DPM Gan: Masyarakat Cina perlu teguh pada kepelbagaian budaya, nilai bersama di tengah perpecahan dunia
DPM Gan: Masyarakat Cina perlu teguh pada kepelbagaian budaya, nilai bersama di tengah perpecahan dunia
Beliau berucap di Majlis Sambutan Musim Bunga anjuran Persekutuan Persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA) dan Pusat Budaya Cina Singapura (SCCC) pada 19 Feb
Dengan dunia yang semakin berpecah dan tidak menentu, identiti budaya masyarakat Cina perlu terus berakar kukuh dalam masyarakat berbilang kaum Singapura, berlandaskan prinsip bersama serta masa depan yang dikongsi, kata Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong.
Beliau berkata peranan masyarakat itu di sini bukan sekadar menganjurkan kegiatan kebudayaan atau membangunkan persatuan klan, sebaliknya turut membentuk nilai dan corak masyarakat yang ingin dibina rakyat Singapura.
Berucap di Majlis Sambutan Musim Bunga anjuran Persekutuan Persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA) dan Pusat Budaya Cina Singapura (SCCC) pada 19 Februari, beliau menegaskan pembangunan masyarakat Cina sentiasa menjadi sebahagian penting daripada masyarakat Singapura secara keseluruhan.
Sejarah panjang masyarakat tersebut dalam mengatur diri, membina jaringan dan menyumbang kembali menjadikan peranannya bukan sekadar memelihara budaya, tetapi juga mengukuhkan perpaduan sosial dan daya tahan negara.
Encik Gan, juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata sejak ditubuhkan pada 2017, SCCC mengangkat budaya Cina Singapura yang unik, dibentuk dan berakar dalam konteks berbilang kaum ini, bukan budaya yang terasing atau dibawa masuk dari luar.
Beliau merujuk kepada kerjasama pusat itu dengan Taman Warisan Melayu (MHC), Pusat Warisan India (IHC) dan Akademi Seni Bhaskar sebagai contoh budaya harus menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat, bukan sumber perpecahan.
Di acara tersebut, sekitar 600 tetamu disajikan persembahan berbilang budaya oleh kumpulan seni residen SCCC, Drum Feng, bersama kumpulan seni Melayu, Nadi Singapura, dan kumpulan seni India, Singapore Dhol Squad.
Usaha SCCC membuahkan hasil.
Tinjauan 2025 menunjukkan lebih tiga perempat responden mengiktiraf budaya Cina Singapura sebagai berbeza daripada budaya Cina lain kerana dibentuk dalam konteks masyarakat berbilang kaum negara ini.
“Ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap identiti budaya tempatan kita dan membuktikan kita berada di landasan yang tepat,” katanya.
Pada masa depan, SCCC akan memperluas peranannya dalam merapatkan hubungan antara rakyat tempatan dengan warga baru, termasuk melalui kerjasama konsert bersama Orkestra Cina Singapura (SCO) serta acara nyanyian bersama Hari Kebangsaan (NDP) anjuran SFCCA.
Encik Gan turut memuji langkah SFCCA dalam memelihara identiti klan sambil menyumbang kepada masyarakat luas.
Langkah seperti Kursus Kepimpinan Masyarakat Cina melahirkan generasi pemimpin baru yang yakin dengan warisan mereka dan komited kepada negara.
Dalam dunia yang semakin rumit, kata Encik Gan, kekuatan Singapura terletak pada perpaduan, nilai yang jelas dan kepercayaan antara rakyatnya.
“Marilah kita terus melangkah bersama, dengan budaya sebagai penyatu, nilai sebagai asas dan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan,” katanya.

