BESUT (Terengganu): Biarpun belum pulih daripada kecederaan, mangsa kemalangan bas persiaran di Gerik, Perak, Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 21 tahun, lebih memikirkan keadaan kesihatan ibunya.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu mengalami patah tangan kiri, luka di kaki kanan serta kecederaan di beberapa anggota badan, lapor Harian Metro.
Tuan Adham berkata ketika kejadian berlaku beliau sedang tidur, namun tersedar apabila bas dalam keadaan tidak stabil sebelum terbalik.
“Kejadian berlaku sekelip mata, saya kemudian tercampak ke luar bas hingga masuk ke dalam longkang.
“Nasib baik ada salah seorang penumpang sedar saya berada dalam longkang dan dia membantu saya dengan menarik tangan keluar dari longkang.
“Saya dihantar ke Hospital Taiping, Perak, untuk menerima rawatan beberapa hari sebelum dibenarkan pulang pada 13 Jun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Keladi, Jertih, di sini, pada 19 Jun.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, lengan kirinya dimasukkan besi selain turut menerima 24 jahitan.
Katanya, dalam keadaan sekarang, beliau terpaksa melalui ujian berganda apabila ibunya, Cik Zunidah Ibrahim, 51 tahun, pula dimasukkan ke Hospital Besut pada hari beliau dibenarkan keluar wad.
“Ibu menjalani pembedahan pada bahagian leher untuk rawatan dialisis kerana menghidap penyakit buah pinggang tahap enam.
“Saya mendapat tahu Ibu masuk ke hospital ketika dalam perjalanan pulang dari Perak ke Besut. Waktu itu saya ingin sangat jumpa Ibu kerana takut tidak sempat jumpa,” katanya.
Ibunya adalah orang kurang upaya masalah penglihatan, manakala bapanya, Tuan Adnan Nik Him, 60 tahun, pula cacat penglihatan serta fizikal.
Tuan Adham, anak bongsu daripada tiga beradik berkata walaupun tangannya masih dalam keadaan berbalut, beliau perlu berulang-alik ke hospital untuk menziarahi ibu serta rawatan lukanya.
“Setakat ini saya masih belum mengikuti sebarang kelas dalam talian, namun tetap membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan melalui dalam talian dijangka pada Julai nanti.
“Saya mungkin akan kembali ke kampus pada semester akan datang, iaitu sekitar Oktober depan selepas keadaan saya pulih sepenuhnya,” katanya.
Katanya, kemalangan tragis itu turut mengorbankan tiga rakan sepengajian, iaitu Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, Allahyarhamha Nurul Fatihah Abu Setaman, serta Allahyarhamha Nurul Izyanti Muhamad Azahar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg