Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor jadi harapan baru bagi spesies monyet lotong cenekah terancam
Johor jadi harapan baru bagi spesies monyet lotong cenekah terancam
Johor jadi harapan baru bagi spesies monyet lotong cenekah terancam
JOHOR BAHRU: Johor berpotensi menjadi habitat kepada jumlah Raffles’ banded langur (lotong cenekah) yang jauh lebih banyak daripada anggaran sebelum ini, sekali gus memberi harapan baru terhadap kelangsungan hidup salah satu primat paling jarang ditemui di dunia ini.
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, berkata eksplorasi lapangan yang dijalankan pada Mei lalu menemui satu populasi yang sebelum ini tidak diketahui.
Menurutnya, eksplorasi yang dijalankan UTHM dan Jabatan Perhutanan Johor di Koridor Hutan Tengah Lenggor-Mersing itu menemui antara 40 dengan 50 ekor lotong cenekah itu.
“Berdasarkan taburan yang telah kami dokumentasikan dan dengan kumpulan baharu yang masih ditemui, saya percaya populasi sebenar boleh mencapai antara 600 dengan 700 ekor primat ini di Johor sahaja apabila tinjauan menyeluruh dijalankan,” katanya, lapor The Star.
Lotong cenekah telah diklasifikasikan sebagai spesies terancam yang kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) pada 2022.
Menurut laman web, New England Primate Conservancy, terdapat kira-kira 300 lotong cenekah di Malaysia pada 2021 dan sekitar 70 di Singapura.
Dr Muhammad Abdul Latiff memetik kajiannya pada 2024 yang diterbitkan American Journal of Primatology yang mendapati spesies itu mendiami kawasan taburan yang jauh lebih luas daripada yang direkodkan sebelum ini, melangkaui Johor hingga ke Pahang.
Walaupun penemuan itu dilihat sebagai perkembangan yang menggalakkan, Dr Muhammad Abdul Latiff, memberi amaran spesies tersebut masih menghadapi ancaman serius akibat kehilangan habitat, pemecahan hutan, pemburuan serta peningkatan konflik antara manusia dengan hidupan liar.
Beliau berkata penebangan hutan selama beberapa dekad untuk pertanian dan pembangunan telah mengurangkan habitat semula jadi lotong cenekah dengan ketara.
Ia menyebabkan banyak kumpulan haiwan tersebut kini hidup terasing di dalam tompok-tompok hutan kecil yang dipisahkan oleh jalan raya, ladang dan kawasan bandar.
Pengasingan itu tambah beliau, telah meningkatkan risiko pembiakan dalam kalangan yang sama (inbreeding), melemahkan kepelbagaian genetik dan menjadikan kumpulan haiwan itu lebih terdedah kepada wabak penyakit, kejadian cuaca melampau serta kebakaran hutan.
“Tabiat pemakanan lotong ini juga merumitkan usaha pemuliharaan.
“Tidak seperti spesies yang lebih mudah menyesuaikan diri seperti kera berekor panjang, lotong ini sangat bergantung pada tumbuhan hutan tertentu dan tidak mudah hidup di kawasan pertanian atau persekitaran bandar apabila habitatnya hilang,” jelasnya.
Dr Muhammad Abdul Latiff berkata spesies itu kini tidak lagi tersebar secara sekata di seluruh selatan Johor, dengan banyak kawasan yang sudah dibangunkan tidak lagi mampu menampung populasi yang stabil.
Namun, daerah seperti Kota Tinggi dan Pontian masih menjadi kawasan penting kerana mempunyai litupan hutan dan tumbuhan yang sesuai.
Beliau menyifatkan lotong itu sebagai spesies utama dan spesies ‘payung’ iaitu spesies yang jika dilindungi, boleh mempunyai kesan positif kepada perlindungan spesies lain yang berkongsi ekosistem hutan yang sama.
“Primat ini juga berfungsi sebagai penunjuk penting kesihatan hutan, kerana kehadirannya secara umum menandakan habitat hutan yang terpelihara dan berfungsi dengan baik,” tambah beliau.
Selain nilai ekologinya, Dr Muhammad Abdul Latiff berkata populasi haiwan itu di Johor mewakili garis keturunan genetik yang unik dan hanya terhasil daripada proses evolusi selama jutaan tahun serta wajar dilindungi sebagai khazanah semula jadi.
Untuk melindungi spesies itu, beliau menyeru supaya penyelidikan saintifik diperluas, pemantauan populasi jangka panjang dilakukan, perlindungan habitat diperkukuh serta koridor ekologi yang menghubungkan tompok hutan yang terpisah dipulihkan.
