KUALA LUMPUR: Laungan azan si bapa di atas jambatan membawa kepada penemuan mayat penyanyi yang juga ‘YouTuber’ Malaysia, Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, kira-kira 7 malam pada 14 Ogos.
Allahyarham, 23 tahun, dilaporkan hilang pada sekitar 9 malam 13 Ogos ketika keluar dipercayai untuk berlari-lari anak seorang diri di Stadium Sultan Suleiman, Klang, Selangor.
Mayat Allahyarham ditemui oleh seorang pemancing warga tempatan kira-kira dua kilometer dari Jambatan Kota di Sungai Klang, iaitu lokasi terakhir Allahyarham yang dikesan melalui aplikasi, Find My Iphone, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penemuan mayat Allahyarham dan berkata mayatnya, yang sudah menggelembung sedikit, dihantar ke Unit Forensik Hospital Shah Alam, Selangor, untuk bedah siasat.
Sebaik sahaja keluarga Allahyarham dapat menjejak lokasi terakhir penyanyi yang pernah menyertai rancangan realiti, I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul, Ternyata Bukan Aku itu, mereka bergegas ke sana.
Adiknya, penyanyi Aufahanie, mengaitkan kehilangan beliau dengan kes samun kerana kad debit dan wang tunainya hilang, manakala telefon bimbit dan dompet dijumpai di atas jambatan itu.
“Teman wanita Allahyarham, yang dikenali sebagai Miera, adalah orang terakhir dihubungi Afham sebelum dia dilaporkan hilang.
“Miera dapat kesan lokasi telefon dia, jadi kami dapat cari dengan pantas lokasi itu,” kata Aufahanie, 21 tahun.
Kakak Allahyarham, Esfahanie, yang mesra dipanggil Kekfa, menarik perhatian ramai apabila beliau berkongsi impian Allahyarham hendak menjadi terkenal namun tidak disangka dikenali di seluruh negara dengan cara begitu.
“Afham pernah cakap dia nak jadi terkenal. Satu Malaysia kenal adik Kekfa sekarang tapi bukan begini Am (nama panggilan Allahyarham). Bukan begini... Allah,” tulisnya.
Ibunya, Cik Irni Yusmira Istihat, terpaksa dipapah ketika dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) kerana terkejut dan sukar menerima kenyataan kehilangan anaknya.
Bapa Allahyarham, Encik Mokhtar Mahmud, 57 tahun, seorang guru, melaungkan azan kira-kira 3 petang pada 14 Ogos di atas jambatan anaknya dipercayai hilang.
“Saya reda dengan pemergian arwah anak saya. Semasa azan, saya harap Am dijumpai. Tetapi apabila anak dijumpai dalam keadaan sudah tiada, saya reda dan harap Allah ampunkan dosanya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg