KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk dua anggota polis yang didapati bersalah merompak wang tunai RM1.1 juta ($330,000) milik ahli perniagaan berusia 26 tahun dengan bersenjatakan pistol, dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 17 Jun.
Keempat-empat tertuduh didapati bersalah oleh Hakim Mahkamah Sesyen Hamidah Mohamed Deril, merompak mangsa di tempat letak kereta sebuah bangunan di Jalan Chan Sow Lin pada jam 1.30 tengah hari, 14 Disember 2021.
Hakim Hamidah menjatuhkan hukuman itu terhadap dua koperal polis - Hasrol Irmey Abu Hasim, 36 tahun, dan Muhammad Helmi Jamaluddin, 34 tahun, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dua lagi tertuduh ialah, Amir Moktar, 47 tahun, dan Mohd Ridhwan Azman, 39 tahun, lapor Berita Harian Malaysia.
Hukuman berkenaan diperintahkan bermula 17 Jun. Bagaimanapun peguam bela, Cik Nur Azimul Azami Mohamad Nor yang mewakili semua tertuduh memohon hukuman ditangguhkan kerana pihaknya akan merayu keputusan itu.
Hakim kemudian memerintahkan peguam memfailkan permohonan rasmi kepada mahkamah.
Perbicaraan kes itu bermula pada Julai 2023 dengan seramai 35 saksi pendakwaan memberi keterangan, manakala empat tertuduh memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding bela diri.
Semua tertuduh dengan niat bersama didakwa melakukan rompakan berkumpulan wang tunai itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg