Alat pengesan radar menembusi tanah (GPR) dibawa ke lokasi tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur, untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang selepas terperlus ke dalam tanah benam itu pada 23 Ogos.
Selepas empat hari operasi SAR menggunakan teknik flushing dan jetter gagal menemui Vijayaletchumy, 48 tahun, peralatan yang dibawa Agensi Nuklear Malaysia pada 27 Ogos itu diharap dapat membantu mengesan beliau jika beliau masih berada di kawasan bawah tanah jerlus itu.
Teknik flushing adalah menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepaskan untuk menghasilkan arus aliran air deras, sementara jetter adalah alat pembersih saluran paip bertekanan tinggi.
GPR digunakan dalam kes tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, iaitu antara kes tanah runtuh melibatkan jumlah kematian terbesar di Malaysia, pada 16 Disember 2022.
Ia berfungsi dengan memancarkan gelombang elektromagnetik ke bawah permukaan tanah menerusi pemancar dan mengesan kembali gelombang yang terpantul menggunakan sensor penerima.
Operasi SAR juga akan menumpukan pencarian di titik akhir, atau end point, iaitu di loji Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, yang mengumpul sisa kumbahan yang disalurkan ke loji itu.
Menteri Komunikasi Malaysia, Encik Fahmi Fadzil, berkata kedua-dua loji Pantai 1 dan Pantai 2 di Pantai Dalam itu menguruskan sisa kumbahan bagi 1.8 juta warga Kuala Lumpur.
Justeru, kata Anggota Parlimen Lembah Pantai itu, tumpuan pasukan SAR di loji berkenaan diyakini memberi harapan menemui mangsa, yang hilang sejak lima hari.
“Hasil taklimat yang diberikan oleh Indah Water Konsortium tadi, difahamkan semua sisa kumbahan akan berakhir di sini (IWK Pantai Dalam) dan tidak akan melepasi lokasi ini.
“Jarak lurang kumbahan di Jalan Masjid India (lokasi tanah jerlus) hingga ke loji IWK Pantai Dalam adalah sejauh kira-kira tujuh kilometer.
“Sebanyak 0.4 juta sisa kumbahan warga Kuala Lumpur diuruskan kemudahan ini (Pantai 1), manakala 1.4 juta lagi di kemudahan Pantai 2. Jadi memang (semua objek) akan berhenti di sini,” katanya selepas meninjau operasi SAR di Pantai Dalam pada 27 Ogos.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang meninjau tempat kejadian tanah jerlus itu pada 27 Ogos, pula menjelaskan pasukan SAR melaksanakan pelbagai usaha, termasuk menggunakan botol untuk melihat tempoh sesuatu objek boleh sampai ke lokasi akhir, iaitu loji IWK di Pantai Dalam.
“Hasil ujian yang dilakukan pasukan SAR mendapati objek berkenaan mampu sampai ke loji berkenaan dalam empat jam,” katanya.
Beliau berkata jumlah kapasiti penggunaan air amat tinggi pada waktu sibuk berbanding waktu malam turut menyukarkan kerja pasukan SAR dalam lurang kumbahan.
“Yang penting, semua pasukan penyelamat berganding bahu bersama-sama mencari kaedah dalam melaksanakan operasi SAR ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa lebih 100 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), IWK, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Nuklear Malaysia terlibat dalam operasi SAR itu.
“Kita doakan supaya pencarian dapat dibuat dalam masa singkat,” katanya.
Kawasan tanah jerlus itu masih dikawal ketat oleh anggota polis bagi mengelak orang awam melintasi garisan kuning yang dipasang sekeliling lokasi terbabit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg