Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Henti merokok selepas serangan angin ahmar di Poland

Hilang deria rasa pada bahagian kiri badan
semasa bercuti pada 3 November
Dec 04, 2023 | 05:31 AM



Sebelum Encik Norhisam Buang, 48 tahun, hilang segala deria rasa pada bahagian kiri badannya akibat serangan angin ahmar, beliau merupakan perokok tegar yang sering menghisap sekotak rokok yang mengandungi 20 batang dalam sehari.

Beliau juga mengambil sikap sambil lewa terhadap kesihatannya, sungguhpun sedia maklum menghidap tekanan darah tinggi.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Encik Norhisam, yang bertugas sebagai penyelia logistik bagi barangan ganti perkapalan, menjelaskan:


“Pada tahun lalu (2022), saya dapat tahu saya ada tekanan darah tinggi susulan lawatan ke klinik apabila saya sedang demam (pada waktu itu).

“Doktor suruh ambil ubat dan kembali ke klinik bagi membuat pemeriksaan susulan, tapi saya tak endahkan dan ambil (sikap sambil) lewa saja. Saya lebih utamakan kerja.”

Namun, kejadian tidak diduga berlaku.

Beliau diterbangkan pulang ke Singapura pada 25 November dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Nasional (NUH) susulan serangan angin ahmar di Poland semasa bercuti.

Dalam laporan BH pada 16 November, warga Singapura itu berlepas ke sana pada 1 November bersama sahabat karibnya untuk percutian selama sekitar dua minggu.


Menurut Encik Norhisam, jadual perjalanan bagi percutian tersebut meliputi bandar Warsaw, Lublin, Krakow dan Pergunungan Tatra di Poland sebelum berakhir di Copenhagen, Denmark.

Mereka sepatutnya pulang ke Singapura pada 13 November. Namun pada 3 November, Encik Norhisam, bapa seorang anak itu diserang angin ahmar sehingga tidak mampu bergerak.

Beliau kemudian terpaksa menjalani rawatan di hospital Szpital Orlowskiego di Warsaw, Poland, ekoran pendarahan otak.

Menyingkap detik itu, Encik Norhisam berkongsi beliau sedang dalam perjalanan pulang dari membeli-belah di Hard Rock Cafe untuk ke asrama penginapan Casa De Wawa – yang terletak sekitar 30 minit dengan berjalan kaki.

“Saya baru habis beli barang di kedai Hard Rock Cafe di bandar lama Warsaw. Saya beli dua baju untuk anak saya dan beberapa barang buat diri saya.

“Semasa dalam perjalanan, saya tak perasan saya sering terlepas genggaman pada beg plastik (yang saya bawa).

“Saya mula tak rasa (apa-apa) pada tangan kiri dan kemudian kaki kiri pun tak rasa. Saya lalu tak boleh berdiri sama sekali,” ujarnya.

Laporan perubatan hospital di Warsaw yang dikongsi Encik Norhisam kepada BH menjelaskan beliau didiagnosis menghidap serangan angin ahmar perdarahan hemisfera otak sebelah kanan ekoran tekanan darah tinggi dan kegagalan ginjal kronik.

Kos perubatan beliau sejak memasuki hospital di sana selama tiga minggu – dari 3 November hingga 24 November – menelan belanja sekitar $9,300.

Sungguhpun beliau membeli pelan insurans perjalanan, rawatan itu katanya, tidak dilindungi kerana tekanan darah tinggi yang dihidapi beliau merupakan keadaan sedia ada.

Pemeriksaan BH mendapati, kebanyakan pelan insurans perjalanan tidak melindungi pengguna sekiranya mereka ada sejarah perubatan sebelum ini, atau hanya memberi perlindungan terhad, melainkan pengguna membeli pelan berasingan yang termasuk perlindungan keadaan sedia ada.

Akibat kos terlalu tinggi yang perlu dibiayai untuk pulang ke tanah air, anak tunggalnya, Encik Mohamed Hakim, 22 tahun, telah melancarkan satu usaha mengumpul dana daripada orang ramai.

Sebanyak $23,000 berjaya dikumpulkan menerusi laman gogetfunding.com.

Menurut Encik Norhisam, jumlah tersebut meliputi kos ambulans udara.

Semakan terkini BH pada laman itu mendapati jumlah yang terkumpul telah mengatasi sasaran, mencapai $25,845.

Beliau turut mendakwa mendapat sumbangan daripada pempengaruh media sosial, yang membantu dalam membuat bayaran pendahuluan agar beliau dapat kembali ke Singapura secepat mungkin.

Dengan nada sebak, beliau berkata: “Saya tidak sangka dalam tempoh masa yang singkat, orang ramai bantu saya kumpul $23,000. Saya betul-betul menghargainya dan berterima kasih (kepada semua).”

Tangan kiri beliau kini sudah bertambah kuat namun kaki kiri masih rasa kebas, katanya.

Namun beliau bersyukur sudah dapat bergerak semula dan dapat “berjalan sedikit”.

Disebabkan episod itu, Encik Norhisam membulatkan tekad untuk “lebih peka dengan keadaan kesihatan” dan sudah berhenti merokok sama sekali.

“Kejadian ini tidak akan menghambat hasrat saya untuk melancong dan saya ingin kembali ziarah Poland.

“Saya akan lakukan pemeriksaan kesihatan sebelum saya melancong… dan akan lebih peka dengan keadaan kesihatan saya,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >