AP Melaka letak jawatan Ketua Bahagian Bersatu
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (AP) Masjid Tanah (Melaka), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, menjadi pemimpin kanan terbaru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.
Peletakan jawatan Datuk Mas Ermieyati, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ketua Srikandi Bersatu, dibuat bersama 39 lagi ahli jawatankuasa (AJK) bahagian terbabit.
Perkara itu diumumkan Encik Shahrul Azhar Amir yang turut meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Bersatu Bahagian Masjid Tanah selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat pada 19 Februari.
“Bersatu Bahagian Masjid Tanah telah mengadakan satu mesyuarat khas yang mana ia telah dihadiri oleh AJK bahagian, ketua sayap serta ketua cawangan Bersatu Masjid Tanah.
“Pertemuan selama dua jam ini berlangsung dengan baik dan ketua bahagian telah memberi penjelasan tentang perkembangan terkini konflik politik Bersatu.
“Sesi mesyuarat khas ini juga telah merakamkan secara sebulat suara tentang pendirian Bersatu Masjid Tanah bahawa tindakan ini dilakukan atas faktor telah kehilangan kepercayaan kami terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.
“Dengan peletakan jawatan kami ini, maka dimaklumkan bahawasanya Jawatankuasa Bersatu Bahagian Masjid Tanah dengan ini terbubar secara rasmi,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Mas Ermieyati turut mengesahkan peletakan jawatannya termasuk pimpinan bahagian yang lain.
Selain itu, pemimpin termasuk AJK Bersatu tiga bahagian di Perak turut mengumumkan peletakan jawatan menyusuli pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Mereka adalah Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Malim, Encik Mohd Amran Ibrahim; Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang, Encik Ahmad Man; dan Ketua Bersatu Bahagian Bagan Serai, Encik Ismail Ali.
Mereka mendakwa peletakan jawatan mereka turut membabitkan kesemua ahli jawatankuasa bahagian berkenaan.
Satu bahagian Bersatu di Sarawak iaitu Bintulu juga mengikuti jejak mereka, sekali gus menjadi bahagian pertama di negeri itu meninggalkan parti beramai-ramai.
Encik Duke Janteng, yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Bintulu, berkata seramai 110 ahli termasuk kepimpinan bahagian, ketua cawangan, sayap wanita dan pemuda memilih untuk berundur serta memutuskan hubungan dengan parti.
“Kami tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Bersatu yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya 16 bahagian Bersatu di serata Malaysia terbubar dengan peletakan jawatan Ketua Bahagian dan AJK, menyusuli pemecatan Datuk Hamzah.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan pembubaran Bersatu di peringkat bahagian itu.
Beliau sebaliknya berkata perlembagaan Bersatu tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli parti termasuk ketua bahagian untuk membubarkan bahagian atau cawangan parti.

