JOHOR BAHRU: Johor berpotensi menjadi habitat kepada jumlah Raffles’ banded langur (lotong cenekah) yang jauh lebih banyak daripada anggaran sebelum ini, sekali gus memberi harapan baru terhadap kelangsungan hidup salah satu primat paling jarang ditemui di dunia itu.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, berkata eksplorasi lapangan yang dijalankan pada Mei lalu menemui satu populasi yang sebelum ini tidak diketahui.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar.
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar. - Foto MUHAMMAD ABDUL LATIFF ABU BAKAR

Beliau berkata eksplorasi yang dijalankan UTHM dan Jabatan Perhutanan Johor di Koridor Hutan Tengah Lenggor-Mersing itu menemui antara 40 hingga 50 ekor lotong cenekah itu.

“Berdasarkan taburan yang telah kami dokumentasikan dan dengan kumpulan baharu yang masih ditemui, saya percaya populasi sebenar boleh mencapai antara 600 hingga 700 ekor primat di Johor sahaja apabila tinjauan menyeluruh dijalankan,” katanya lapor The Star.

Lotong cenekah telah diklasifikasikan sebagai spesies terancam kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) pada 2022.

Menurut penilaian pada 2022 oleh IUCN, terdapat kira-kira 200 hingga 250 ekor lotong cenekah di dunia dengan anggaran 70 ekor di Singapura dan ratusan ekor di Malaysia

Dr Muhammad Abdul Latiff memetik kajiannya pada 2024 yang diterbitkan American Journal of Primatology yang mendapati spesies itu mendiami kawasan taburan yang jauh lebih luas daripada yang direkodkan sebelum ini, melangkaui Johor hingga ke negeri jiran, Pahang.

Walaupun penemuan itu dilihat perkembangan yang menggalakkan, Dr Muhammad Abdul Latiff memberi amaran bahawa spesies tersebut masih menghadapi ancaman serius akibat kehilangan habitat, pemecahan hutan, pemburuan serta peningkatan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Beliau berkata penebangan hutan selama beberapa dekad untuk pertanian dan pembangunan telah mengurangkan habitat semula jadi lotong cenekah dengan ketara, menyebabkan banyak kumpulan terasing di dalam hutan kecil yang dipisahkan oleh jalan raya, ladang dan kawasan bandar.

Katanya, pengasingan itu telah meningkatkan risiko pembiakan dalam kalangan yang sama (inbreeding), melemahkan kepelbagaian genetik dan menjadikan populasi lebih terdedah kepada wabak penyakit, kejadian cuaca ekstrem serta kebakaran hutan.

“Tabiat pemakanan lotong ini juga merumitkan usaha pemuliharaan.

“Tidak seperti spesies yang lebih mudah menyesuaikan diri seperti kera berekor panjang, ia sangat bergantung kepada tumbuhan hutan tertentu dan tidak mudah hidup di kawasan pertanian atau persekitaran bandar apabila habitatnya hilang,” jelasnya.

Dr Muhammad Abdul Latiff berkata spesies itu kini tidak lagi tersebar secara sekata di seluruh selatan Johor, dengan banyak kawasan yang sudah dibangunkan tidak lagi mampu menampung populasi yang stabil.

Namun, daerah seperti Kota Tinggi dan Pontian masih menjadi kawasan penting kerana mempunyai litupan hutan dan tumbuhan yang sesuai.

Beliau menyifatkan lotong itu sebagai spesies ‘flagship’ (wajah pemeliharaan) dan ‘umbrella’ (spesies payung yang jika dilindungi boleh mempunyai kesan positif kepada perlindungan spesies lain) yang berkongsi ekosistem hutan yang sama.

“Primat ini juga berfungsi sebagai penunjuk penting kesihatan hutan, kerana kehadirannya secara umum menandakan habitat hutan yang terpelihara dan berfungsi dengan baik,” katanya lagi.

Selain nilai ekologinya, Dr Muhammad Abdul Latiff berkata populasi haiwan itu di Johor mewakili garis keturunan genetik yang unik yang hanya terhasil dari proses evolusi selama jutaan tahun dan wajar dilindungi sebagai khazanah semulajadi.

Untuk melindungi spesies ini, beliau menyeru supaya penyelidikan saintifik diperluaskan, pemantauan populasi jangka panjang dilakukan, perlindungan habitat diperkukuh serta pemulihan koridor ekologi yang menghubungkan tompok hutan yang terpisah.