KUALA LUMPUR: Lima Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terbabit kes buli telah dikenakan tindakan pembatalan perkhidmatan atau dibuang daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antara yang terlibat ialah Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan menekap seterika pada tubuh pelatih junior.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelantikan kelima-lima kadet terbabit juga dibatalkan dan diarahkan untuk membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia.
“Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang (pada 26 November) meluluskan saranan daripada ALK ke atas lima kadet ALK UPNM yang terlibat dalam tiga kes penganiayaan terhadap kadet lain.
“ALK mengesyorkan tindakan terhadap lima pelaku terbabit kepada MAT, termasuk pembatalan pelantikan sebagai kadet dan pemberhentian kerja daripada perkhidmatan ATM.
“Kesemua mereka harus membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia yang dikira daripada keseluruhan kos yang dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Mohamed Khaled berkata tindakan yang dikenakan itu tidak termasuk hukuman lain yang mungkin diambil pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) atau UPNM sendiri.
Katanya, kes pertama membabitkan pelaku iaitu pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021), Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan yang ditamatkan perkhidmatan dan perlu membayar ganti rugi sebanyak RM44,600 ($13,491).
Dalam kes kedua melibatkan tiga pelaku iaitu Izzat Izuddin Mohammad Arif (pelaku 1), Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan (pelaku 2) dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi (pelaku 3).
Menurutnya, ketiga-tiga pelaku dalam kes kedua ditamatkan perkhidmatan dan masing-masing diarahkan membayar ganti rugi berjumlah RM48,452; RM19,481 dan RM44,600.
Kes ketiga membabitkan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Ammar Hafiy Muhammad Habib, yang didapati mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa.
Katanya tindakan salah laku Ammar Hafiy mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada tisu lembut di bahagian bawah belakang tubuh.
“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai kadet, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan diarah membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia berjumlah RM32,115.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg