Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 perkara utama dalam sidang Parlimen 6 Nov

Nov 7, 2025 | 9:27 AM
Bangunan Parlimen
Bangunan Parlimen - Foto fail

Berikut lima perkara utama yang dikongsi semasa Sidang Parlimen pada 6 November.

1. Keseluruhan tapak 38 Oxley Road dipelihara, bangunkan ruang awam untuk rakyat

Pemerintah berhasrat untuk memelihara keseluruhan tapak 38 Oxley Road, dan bukan bangunan atau struktur di dalamnya kerana pemerintah tidak diwajibkan untuk mengekalkannya dalam keadaan semasa, kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo.

Pemerintah juga tidak akan mempamerkan, merekodkan, mengubah suai atau menduplikasi bahagian dalam rumah Perdana Menteri Pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew, dalam apa jua keadaan sekali pun.

Langkah pemeliharaan ini di bawah Akta Pemeliharaan Monumen juga bertujuan menghalang mana-mana pihak swasta daripada membelinya pada masa hadapan.

2. Pemeliharaan 38 Oxley Road saling lengkapi Taman Tugu Pengasas, bukan peringati Lee Kuan Yew

Pemeliharaan tapak 38 Oxley Road akan saling melengkapi Taman Tugu Pengasas, dan bukan bertujuan memperingati kehidupan mendiang Encik Lee Kuan Yew, kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo.

Ia akan menjadi tapak untuk pengunjung menikmati secara langsung peristiwa yang berlaku di sana dan juga menyediakan konteks sejarah dan latar belakang kepada beberapa ideal yang diperingati oleh Taman Tugu Pengasas.

3. Stok makanan S’pura jadi penampan ancaman, bukan pengaruh harga makanan

Stok makanan Singapura tidak bertujuan dijadikan sebagai mekanisme bagi mempengaruhi harga makanan, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.

Sebaliknya, stok simpanan itu bertujuan menjadi penampan pada masa gangguan bekalan makanan, katanya sebagai respons kepada Anggota Parlimen (AP), Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee).

Cik Soh mengemukakan soalan di sidang Parlimen pada 6 November mengenai penggunaan stok makanan untuk mengatasi peningkatan dalam harga bekalan makanan.

4. Rahayu: Skim label gred khasiat ‘Nutri-Grade’ berhasil kurangi pengambilan gula

Kementerian Kesihatan (MOH) mendapati hasil yang amat menggalakkan selepas memperkenalkan skim label gred khasiat atau ‘Nutri-Grade’, dengan kadar pengambilan gula setiap hari oleh penduduk Singapura mencatatkan penurunan.

Demikian kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, sebagai menjawab pertanyaan Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast-Jurong West) di Parlimen pada 6 November.

Encik Ang bertanya sama ada skim label gred khasiat tersebut telah memberi kesan terhadap tahap pemakanan bagi makanan sudah siap yang tinggi dengan kadar gula dan lemak tepu.

5. Belum ada keputusan bagi pengerahan tenaga nuklear di Singapura

Pemerintah belum membuat sebarang keputusan bagi pengerahan tenaga nuklear di Singapura, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Beliau memberi penekanan bahawa buat masa ini, pemerintah sedang mengkaji potensi penggunaan nuklear sebagai sumber tenaga rendah karbon, sekali gus meningkatkan keselamatan tenaga Singapura.

Ini termasuk mengkaji dan menilai teknologi nuklear lebih baru seperti reaktor modular kecil (SMR) berbanding loji nuklear konvensional, katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg