Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemandu ‘e-hailing’ kurang upaya diserang polis pengiring VVIP Johor saman kerajaan M’sia
Pemandu ‘e-hailing’ kurang upaya diserang polis pengiring VVIP Johor saman kerajaan M’sia
Pemandu ‘e-hailing’ kurang upaya diserang polis pengiring VVIP Johor saman kerajaan M’sia
KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun kejadian ditumbuk seorang pengawal pengiring daripada rombongan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pada 2024, seorang pemandu ‘e-hailing’ kurang upaya pendengaran memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Encik Ong Ing Keong memfailkan saman sivil terhadap kerajaan, Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis negara, bagi menuntut ganti rugi serta pembaharuan untuk meningkatkan akses bagi golongan tersebut.
Melalui saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai lalu, Encik Ong menamakan anggota polis Lans Koperal Muhammad Taufik Ismail, Inspektor Che W Hashimi Rafsanjani Che W Raksan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.
Encik Muhammad Taufik, 34 tahun, yang merupakan sebahagian daripada rombongan Tunku Ismail, didakwa beberapa bulan kemudian berhubung kejadian itu yang mencetuskan kemarahan besar orang ramai.
Beliau hanya dikenakan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah, lapor portal Malaysiakini.
Dalam pernyataan tuntutannya, Encik Ong menuduh defendan melakukan serangan, kecuaian, salah laku dalam jawatan awam serta melanggar peruntukan di bawah Akta Polis dan Akta OKU.
Selain menuntut ganti rugi, Encik Ong turut memohon pengisytiharan bahawa polis melanggar kewajipan berkanun mereka, serta injunksi mandatori yang mewajibkan balai polis di seluruh negara menyediakan akses kepada jurubahasa isyarat Malaysia.
Pernyataan tuntutan itu menceritakan semula bagaimana Encik Ong ditumbuk pada muka pada 28 Mei 2024 di luar Hotel St Regis di Kuala Lumpur, ketika beliau pergi ke situ untuk mengambil penumpang.
“Plaintif mengalami kesakitan pada mukanya dan amat terkejut, ketakutan, trauma serta dimalukan akibat tindakan defendan pertama.
“Kejadian itu berlaku tanpa sebarang provokasi atau justifikasi yang sah di sisi undang-undang. Ia turut berlaku di hadapan orang ramai dan penumpang plaintif,” menurut pernyataan itu.
Pernyataan berkenaan turut memperincikan kejadian yang didakwa dialami Encik Ong di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, dengan mendakwa beliau ditekan supaya menarik balik laporan polisnya dan telefon bimbitnya dirampas.
“Plaintif kemudiannya dimaklumkan oleh anggota polis bahawa telefon bimbitnya hanya akan dikembalikan sekiranya dia bersetuju menarik balik laporan polis pertama dan memadamkan video yang menunjukkan defendan pertama menumbuknya.
“Apabila plaintif enggan dan meminta telefon bimbitnya dikembalikan, dia dibiarkan bersendirian menunggu selama beberapa jam, dan sepanjang tempoh itu dia tidak dibenarkan mengakses telefon bimbitnya.
“Telefon bimbit itu digunakan plaintif untuk bekerja dan berkomunikasi sebagai seorang pekak.
“Oleh itu, plaintif berasa amat takut, cemas dan tertekan kerana telefon bimbitnya diambil untuk tempoh yang lama tanpa sebarang alasan dan tanpa sebarang jaminan bahawa ia akan dikembalikan,” menurut pernyataan itu.
“Pada setiap masa yang berkenaan, akses kepada komunikasi dan/atau jurubahasa isyarat Malaysia dan/atau peralatan transkripsi dan/atau kemudahan penterjemahan tidak disediakan kepada plaintif oleh defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima, yang bercanggah dengan Seksyen 30 Akta Orang Kurang Upaya 2008,” menurut pernyataan itu lagi.