Guru Bahasa Ibunda kekal tiada galang ganti, meskipun teknologi mampu menjana ayat dan karangan dengan pantas serta lancar pada zaman ini, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Semasa berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2026, yang berlangsung di bangunan Perpustakaan Negara pada 21 Ogos, Encik Chee berkata peranan guru Bahasa Ibunda bukan sekadar memelihara bahasa.

Malah, mereka menegakkan nilai murni, kemesraan dan budi bahasa yang dipasak dengan Bahasa Ibunda.

Perkara ini, tegas beliau, “adalah sesuatu yang tidak boleh diajar oleh sebarang algoritma dan tidak boleh dirasai oleh chatbot.

Encik Chee menambah Bahasa Ibunda merupakan sebahagian penting daripada warisan dan identiti budaya Singapura, kerana ia membentuk rasa kekitaan, mencerminkan nilai masyarakat serta menjadi penghubung merentas pelbagai generasi.

“Oleh kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa utama di Singapura, terutamanya bagi kebanyakan isi rumah, wujud keperluan yang lebih penting dan mendesak untuk memastikan bahasa ibunda kita kekal segar dan relevan bagi generasi akan datang,” tambah Encik Chee.

Seramai lima guru Bahasa Melayu telah diiktiraf di majlis tersebut atas sumbangan besar mereka kepada pendidikan Bahasa Melayu bagi edisi Agab ke-19.

Lima pemenang Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2026 terdiri daripada (dari kiri) Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian); Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment); Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol); Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh); dan Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau).
Lima pemenang Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2026 terdiri daripada (dari kiri) Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian); Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment); Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol); Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh); dan Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Anugerah itu dianjurkan bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Terdapat kategori Teladan (bagi guru yang telah berkhidmat selama 10 tahun atau lebih) dan kategori Perangsang (bagi guru yang berkhidmat dalam tempoh kurang 10 tahun).

Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol) dan Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau) menerima anugerah kategori Teladan.

Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh), Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment) serta Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian) pula menerima anugerah kategori Perangsang.

Mereka menerima sijil, piala dan wang tunai $2,000.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), yang juga Pengerusi MBMS, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) yang juga Pengerusi MLLPC, Dr Syed Harun Alhabsyi.

Turut hadir juga ialah Presiden PGBM, Encik Esfan Rizal Rahwom; Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Agab 2026, yang juga Editor Malam BH, Encik Puad Ibrahim; dan para penilai anugerah.

Dr Syed Harun memberitahu pihak media, beliau teruja dan bangga melihat keterbukaan guru-guru dalam memanfaatkan teknologi untuk mengajar Bahasa Melayu.

“Penerima Agab pada 2026 ini menunjukkan bahawa teknologi boleh dimanfaatkan secara bermakna untuk memberi nilai tambah kepada proses pembelajaran pelajar kita.

“Kita berharap menerusi amalan bilik darjah para penerima ini, kita dapat lihat bagaimana teknologi dimanfaatkan sebagai jambatan (yang menyokong pembelajaran), bukan sebagai pengganti,” kata Dr Syed Harun.

Dalam ucapannya, Encik Chee turut memuji penerima anugerah Agab, yang menjadi suri teladan bagi piawaian tertinggi dalam bidang perguruan.

“Para penerima Agab kita menerapkan inovasi tanpa mengetepikan perkara yang paling utama, iaitu hubungan kemanusiaan antara pendidik dengan murid.

“Mereka menggalakkan setiap pelajar meneroka potensi diri, membimbing pendidik lain serta rajin berbakti kepada persaudaraan perguruan dan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Encik Chee turut menegaskan bahawa ibu bapa turut memainkan peranan penting, selain guru, dalam mendedahkan anak-anak muda kepada Bahasa Ibunda dalam kehidupan seharian.

Ketika ditemui BH, Cik Nur Azirah menyambut baik anugerah Perangsang.

“Anugerah ini memberi saya semangat untuk terus belajar dan berkembang sebagai guru,” katanya.

Beliau menambah guru bahasa Melayu perlu bersifat terbuka dan sentiasa menyesuaikan diri dengan cara murid menggunakan bahasa yang sentiasa berubah, terutama sekali di tengah-tengah perkembangan kecerdasan buatan (AI), kandungan bahasa yang bercampur dan media sosial.

Malah, perkara yang paling bermakna baginya ialah melihat perkembangan murid-muridnya, terutama mereka yang pada mulanya kurang yakin menggunakan bahasa Melayu.

Sejak 2007, 83 guru Bahasa Melayu yang mengajar di sekolah rendah, menengah dan prauniversiti telah diiktiraf menerusi Agab.

Penerima anugerah dipilih oleh panel yang dibentuk oleh pemimpin masyarakat, akademik dari Institut Pendidikan Tinggi (IHL), pemimpin sekolah serta wakil media.

Calon dinilai berdasarkan keupayaan mereka menyemarakkan penglibatan pelajar terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu melalui pendekatan pengajaran kreatif, selain penggunaan alat pembelajaran digital yang mewujudkan pengalaman interaktif, di samping melengkapkan pelajar dengan kemahiran abad ke-21 dan keprihatinan terhadap kesejahteraan pelajar mereka.

Mereka juga dinilai berdasarkan kebolehan mencerminkan nilai murni Arif Budiman, iaitu insan berilmu pengetahuan yang telah berbakti kepada masyarakat melalui khidmat cemerlang dan menjadi suri teladan sebagai seorang pendidik.