai pun, saya terus perbaiki resipi sedikit demi sedikit,” kongsinya.

Beliau akhirnya membuka gerai pertamanya di Pusat Makanan Old Airport Road pada 2019, tanpa sebarang latihan formal dalam sajian pastri.

Namun perjalanan demi mencapai cita-citanya bukan mudah.

Encik Lim terpaksa meninggalkan kerjaya stabil dalam bidang penerbangan dan binaan untuk menerima gaji lebih rendah dan bekerja berjam-jam lamanya di dapur demi hobi dan nyala rasanya pada pembikinan pastri.

Mufin Cip Coklat merupakan perisa pertama yang dihasilkan Encik David Lim dan perisa yang paling digemari pelanggan. Walaupun dijual pada harga lebih mahal, mutu coklat dan rasa mentega mufin ini sangat menyerlah.
Mufin Cip Coklat merupakan perisa pertama yang dihasilkan Encik David Lim dan perisa yang paling digemari pelanggan. Walaupun dijual pada harga lebih mahal, mutu coklat dan rasa mentega mufin ini sangat menyerlah. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Saya memang ingin mulakan perniagaan. Lima tahun lalu (2020), saya kata pada diri sendiri kalau tidak buat sekarang, bila dah ada keluarga nanti ia akan lebih susah,” katanya.

Semasa peringkat awal permulaan Ah Tas Muffins memang penuh cabaran.

“Saya sampai tidak boleh tidur atau makan. Malah, ramai jiran peniaga baik hati. Mereka ajar macam mana nak susun mufin bila waktu sibuk, malah turut menyarankan pembekal mana patut saya hubungi,” imbasnya.

Mufin Pisang Klasik kelihatan biasa sahaja tapi teksturnya yang rangup di luar dan lembap dan harum di dalam membuatnya perisa yang digemari pelanggan daripada setiap lapisan usia.
Mufin Pisang Klasik kelihatan biasa sahaja tapi teksturnya yang rangup di luar dan lembap dan harum di dalam membuatnya perisa yang digemari pelanggan daripada setiap lapisan usia. - Foto BH oleh KHALID BABA

Selepas empat tahun di Old Airport Road, Encik Lim kemudian berpindah ke Pusat Penjaja Serangoon Garden pada 2023, dan Ah Tas Muffins mula menarik pelanggan baru.

Baginya, mufin mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pencuci mulut lain.

Cupcake (kek cawan) nampak cantik, tapi saya selalu buang aisingnya. Bagi saya ia cuma krim.

“Mufin lebih ringkas, boleh dimakan pada suhu bilik, mudah dikongsi dan tidak perlu hiasan berlebihan,” katanya lagi.

Mufin Mentega Kacang Coklat menggabungkan dua jenis perisa. Bagi pelanggan yang menggemari perisa coklat yang lebih menyerlah, mufin ini pilihan tetap dengan penggunaan koko gelap dalam kek mufin tersebut.
Mufin Mentega Kacang Coklat menggabungkan dua jenis perisa. Bagi pelanggan yang menggemari perisa coklat yang lebih menyerlah, mufin ini pilihan tetap dengan penggunaan koko gelap dalam kek mufin tersebut. - Foto BH oleh KHALID BABA

Mufin pertama yang dihasilkannya ialah Chocolate Chip Muffin (Mufin Cip Coklat), yang kekal antara jualan terlaris.

Tidak lama kemudian, Lava Chocolate (Coklat Lava) menjadi mufin kegemaran ramai pula.

“Pelanggan suka kek lava di media sosial, tapi ia hanya sedap dimakan panas-panas.

“Saya nak hasilkan versi coklat yang boleh ‘mengalir’ walaupun pada suhu bilik. Saya mengambil masa juga untuk cari formula yang tepat, tapi akhirnya berbaloi,” jelasnya.

Perisa klasik seperti Mufin Pisang juga menjadi kegemaran ramai.

Walaupun harganya lebih mahal, Encik Lim percaya pelanggan akan faham setelah merasainya sendiri.

“Saya tidak tetapkan harga ikut pasaran. Saya jual apa yang saya sendiri mahu makan, termasuk untuk keluarga saya dan akan memberikan mutu terbaik.

“Bahan-bahannya lebih premium. Tapi bila orang rasa perbezaannya, mereka akan serta-merta ubah pandangan awal mereka,” katanya.

Mufin Lava Coklat dengan ganace (campuran krim dan coklat cair) di bahagian tengah mufin, menambah perisa coklat yang kaya.
Mufin Lava Coklat dengan ganace (campuran krim dan coklat cair) di bahagian tengah mufin, menambah perisa coklat yang kaya. - Foto BH oleh KHALID BABA

Antara perisa yang ditawarkan ialah Classic Raisins (Kismis Klasik), $2.60; Chocolate Oreo, $3.10; Matcha Walnut, $3.50; Triple Cheese (Tiga Jenis Keju), $3.60; dan Chocolate Peanut Butter (Mentega Kacang Coklat), $3.60.

Encik Lim juga menekankan kepentingan keterangkuman dalam jenama Ah Tas Muffins.

“Nama Ah Tas adalah gabungan kekata Melayu dan Cina, dan ejaannya berbeza tetapi turut memberi maksud ‘Atas’.

“Saya ingin jenama ini mempunyai unsur masyarakat kita. Cara terbaik ialah mendapatkan sijil halal supaya semua orang boleh menikmatinya.

“Ia juga penting untuk tempahan katering, sebab hospital dan sekolah perlukan pensijilan halal,” katanya lagi.

Kaki Makan sempat mencuba beberapa perisa mufin popular dan klasik Ah Tas Muffins.

Mufin Cip Coklat memiliki rasa mentega yang harum dan menggunakan coklat Belgium yang tidak terlalu manis. Luarannya garing keemasan, dalamannya kekal gebu.

Sebagai mufin berperisa klasik, Mufin Pisang lembap dan manis secara semula jadi kerana bahan cebisan pisangnya.

Mufin Coklat Lava pula kaya dengan inti coklat yang cair walaupun dimakan pada suhu bilik.

Bagi yang enggan makan pencuci mulut yang terlalu manis, usah bimbang. Memandangkan mufin ini menggunakan coklat gelap, ia tidak terlalu manis.

Mufin Mentega Kacang Coklat pula kaya dan penuh rasa, walaupun pilihan kacang mentega yang masin mungkin boleh menyeimbangkan rasanya.

Setiap hari, Encik Lim mula membakar mufin seawal 6 pagi dan menjualnya hingga tengah hari.

Pesanan tidak menentu, dengan ada hari tidak sibuk, dan ada hari pula sarat dengan tempahan katering besar dari pejabat, sekolah atau hospital.

“Apabila pelanggan datang semula, malah jadi kawan, itu sangat bermakna buat saya. Ada juga yang berbual dengan saya tentang hartanah, sebab saya juga ejen hartanah sambilan,” tambahnya.

Apabila ditanya mengenai perkembangan perniagaannya dalam usaha mendekati lebih ramai pelanggan, Encik Lim tetap berhati-hati.

“Saya tidak mahu buka 10 cawangan. Lebih baik satu atau dua kedai dengan mutu yang konsisten.

“Di luar negara, ada kedai kek dan pastri terkenal yang masih kekal dengan hanya satu cawangan. Itulah yang menjadi inspirasi saya,” katanya.

Bagi Encik Lim, mufin bukan pencuci mulut biasa tetapi mampu menjadi sajian bermutu. Tekadnya bulat mengubah fikiran pelanggan yang sebelum ini menganggap mufin sebagai cemilan mengisi perut.

“Orang fikir mufin itu biasa. Tapi bagi saya, mufin boleh jadi hidangan ‘atasan’ (bermutu tinggi) juga. Itulah sebabnya nama kedai saya, Ah Tas Muffins,” katanya.

Ah Tas Muffins
Alamat: 49A Serangoon Garden Way, Serangoon Garden, #01-28 Market, Singapura 555945
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Sabtu, 9 pagi hingga 3 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg