Lima individu dipindahkan selepas sebuah basikal guna kuasa (PAB) yang sedang dicas tanpa pengawasan terbakar di Geylang pada 21 Jun.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran di 9 Lorong 26 Geylang itu pada 5.35 petang.

Carian Google menunjukkan alamat itu ialah kondominium Casa Aerata.

Lima penghuni dari unit bersebelahan dipindahkan oleh polis dan SCDF sebagai langkah berjaga-jaga. Tiada kecederaan dilaporkan.

Menurut SCDF, kebakaran melibatkan bateri PAB yang dicas tanpa pengawasan di ruang tamu unit di tingkat tujuh.

SCDF memadamkan kebakaran menggunakan gelendong hos dan alat pemadam buih mudah alih.

Siasatan awal menunjukkan masalah elektrik pada PAB tersebut menyebabkan kebakaran.

Dalam hantaran Facebook pada 21 Jun, Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Cai Yinzhou, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian selepas melihat asap dan mendengar semboyan.

Beliau berkata beliau membantu mengosongkan kawasan di bawah unit yang terbakar sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya tingkap pecah, yang akhirnya berlaku akibat haba yang tinggi.

SCDF mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan bateri bukan asli bagi alat mobiliti aktif (AMD), termasuk PAB dan alat mobiliti peribadi (PMD).

Bateri PAB dan PMD juga tidak seharusnya dicas terlalu lama atau dicas semalaman.

Pada Februari, SCDF melaporkan bahawa 34 daripada 304 kebakaran elektrik di kediaman pada 2025 melibatkan AMD, termasuk PMD, PAB dan alat bantuan mobiliti peribadi.

Walaupun jumlah kebakaran AMD menurun daripada 67 kes pada 2024 kepada 49 kes pada 2025, kebakaran PMD meningkat daripada 25 kepada 31 kes.