Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, M’sia usahakan sistem pembayaran terbuka bagi RTS Link

Harga pengangkutan RTS Link masih belum ditentukan
Jun 30, 2025 | 7:05 PM
Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow (kanan), dan Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata harga pengangkutan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Singapura dengan Johor Bahru masih belum ditentukan.
Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow (kanan), dan Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata harga pengangkutan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Singapura dengan Johor Bahru masih belum ditentukan. - Foto ST

Kedua-dua Singapura dan Malaysia sedang mengusahakan sistem pembayaran terbuka untuk Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Singapura dengan Johor Bahru.

Namun kini, ia masih lagi belum ditentukan pihak pengendali kereta api tersebut.

Perkembangan terkini itu dikongsi Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow, dan Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, selepas pelancaran kereta api pertama RTS Link di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) pada 30 Jun.

Ia merupakan kereta api pertama daripada lapan yang bakal beroperasi sejauh 4 kilometer di RTS Link mula Disember 2026.

Peta laluan dinamik yang memaparkan stesen seterusnya dalam kereta api.
Peta laluan dinamik yang memaparkan stesen seterusnya dalam kereta api. - Foto ZAOBAO
Tempat duduk yang boleh dilipat di dalam Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link).
Tempat duduk yang boleh dilipat di dalam Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link). - Foto ZAOBAO

Bercakap kepada wartawan di sesi pelancaran tersebut, Encik Loke, menjelaskan bahawa mereka sedang mengusahakan sistem pembayaran terbuka.

Ini bermakna, penumpang boleh menggunakan pelbagai kaedah pembayaran yang tidak terhad kepada satu kad atau aplikasi khusus sahaja.

“Saya percaya (sistem pembayaran terbuka) ini merupakan satu trend dalam kalangan operator pengangkutan awam di seluruh dunia.

“Anda boleh menggunakan kad kredit, kad debit, sama ada dalam talian. Semua ini perlu diambil kira dan sistem pembayaran itu tidak seharusnya dihadkan,” ujarnya.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke (kiri); Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow (tengah); dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; meninjau kereta api pertama Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) ketika majlis pelancaran khas di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) pada 30 Jun. 
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke (kiri); Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow (tengah); dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; meninjau kereta api pertama Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) ketika majlis pelancaran khas di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) pada 30 Jun.  - Foto ZAOBAO

Berkongsi mengenai harga pengangkutan RTS Link, Encik Loke, menambah pengendali RTS Link, RTS Operations Pte Ltd (RTSO) – syarikat usaha bersama antara Prasarana RTS Operations Sdn Bhd dengan SMRT RTS Pte Ltd – sedang dalam proses menentukan harga yang sesuai.

“Matlamat utama projek ini ialah untuk mengubah corak penggunaan agar lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam di seluruh negara.

“Saya rasa itu merupakan salah satu pertimbangan penting apabila kita menentukan mekanisme harga,” katanya.

Mengenai apa yang dianggap sebagai harga yang berpatutan, Encik Loke kemudian berkata tambang mestilah lebih rendah daripada kos yang ditanggung penumpang sekiranya mereka menggunakan kenderaan sendiri.

“Sebagai contoh, jika seorang pekerja tinggal lebih jauh dan menunggang motosikal merentasi Tambak untuk datang ke Singapura, beliau mungkin perlu membayar untuk minyak dan kos-kos lain... Jika tambang RTS lebih rendah daripada perbelanjaannya, sudah tentu itu akan menggalakkannya menggunakan RTS.

“Akhirnya, ini merupakan satu perbelanjaan besar, satu pelaburan besar bagi pihak kami. Kedua-dua negara telah melabur banyak wang dalam projek ini, jadi kita mesti mencapai matlamat tersebut,” tambah Encik Loke.

Memberikan pandangannya, Encik Siow, menambah:

“RTSO perlu mengambil kira permintaan, bekalan dan kos. Kita perlu tunggu mereka membuat penilaian dan saya rasa mereka akan berpeluang menyediakan perkhidmatan berbayar.”

Kereta api pertama daripada lapan yang bakal beroperasi di Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Singapura dengan Johor Bahru sudah tiba di Singapura. 
Kereta api pertama daripada lapan yang bakal beroperasi di Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Singapura dengan Johor Bahru sudah tiba di Singapura.  - Foto ST

Dalam pada itu, Encik Siow turut menekankan dengan adanya RTS Link, kekerapan bas Singapura-Johor Bahru tidak akan dikurangkan buat masa ini.

“Tujuan utama RTS ialah meningkatkan mobiliti dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada orang ramai dari kedua-dua negara untuk melakukan perjalanan.

“Saya rasa apabila perkhidmatan ini mula beroperasi kelak, barulah kita dapat lihat sama ada operator komersial ingin membuat penyesuaian dan kita boleh bekerjasama dengan mereka selepas itu,” katanya.

Apabila ditanya sama ada waktu operasi RTS Link akan disesuaikan dengan corak perjalanan rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja, Encik Loke berkata terdapat pekerja yang keluar dari rumah seawal 5 pagi dan perkara ini perlu diambil kira oleh pihak RTSO.

RTSO menyatakan bahawa kereta api bagi laluan itu akan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

“Tujuan utama RTS ialah meningkatkan mobiliti dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada orang ramai dari kedua-dua negara untuk melakukan perjalanan. Saya rasa apabila perkhidmatan ini mula beroperasi kelak, barulah kita dapat lihat sama ada operator komersial ingin membuat penyesuaian dan kita boleh bekerjasama dengan mereka selepas itu.”
Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow

“Matlamat utama projek ini ialah untuk mengubah corak penggunaan agar lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam di seluruh negara. Saya rasa itu merupakan salah satu pertimbangan penting apabila kita menentukan mekanisme harga.”
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg