Depoh LRT Sengkang-Punggol (SPLRT) akan diperluas lebih tiga kali ganda dan dilengkapi kemudahan baharu seperti bangunan penyelenggaraan serta landasan ujian menjelang 2027, sekali gus meningkatkan keandalan perkhidmatan demi keselesaan penumpang.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 12 April menyatakan projek yang bermula pada 2022 itu akan meluaskan depoh daripada 3.5 hektar kepada 11.1 hektar.

Peluasan itu bertujuan menyediakan lebih banyak ruang simpanan untuk tren baharu SPLRT, iaitu 25 tren rel ringan dua gerabak.

Laluan Timur Laut (NEL) dan SPLRT sering kali sesak, termasuk di luar waktu puncak, keluh penumpang yang ditemu bual The Straits Times (ST) pada Oktober 2025.

Data Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menunjukkan peningkatan mendadak penduduk Punggol melonjak daripada 87,610 pada 2013 kepada 177,470 setakat Mac 2025, manakala Sengkang meningkat daripada 172,680 kepada 224,510 dalam tempoh yang sama.

Bagi meredakan kesesakan dan memastikan penumpang tidak terlepas tren, LTA memperkenalkan perjalanan percuma di luar waktu puncak sejak Disember 2025.

Ia ditawarkan kepada penumpang yang memasuki stesen SPLRT sebelum 7.30 pagi atau antara 9 pagi dengan 9.45 pagi pada hari bekerja (kecuali cuti umum).

Tujuh kenderaan baharu SPLRT kini sudah beroperasi bersama tren lama satu dan dua gerabak dalam rangkaian yang dikendalikan oleh SBS Transit.

Sebahagian tren lama akan diganti menjelang akhir 2028, meningkatkan kapasiti keseluruhan penumpang sebanyak 15.8 peratus.

LTA memaklumkan kerja pembinaan dan seni bina di dalam depoh telah siap.

Fasa akhir, seperti pemasangan landasan rel serta sistem elektrik, mekanikal dan perkhidmatan, masih giat dijalankan.

Antara ciri baharu yang menonjol ialah landasan ujian untuk menguji tren selepas penyelenggaraan sebelum ia kembali berkhidmat kepada penumpang.

Landasan ujian sedia ada pula akan dijadikan laluan penghubung antara depoh lama dengan baharu.

Sebuah bangunan penyelenggaraan kedua turut didirikan bagi menyokong kumpulan baharu kenderaan rel ringan, selain berfungsi sebagai pejabat kakitangan.

Bersama kawasan simpanan tren baharu, kemudahan itu meningkatkan keupayaan penyelenggaraan dan tempat letak tren kira-kira 1.5 kali ganda.

Panel fotovolta (tenaga suria) dipasang di bumbung dan kawasan depoh, menjimatkan sekurang-kurangnya 1,520 megawatt-jam elektrik setahun, bersamaan penggunaan kira-kira 354 isi rumah.

Kerja yang masih dijalankan termasuk pembinaan dua landasan penerimaan baharu bagi menghubungkan depoh dengan rangkaian utama LRT.

Bagi melancarkan kerja itu, perkhidmatan LRT Sengkang West akan beroperasi sehala sahaja selama enam bulan – dari 19 April hingga 18 Oktober.

Ia bermakna tiada perkhidmatan di laluan dalam Sengkang West melalui stesen Cheng Lim dari stesen Sengkang.

Penumpang boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan bas biasa atau laluan Sengkang West dari stesen Renjong, yang hanya akan menggunakan tren dua gerabak.

Untuk menampung kapasiti LRT, perkhidmatan bas ulang-alik turut disediakan dari Pusat Tukaran Bas Sengkang.

Ia akan beroperasi pada waktu puncak hari bekerja, iaitu dari 6 pagi hingga 10 pagi, dan dari 5.30 petang hingga 9.30 malam.

Sebanyak 12 bas akan dikerahkan pada setiap waktu puncak, bergerak setiap tiga hingga lima minit dengan kadar tambang yang sama seperti LRT.

Kerja penyambungan akan dilakukan dalam empat fasa, bermula dengan merobohkan struktur konkrit lama yang menghubungkan landasan penerimaan dengan kemudahan SPLRT sedia ada.

Seterusnya, sistem isyarat di tepi landasan akan dipasang, diikuti penyambungan semula bekalan kuasa.

Kedua-dua sistem itu diuji berasingan sebelum ujian bersepadu bersama kenderaan rel ringan dijalankan.

Ini bagi memastikan laluan Sengkang West benar-benar bersedia untuk perkhidmatan penumpang.

LTA menyatakan pemantauan sistem SPLRT dan kerja pemulihan jalan akan diteruskan walaupun selepas pelarasan perkhidmatan berakhir pada Oktober.

Pada awal Ogos 2025, kegagalan papan suis kuasa di depoh NEL menyebabkan gangguan perkhidmatan selama tiga jam pada laluan MRT dan turut menjejas operasi LRT selama kira-kira 10 jam.

Kejadian itu merupakan antara sekurang-kurangnya 15 gangguan rel yang berlaku antara Julai dengan September, menyebabkan penubuhan pasukan petugas pada 19 September 2025.