Tiada kejutan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan (PH) pada 5 Mei berhubung kemelut politik Negeri Sembilan.

Sebaliknya, kedua-dua pihak mengukuhkan komitmen meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Ini merupakan antara tiga persetujuan penting yang dicapai selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/Barisan Nasional menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar PH, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Putrajaya.

Dalam kenyataan bersama usai mesyuarat, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan ketetapan itu dibuat demi kestabilan politik Negeri Sembilan.

“Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH juga menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan.

“Majlis Perundingan juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Datuk Aminuddin, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), kerana hilang kepercayaan.

Tindakan itu didakwa berpunca daripada campur tangan dan kegagalan beliau menguruskan isu adat dan perlembagaan Negeri Sembilan dengan bijaksana.

Ia mencetuskan krisis institusi adat dan raja yang berpanjangan di negeri itu.

Kemelut bermula apabila seorang daripada empat Undang (pembesar adat dan ketua daerah) di Negeri Sembilan dipecat, dan tindak balasnya, Undang-Undang menggunakan kuasa mereka untuk melucutkan jawatan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menyusuli krisis itu, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga Adun Pertang, sebelum ini pada 2 Mei berkata, Umno di negeri itu lebih rela menjadi pembangkang daripada terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Aminuddin.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Zahid, menegaskan Umno Pusat tidak pernah memutuskan sebarang pendirian untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan, sebaliknya kekal menyokong Kerajaan Perpaduan.

Datuk Anwar pula sebelum itu telah meminta Datuk Aminuddin meneruskan tugas seperti biasa, berdasarkan hasil pertemuan beliau dengan Tuanku Muhriz berhubung kemelut politik itu.

Dalam respons kepada ketetapan mesyuarat, Umno Negeri Sembilan, melalui satu kenyataan pada 6 Mei, menjunjung keputusan pucuk pimpinan untuk terus bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Namun, Setiausaha Umno Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor, menegaskan bahawa mereka kekal hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar.

Ini didasari oleh kegagalan beliau mengendalikan krisis terburuk yang melanda negeri, sehingga melunturkan keyakinan rakyat terhadap institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Beliau menyatakan semua Adun Umno/BN akan meneruskan tanggungjawab seperti biasa, malah memberi tumpuan kepada usaha, mempertingkat khidmat bakti kepada rakyat, dan memastikan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya dari semasa ke semasa.

“Umno Negeri Sembilan juga menaruh harapan agar krisis kepimpinan adat di negeri ini dapat dileraikan dengan baik, harmoni, mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, serta tatacara adat yang sebenar,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Datuk Aminuddin dilaporkan berkata bahawa tiada lagi kerajaan minoriti di Negeri Sembilan selepas Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH mencapai kata sepakat mengekalkan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Beliau menjelaskan kedudukan kerajaan negeri kini kembali seperti sebelum krisis.