Istana Negeri Sembilan pada 30 Julai mengumumkan penarikan balik dua darjah kebesaran negeri yang dikurniakan kepada mantan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkuat kuasa serta-merta.

Penarikan balik Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS) kepada tokoh politik veteran itu dibuat selaras titah (perintah) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menerusi satu kenyataan pada 30 Julai, Pendaftar Darjah Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.

“Kededua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Tan Sri Rais iaitu Darjah Seri Utama Negeri Sembilan dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan, ditarik balik berkuat kuasa serta-merta selaras titah Tuanku Muhriz,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, berkata darjah SPNS dikurniakan kepada Tan Sri Rais pada 2001, manakala DSNS diterimanya pada 1979.

Kenyataan itu tidak menyebut punca penarikan balik darjah kebesaran itu.

Bagaimanapun sebelum ini, Tan Sri Rais yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 1978 hingga 1982 adalah antara individu yang mengiktiraf keputusan empat Undang yang menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Isu itu telah mencetuskan krisis Adat dan Raja di Negeri Sembilan yang berlarutan.

Beliau yang dikenali sebagai pakar dan pengkaji Adat Perpatih di Negeri Sembilan, memihak kepada barisan undang yang turut menamakan dan melantik Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, sebagai Yang di-Pertuan Besar baru.

Tunku Nadzaruddin adalah anak kepada mantan Yang di-Pertuan Besar ke-10, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman dan sepupu kepada Tuanku Muhriz.

Tan Sri Rais, yang juga mantan pemimpin Umno kini adalah Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan), parti anggota gabungan pembangkang - Perikatan Nasional (PN).