Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang menghilangkan diri selepas kepimpinan tertinggi syarikat itu ditahan, masih berada di Malaysia dan tidak mampu melarikan diri ke negara jiran, berikutan kekangan kewangan.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata ia berdasarkan kebergantungan tinggi pengikutnya kepada kepimpinan tertinggi syarikat itu dalam hal kewangan.
Menurut beliau, buat masa ini hasil risikan dan siasatan polis tidak menampakkan ada pengikut GISBH melarikan diri ke sempadan Malaysia.
“Pengikut GISBH tiada kemampuan untuk melarikan diri ke sempadan khususnya di Kelantan untuk ke Thailand kerana segala dana, elaun dan kewangan mereka bergantung kepada pemimpin GISBH yang telah ditangkap.
“Akaun syarikat lebih RM880,000 ($272,869) telah dibekukan dan pelbagai aset bernilai lebih RM1.8 juta juga telah disita.
“Mereka (pengikut) juga tiada gaji atau duit. Jadi mereka tidak ada kemampuan untuk melarikan diri ke luar negara,” katanya.
Tan Sri Razarudin juga turut menafikan tuduhan bahawa ada pegawai dalam pasukan keselamatan itu cuba melindungi kegiatan kumpulan perniagaan bermotifkan agama itu sebelum ini.
Menegaskan perkara itu, beliau berkata pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memastikan siasatan berkaitan syarikat yang kini lumpuh selepas diserbu polis dalam Op Global sejak 11 September lalu, dijalankan dengan telus, adil dan menyeluruh.
“Dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan berniat jahat,” katanya mengulas mengenai mesej yang tular mengenai hubungan rapat antara seorang bekas pegawai kanan PDRM dengan kepimpinan GISBH.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pada 25 September membenarkan lanjutan tahanan reman 24 ahli GISBH termasuk Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu serta keluarganya sehingga 28 September.
Ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan kumpulan perniagaan itu dalam kes eksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak, selepas tempoh tahanan reman awal tamat pada 25 September.
Di Kelantan pula, seorang bapa bersama tiga anak lelaki pengikut GISBH yang ditahan selepas dipercayai cuba melupuskan bahan bukti dengan menanam buku berkaitan Al-Arqam di Kampung Panji, Kota Bharu, pada 21 September, ditahan reman tiga hari bermula 25 September.
Dalam pada itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata dalam kes GISBH yang terbabit dalam eksploitasi kanak-kanak dan agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melaksanakan pelan tindakan menyeluruh bersama agensi berkaitan dalam menangani isu itu.
Beliau berkata tumpuan utama pihaknya adalah untuk memastikan aspek akidah dan kebajikan kanak-kanak, remaja serta wanita yang terbabit dengan GISBH.
Pada 11 September, Malaysia dikejutkan dengan tindakan pasukan polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun daripada 20 rumah amal didakwa kendalian GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, yang menjadi mangsa eksploitasi, dera dan serangan seksual seperti liwat.
GISBH turut terpalit tuduhan mengamalkan sistem perhambaan dalam menjalankan operasi perniagaan, malah lebih parah, syarikat itu turut dipercayai masih mengamalkan tarekat Aurad Muhammadiyah.
Tarekat ini diamalkan kumpulan Al-Arqam yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat dan diharamkan kerajaan Malaysia pada 1994.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg